Seni & Sukan 29 Sep, 2024

Ada Gadis Bionik, Olimpian perak, Mr Asia! Larian Keluarga Malaysia 2024 meriah dengan atlet legenda!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

 

LEGENDA sukan tanah air bergambar antaranya Santokh Singh dan Zainal Abidin Hassan (berdiri tengah) bergambar dengan segelintir peserta Larian Keluarga Malaysia 2024 di Persiaran Flora, Cyberjaya. - Kredit foto: Yakeb


ADA legenda bola sepak, ada juga yang pernah digelar ‘Gadis Bionik’ dan ada Mr Asia bina badan yang juga bekas bintang filem malah ada yang berjaya menaiki podium Sukan Olimpik.

Gerangannya ialah Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Zaiton Othman, Datuk Malek Noor dan Goh Liu Ying yang turut hadir memeriahkan Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 mulai 7.15 pagi 29 September 2024 di Persiaran Flora, Cyberjaya, Selangor.

Zainal merupakan anggota skuad pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan Zaiton pula terkenal dengan kejaguhannya dalam acara heptatlon dan 4x400 meter Sukan SEA Manila 1981.

Malek paling diingati sebagai si sasa pendukung watak filem “Ujang” dan “Pendekar Mata Satu”, manakala Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon pula mengalungi Malaysia, pingat perak beregu campuran badminton Sukan Olimpik Rio 2016.  


GOH Liu Ying (kanan) bergambar kenangan dengan seorang peserta wanita Larian Keluarga Malaysia 2024 dan ahli keluarganya. - Kredit foto: Yakeb


Turut tampil ialah Datuk K. Rajagobal, ketua jurulatih Harimau Malaya yang menjulang Piala AFF buat kali pertama pada 2010 di Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia dengan menjinakkan Indonesia 4-2.

Juga menyertai mereka, Datuk Santokh Singh, bekas bek tengah atau ‘Kereta Kebal’ pasukan negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai juara Kelayakan Kumpulan 2 Asia.  

Kehadiran mereka yang diterajui Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ialah sebagai menyokong larian yang julung kali diadakan anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) pimpinan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob.


ZAINAL Abidin Hassan (dari kiri), Malek Noor, Goh Liu Ying beramah mesra dengan Ismail Sabri Yaakob sambil diperhatikan oleh Noorul Ariffin Abdul Majeed (dua dari kanan). - Kredit foto: Yakeb


Larian YKM menampilkan Kategori 5 Kilometer (Larian Ria), 10 km (perlumbaan) dan 21 km (separa maraton) yang menarik penyertaan hampir 5,000 orang ini bertujuan membantu mengumpul dana buat anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19.

“Yakeb sentiasa akan terus komited dalam menyokong usaha murni mana-mana pihak dalam menjaga kebajikan masyarakat,” kata Noorul dipetik daripada laman Instagram Yakeb pada 29 September 2024.

"Kami berbangga dapat menyertai inisiatif dan menyumbang tenaga dalam memastikan golongan sasaran ini mendapat sokongan yang sewajarnya.

“Tahniah diucapkan kepada YKM atas penganjuran program yang berjaya dan penuh bermakna ini.

“Syabas juga kepada para peserta program murni ini. Semoga usaha sebegini terus menjadi inspirasi buat kita semua,” katanya lagi.


ZAITON Othman mengambil kesempatan bergambar dengan Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tokpa. - Kredit foto: Yakeb


Ismail Sabri membuat pelepasan peserta kategori 21 km dan 10 km, manakala bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilantik sebagai Duta Larian.

Beberapa dif kehormat yang turut memeriahkan Larian Keluarga Malaysia 2024 termasuk Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Bendahari DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming dan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.


PARA legenda sukan Malaysia menunjukkan isyarat bagus dengan Ismail Sabri Yaakob sebelum memulakan Larian Keluarga Malaysia 2024. - Kredit foto: Yakeb


BEBERAPA peserta wanita Larian Keluarga Malaysia ini tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan Zainal Abidin Hassan (tengah). - Kredit foto: Yakeb 

12
14
0
13
0
You will be interested