Satu kejohanan bola sepak yang baharu, Piala FIFA-ASEAN telah diperkenal oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi memperkasa pembangunan sukan bola sepak di rantau Asia Tenggara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada majlis bersejarah melalui pembaharuan dan pemeteraian Memorandum Persefahama (MoU) antara ASEAN dan FIFA, yang dilakukan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Antara yang dimeterai, kata beliau, adalah penganjuran kejohanan baharu, Piala FIFA-ASEAN bagi memperkasa pembangunan bola sepak di rantau ASEAN.

Katanya, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memanfaatkan kekuatan bola sepak dalam memupuk pembangunan budaya, kemajuan sosial dan keamanan serantau.
"Perkembangan pesat bola sepak di ASEAN membuktikan keupayaan sukan ini menyatukan masyarakat pelbagai latar dan budaya.
"Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menekankan pemberdayaan belia, keterangkuman sosial dan kerjasama serantau dan memastikan sukan ini terus berkembang secara mampan untuk generasi akan datang," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
