Seni & Sukan 25 Aug, 2024

Mickey perlu masa lagi! Pau panggil Syafiq kembali untuk Pestabola Merdeka! Torres pembantu baharu!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PAU Marti Vicente (berkot hitam) dan barisan kejurulatihan baharu Harimau Malaya dengan penambahan Juan Torres Garrido (tiga dari kiri) bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024. - Kredit foto: FAM 


BUKANLAH satu kejutan besar apabila tiadanya nama Faisal Halim daripada senarai 26 pemain yang dipanggil Harimau Malaya bagi menghadapi Pestabola Merdeka Ke-43 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 4 hingga 8 September 2024.

‘Mickey’ pun hanya baru kembali beraksi dalam dua perlawanan Selangor FC dan Pilihan Selangor menentang Kelantan Darul Naim FC dan Pilihan Singapura dalam Liga Super 2024-2025 dan Piala Sultan Selangor Ke-18 pada 10 dan 17 Ogos 2024.

Dua aksinya tanpa sepenuh masa di Stadium MBPJ, Petaling Jaya dan Stadium Merdeka itu masih tidak memadai untuk mendorong ketua jurulatih baharu negara, Pau Marti Vicente menamakannya ke Pestabola Merdeka.  


AKSI Faisal Halim (kanan) yang bertopeng bagi melindungi kesan lecur simbahan asid ketika Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 2-1 dalam Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, 17 Ogos 2024. - Kredit foto: SFC


Sayap kiri Gergasi Merah yang beransur pulih daripada melecur tahap empat dek serangan simbahan asid di Petaling Jaya pada 5 Mei 2024, didapati belum mencapai tahap kecergasan permainan sepenuhnya apatah lagi untuk dipertaruh ke arena berkepesatan tinggi antarabangsa seperti Pestabola.    

Ulas Pau dalam sidang media pengumuman skuad Pestabola di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 21 Ogos 2024, “dalam kes ini Faisal, saya perlu katakan, saya amat gembira dia bermain balik, menunjukkan kekuatan dan perwatakan serta sesuatu yang membanggakan kami untuk mempelajarinya. 

“Saya sentiasa berhubung, berjumpa dan bercakap dengannya. Dia perlu beri tumpuan untuk memulihkan kecergasan, bola sepak dan minit bermainnya dengan Selangor FC. Kami akan cari masa yang terbaik untuk bawanya kembali (bersama pasukan negara),” kata warga Sepanyol ini.  

Kali akhir Faisal, 26, memperkasa Harimau Malaya ialah ketika dikalahkan oleh Oman 2-0 di Bukit Jalil dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 26 Mac 2024 lalu.   


PAU Marti Vicente tersenyum lebar menjawab soalan wartawan dalam sidang media pengumuman skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Pestabola Merdeka Ke-43 - tugasan sulungnya sebagai ketua jurulatih baharu ekoran pengunduran Kim Pan-gon. - Kredit foto: FAM


Pau, 41, turut diumumkan kenaikan pangkatnya daripada pemangku ketua jurulatih dalam sidang media itu oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman ekoran peletakan jawatan penyandang terdahulu, Kim Pan-gon pada 16 Julai 2024 yang kini menyertai kelab Ulsan Hyundai FC di tanah airnya, Korea Selatan.

Menariknya ialah satu lagi jawatan penolong ketua jurulatih Harimau Malaya kini diisi oleh rakan senegara Pau, Juan Torres Garrido yang masih menyandang jawatan ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Malaysia yang terkandas pada peringkat kumpulan D Piala Asia B-23 di Qatar pada 23 April 2024 lalu.


