Seni & Sukan 09 Dec, 2024

Siapa nak tanggungjawab? Episod hambar Harimauwati Malaya! Sasaran Piala AFF Wanita Soleen meleset!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KESEBELASAN utama Harimauwati Malaya berdepan Kemboja, dirombak sedikit dengan menampilkan Puteri Eliesa Hafiz (4), Nurfazira Sani (21) dan Farahiyah Ridzuan (8) namun masih gagal memecah kebuntuan gol. - Kredit foto: FAM 


HANCUR luluh hati peminat sukan negara dan hancur lebur hasrat Harimauwati Malaya mendakap Piala AFF Wanita 2024.

Gara-gara tumpas 2-0 kepada Kemboja pada 29 November 2024 di Padang Simpanan KM16, Vientiane, Laos, skuad wanita negara terpaksa ucap "bye, bye" dan berkemas pulang lebih awal ke tanah air.

Perlawanan penamat Kumpulan B itu melengkapkan episod hambar anak-anak buah Soleen Hamed Tawfiq Al-Zoubi setelah dijinakkan Indonesia 1-0 di Stadium Nasional Laos Baharu, Vientiane pada 26 November 2024 lalu.

Pengendali warga Jordan itu terpaksa menelan pahit impiannya untuk menikmati kejuaraan ‘divisyen dua’ wanita Asia Tenggara ini angkara gol-gol Kemboja menerusi sepakan bebas Poeurn Kunthea dan Chhit Sapheourn.

Kapten Malaysia, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh yang cuba mengekang, tertanduk ke gawang sendiri hasil sepakan bebas Poeurn dari sebelah kiri pada minit ke-19 sambil penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan tertewas dengan rembatan Chhit dari luar petak penalti, minit ke-45+2.



Malaysia mendatangi kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini sebagai pilihan kedua dengan ranking ke-96 dunianya.

Sedangkan Kemboja, ke-119 dan Indonesia, ke-104 dunia yang berjaya melolosi saingan peringkat awal ini ke separuh akhir selaku juara dan naib juara Kumpulan B.

Kemboja dan Indonesia terikat tanpa jaringan ketika mereka membuka tirai saingan kumpulan pada 24 November 2024 lalu.

Malah tiada sebarang gol yang mampu dihasilkan oleh Harimauwati Malaya di Vientiane menyerlahkan kesia-siaan wang, masa dan tenaga FAM menghantar penyertaan mereka lantas Soleen perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini.

Hanya tiga terbaik daripada Piala AFF Wanita 2024, bakal layak bersaing dengan gergasi 'divisyen satu' wanita Asia Tenggara seperti Filipina, Thailand, Vietnam dan Myanmar.


SOLEEN Hamed Tawfiq Al-Zoubi (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob (empat dari kanan) bersama-sama barisan jurulatih lain dan pemain simpanan negara. - Kredit foto: FAM


Mungkin ada baiknya Liga Wanita Nasional (LWN) dikaji balik persembahannya dengan menarik masuk para pemain import dari Asia atau Australia untuk meningkatkan daya saing para pemain tempatan dan aspek teknikal dan taktikal permainan mereka.

Begitu juga keaktifan Kejohanan Kebangsaan Piala Tun Sharifah Rodziah yang diasaskan pada 1976 yang tidak sepatutnya lagi dipandang sepi oleh 20 ahli gabungan FAM dan kelab-kelab naungan mereka kerana pernah tidak dipertanding dari 2005 hingga 2014, 2020 dan 2021 dek pandemik Covid-19 serta pada tahun lalu, 2023.

Sudah sampai masanya juga Jawatankuasa Wanita FAM mengusahakan pencarian serius para pemain berdarah warisan Malaysia di luar negara bagi memperkasa Harimauwati Malaya.

Harimauwati Malaya pada Kejohanan Wanita AFF 2022 di Manila, Binan dan Imus, Filipina menduduki tempat kedua corot Kumpulan A setelah sekadar seri 0-0 dan 1-1 dengan Singapura dan Indonesia namun dibelasah tuan rumah dan Thailand 4-0 serta Bawah 23 Tahun Australia 6-0.

Pencapaian terbaik pasukan wanita negara ialah pada 2007 dengan meraih tempat keempat di Yangon, Myanmar setelah dibelasah Vietnam 6-0. - KitaReporters


STEFFI Sarge Kaur Sergeant Kaur (10) tertanduk ke gawang sendiri ketika cuba menangkis sepakan bebas pemain Kemboja, Poeurn Kunthea. - Kredit foto: FAM


NURUL Azurin Mazlan dibolosi tiga kali sepanjang kempen Piala AFF Wanita 2024. - Kredit foto: FAM

7
11
0
17
0
You will be interested