Seni & Sukan 26 Sep, 2024

Video| Gara-gara Sri Tanjong, Rahmah Rahmat pengsan dan nyaris terkena renjatan! Babak pergaduhan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this


Filem 'Sri Tanjong' keluaran tahun 1961 membariskan Ahmad Mahmud, Hashimah Yon, Bat Latiff, Normadiah dan ramai lagi pelakon.


SENIWATI Rahmah Rahmat nyaris terkena renjatan apabila tersandung wayar elektrik yang berselerak di atas lantai studio. Ini berlaku dalam satu adegan pergaduhan filem ‘Sri Tanjong’ apabila seniwati Hashimah Yon secara tidak sengaja menolak Rahmah keluar melebihi kawasan ditetapkan.  

Akibat tolakan, Rahmah tersandung wayar elektrik dan jatuh terlentang. Dia pengsan apabila kepalanya terhentak pada kuda-kuda tempat meletak lampu gerbang atau ‘arch lights’. Akibat kejadian tersebut, penggambaran filem dihentikan sementara. 

Peristiwa ini menyebabkan pengarah Jamil Sulong mengubah cara pergaduhan melibatkan Rahmah dan Hashimah. Tiada lagi adegan tolak menolak yang keterlaluan. Sebaliknya hanya sekadar pergelutan, tarik menarik rambut dan cakar mencakar.


Hashimah Yon heroin 'Sri Tanjong'.


Rahmah Rahmat antara bintang utama 'Sri Tanjong'.


Sri Tanjong’ keluaran Malay Films Production (MFP) tahun 1961 itu membariskan pelakon Ahmad Mahmud, Hashimah Yon, Rahmah Rahmat, Bat Latiff, Normadiah, Mahadi, A. Rahim, Habsah, Malek Sutan Muda, Omar Suwita dan ramai lagi. Filem ini dipertanding pada Festival Filem Asia ke-8 di Manila tahun 1961.

Seniman S. Kadarisman turut terlibat dalam pembikinan filem ini, tetapi bukan berlakon. Sebaliknya beliau berperanan menjalankan tugas di belakang tabir sebagai penasihat aksi pertarungan, dibantu oleh A. Rahim.

Ahmad Mahmud bintang utama 'Sri Tanjong'.


Seniman Ahmad Mahmud dan seniwati Hashimah Yon, dua bintang utama 'Sri Tanjong'.


Kisah Rahmah Rahmat pengsan adalah antara beberapa insiden yang mewarnai penggambaran ‘Sri Tanjong’.  

Satu lagi insiden ialah Hashimah Yon dan A. Rahim demam akibat kesejukan. Ini terjadi apabila mereka dikehendaki melakukan adegan dalam hujan berulang kali sehingga Jamil Sulong puas hati.

Filem ini melibatkan banyak adegan hujan. Ketika penggambaran dimulakan sekitar bulan November 1960, kebetulan musim hujan. 

Jamil Sulong menganggap ini sebagai rahmat kerana memperoleh kesan bunyi sebenar hujan. Pengarah lain tidak suka hujan kerana bimbang mengganggu proses rakaman suara.

Bagi penggambaran hujan di dalam studio, sebanyak 300,000 gelen air atau 1.136 juta liter digunakan untuk membuat hujan untuk tempoh tiga hari penggambaran. 

Akibatnya bangunan studio MFP yang berkeluasan 12,000 kaki persegi (1,114.8 meter persegi) dipenuhi air.


Jamil Sulong pengarah filem 'Sri Tanjong'.

Dalam insiden lain, pelakon Bad Latiff yang diseksa teruk oleh ibu tiri (Normadiah) dalam filem popular ‘Lela Manja’ (1960) juga melakonkan watak diseksa ibu tiri dalam ‘Sri Tanjong’, yang juga dilakonkan oleh Normadiah.

Sejak awal, Bad meminta kepada Jamil Sulong untuk memastikan Normadiah tidak sesuka hati ‘menyeksanya’ seperti dalam ‘Lela Manja’. Ini kerana dalam filem tersebut Normadiah ‘ganas’ menyeksa Bad demi menghidupkan watak ibu tiri yang kejam. 

Bad memberitahu Jamil, dalam ‘Lela Manja’ Normadiah betul-betul memukul dan mencubitnya sehingga sakit. Telinga dan badannya merah kesan pukulan dan cubitan.

Sehubungan itu, Jamil Sulong mengingatkan Normadiah agar berhati-hati dan tidak keterlaluan ketika adegan memukul Bad Latiff. Kerana itu adegan memukul Bat Latiff dalam ‘Sri Tanjong’ tidak dapat menandingi pukulan dalam ‘Lela Manja’.


Bad Latiff minta pengarah Jamil Sulong memastikan Normadiah tidak 'menyeksa' keterlaluan dalam 'Sri Tanjong'.


Normadiah sebagai ibu tiri kejam dalam 'Sri Tanjong'.


Sri Tanjong’ mengisahkan penderitaan hidup Tanjong (Hashimah Yon) dan adiknya Atan (Bat Latiff) apabila ibu mereka meninggal dunia. Mereka kemudian terpaksa berpindah tinggal bersama keluarga ibu tiri.

Ibu tiri (Normadiah) mendera mereka dan memaksa Tanjong membuat semua kerja rumah. Atan pula sentiasa didera bila sahaja ada peluang. Namun kedua-dua beradik itu sabar dengan dugaan yang menimpa.

Benarlah setiap kesabaran itu akhirnya membawa bahagia sesudah derita. Nasib Tanjong dan Atan berubah apabila seorang jejaka dari luar, Tun Setia (Ahmad Mahmud), datang ke kampung mereka.     

Tun Setia sangat bersimpati dengan nasib kedua-dua beradik itu dan bertekad menolong mereka. Dia tekad menghapuskan penjahat dan lanun di kampung tersebut serta membawa yang zalim ke muka pengadilan. - KitaReporters

8
19
0
15
0
You will be interested