HARITH Haiqal Adam Afkar (5) sempat memimpin B-23 Malaysia yang ditewaskan oleh Uzbekistan 2-0 dalam Piala Asia B-23 di Qatar pada 17 April 2024 lalu malah pernah tersenarai ketika menentang Kyrgyzstan dan Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia/Asia. - Kredit foto: FAM


Bek tengah Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar, 22, yang juga antara tonggak pasukan Torres, merupakan antara yang tersenarai untuk berdepan Filipina dalam separuh akhir Pestabola (4 September 2024) dan penentuan tempat ketiga atau perlawanan akhir antara Lebanon dan juara bertahan, Tajikistan (8 September 2024).   

Pau didapati mengekalkan 18 daripada senarai 26 pemain Harimau Malaya yang mengikat Kyrgyzstan 1-1 di Bishkek dan mengatasi Taiwan 3-1 di Bukit Jalil dalam Kelayakan Piala Dunia/Asia pada 6 dan 11 Jun 2024 lalu.

Paling menonjol yang dipanggil semula setelah sekian lama ialah penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad, 29, yang kali akhir menyarung belang Harimau Malaya ketika menewaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 di Iskandar Puteri, Johor pada 28 Mac 2023.   

Kembali menambat hati Pau dan barisan kejurulatihannya termasuk bek tengah dan perantara Johor Darul Ta’zim FC, Feroz Baharudin dan Afiq Fazail sejak menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 pada persahabatan di Gong Badak dan dikalahkan Jordan 4-0 dalam Piala Asia di Qatar pada 14 Jun 2023 dan 15 Januari 2024 lalu.

Pemain Penang FC, Adib Ra’op yang menyumbat gol pelengkap 3-1 ketika mula mewakili negara menentang Taiwan, turut terpilih semula sambil Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bakal kembali merebut posisi penjaga gol utama dengan Azri Ab. Ghani dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi setelah diketepikan kerana kecederaan.


PAU Marti Vicente (tengah) pada sidang media pengumuman skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Pestabola Merdeka Ke-43 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor dengan diapit oleh Noor Azman Rahman (kiri) dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell. - Kredit foto: FAM


“Pestabola tahun lalu (2023) kita kalah dengan Tajikistan (2-0 dalam final juga di Bukit Jalil). Kita berhak lebih daripada itu dan tahun ini kami mahu kembali ke final dan menang.

“(Namun) paling penting ialah perlawanan pertama dengan Filipina yang amat sukar. Kita akan main di tempat sendiri dalam kejohanan kita dan perlu memenangi pialanya.

“Kita juga perlu fikir satu persatu lawan dan fokus dengan sasaran kami ketika ini iaitu Filipina,” rujuk Pau terhadap Azkals yang kali akhir ditewaskan Malaysia 2-0 dalam Siri Tiga Negara FAS di Stadium Nasional, Singapura – tugasan pertamanya bersama Pan-gon tanggal 23 Mac 2022. 


SKUAD PELATIH PESTABOLA MERDEKA 2024 HARIMAU MALAYA:

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Azri Ab. Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (penjaga gol), Matthew Davies, Feroz Baharudin, Dominic Tan, La'Vere Corbin-Ong, Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Daniel Sang Ting, Harith Haiqal Adam Afkar, Dion Cools (benteng), Afiq Fazail, Zhafri Yahya, Paulo Josue, Nooa Laine, Syamer Kutty Abba, Endrick Dos Santos (perantara), Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Adib Ra'op, Akhyar Rashid (sayap), Romel Morales, Darren Lok, Haqimi Azim Rosli, Syafiq Ahmad (penyerang). 

Senarai bersedia: Jafri Firdaus Chew, Stuart Wilkin, Shahrul Saad, Nathaniel Shio, Brendan Gan, Declan Lambert, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Sharul Nazeem Zulpakar, Shahrul Nizam Ros Hasni, Sergio Aguero, Danial Amier Norhisham. 


SYAFIQ Ahmad (20) menambat hati semula barisan jurulatih Harimau Malaya yang mungkin masih mengagumi tandukan berbisanya yang kerap menghasilkan gol namun Stuart Wilkin (8) hanya dalam senarai bersedia 11 pemain. - Kredft FAM

13
17
0
19
0
You will be interested