.
Sophia Ibrahim atau mana asalnya Safiah Ibrahim, 77, merupakan antara pelakon pilihan pengarah filem di Studio Merdeka Production (SMP) kerana mempunyai paras dan sosok tubuh yang menarik dengan pinggang ramping di samping berbakat berlakon.
Kerana sosok paras dan tubuhnya yang menarik, dia diberi gelaran ‘pinggang kerengga’. Dia juga antara insan seni yang banyak mendapat liputan majalah hiburan pada tahun 1960-an.


Mula minat berlakon setelah mengikut dan melihat bapa saudaranya, Hussein Abu Hassan berlakon di studio SMP.
Dan peluang berlakon mulai terbit apabila salah seorang kakitangan berketurunan Cina menawarkan dia berlakon, malah sanggup ke rumah ibu bapanya di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk mendapat kebenaran.
Setelah mendapat kebenaran ibu bapa, Sophia diberi antara peranan penting dalam filem ‘Jambatan Maut’ arahan M Yatim dari Indonesia pada 1963 membawa watak Hamidah, seorang gadis jelmaan setelah mati.

Sophia berlakon dalam 8 filem ketika bersama SMP iaitu ‘Jambatan Maut’, ‘Ragam P Ramlee, ‘Hujan Darah’, ‘Jauh Di Mata’, ‘Dajal Suchi’, ‘Bumiputra’, ‘Gadis Langkawi’ dan terakhir ‘Dr Rushdi’ pada 1970.

Sophia mengambil langkah berani menerima watak Mariana dalam filem ‘Dr Rusdi’ arahan P Ramlee.
Dalam satu adegan dalam filem ‘Dr Rusdi’, Sophis terpaksa memakai pakaian dalam sahaja bagi mensesuaikan watak sebagai isteri curang yang buat maksiat dengan lelaki lain dalam biliknya.
Bagaimanapun adegan itu dipotong untuk siaran TV tempatan. Namun adegan berani itu tetap dapat ditonton dalam siaran Astro Ria pada pertengahan tahun 1990-an ketika tapisan di TV tidak begitu ketat ketika itu.

Setelah 27 tahun meninggalkan SMP, Sophia kembali berlakon pada 1887 dengan filem ‘Puteri Impian’ arahan Aziz M Osman dengan memegang watak ‘Permaisuri/Bonda’. Dan terakhir filem ‘Imam’ pada 2023.
Selain itu, Sophis turut berlakon dalam sejumlah drama dengan yang terakhir drama ‘Juliet’ pada 2022. Walaupun popular dalam bidang lakonan, namun Sophia tetap berminat dalam bidang nyanyian sejak di bangku sekolah.

Setelah berpeluang berlakon, Sophia turut ditawar menyanyi di kelab malam.
Oleh kerana tawaran yang diberi agak selesa, Sophia minta kebenaran daripada ayahnya, di mana harapannya dapat membantu kehidupan ibu bapa dengan 10 anak ketika itu yang agak sempit sebagai bekas anggota polis.
Namun ayahnya Ibrahim Abu Hassan melarang keras. Ketika itu hubungan Sophis dan P Ramlee dan Saloma agak rapat di mana dia telah dianggap sebagai saudara oleh keduadua bintang legenda seni itu.
Apabila P Ramlee mengetahui perkara itu, dia sanggup datang ke rumah Sophia di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan memujuk si ayah.
Si ayah akhirnya membenarkan dengan amaran keras kepada Sophia agar jangan sesekali meneguk arak di tempat kerja.


Selain menyanyi di kelab malam, Sophis ada ketikanya turut dibawa P Ramlee bersama beberapa artis lain menyanyi di pentas-pentas seluruh negara.
Kesibukan menyanyi di kelab malam membuat Sophis tidak berpeluang membuat album. Jika ketika itu Sophia membuat rakaman album, dia mungkin menjadi salah seorang penyanyi pop yeh-yeh tempatan yang popular.
Namun Sophia tetap meneruskan kegiatan nyanyian selain bidang lakonan jika mendapat undangan pada majlis rasmi atau majlis tertutup.

Sophia bersama adik-adiknya Latif dan Khadijah Ibrahim

Sophia mempunyai 4 cahaya mata serta 8 cucu dan dia pernah berkahwin dengan penyanyi Allahyarham Dhalan Zainuddin.
Bintang yang lahir di Singapura pada 20 Januari 1948 ini mengadap Ilahi pada Isnin, 5 Mei 2025 dan disemadi di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak, Selangor pada Selasa, 6 Mei 2025.
Kepergian akan terus diingati sebagai insan seni berbakat besar yang berjaya mewarisi bakat datuknya Aman Belon. - KitaReporters

Hairee Kool (dua dari kanan) di pusara ibunya Sophia Ibrahim. - Kredit foto: BH online