Untuk itu Awie kini selain menjaga pemakanan dan turut melakukan senaman rutin di gimnasium.
Dia yang pernah mengalami berat berlebihan dengan berat mencapai 100 kilogram kini berusaha menurunkannya kepada berat idealnya 70 kilogram.
Selaku selebriti yang terbabit sebagai penyanyi, pemuzik, pelakon, pengacara, pengarah dan penerbit, Awie perlu memiliki tubuh yang ideal dan bebas daripada penyakit.
Menurut Awie yang dilahir pada 24 November 1968, ketika beratnya sudah mencapai 100 kg, pergerakannya tidak lagi cergas menyebabkan dia perlu melakukan penurunan berat badan secara sihat sesuai dengan usianya yang sudah mencapai 57 tahun.
Awie berkata demikian kepada petugas media pada sidang media konsert Wings Orang Kita di Padi House, Lalaport, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada Jumaat, 16 Januari 2026.
/
Menurut Awie, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 14kg dalam tempoh dua hingga tiga bulan hasil disiplin ketat dari segi senaman dan pemakanan.
Sepanjang usaha menurunkan berat badan, Awie dibimbing oleh jurulatih peribadi di Ultimate Gym, Terry Gallyot yang pernah memegang gelaran Mr. Asia.
Keseluruhan program latihan dan pemakanan disusun rapi bagi memastikan penurunan berat badan berlaku secara sihat.
Menurut Awie, dia perlu mengambil protein yang tinggi untuk menjaga keadaan kulit supaya kekal kental dan tidak mengendur. Jika tidak dijaga, kulit boleh jadi berkedut.
Tambah Awie dia mengamalkan pengambilan telur, protein, sayur-sayuran serta makanan yang dibakar dan direbus.
Menurut vokalis kumpulan Wings ini, keputusan untuk menurunkan berat badan dibuat bersempena persiapan Konsert 40 Tahun: 4 Dekad Terbang Tinggi yang telah berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, Selangor, pada 26 November 2025 lalu.
Awie (tengah) bersama anggota Wings dari kiri Ilham, Edrie, Syam dan Pae
Menyentuh mengenai kariernya sebagai penyanyi, Awie berazam akan terbang bersama kumpulan Wings sekurang-kurangnya 10 tahun lagi, justeru dia perlu mempunyai tahap kesihatan yang prima.
Sayap Wing yang terkulai dengan tindakan pemain dram, Black dan pemain bes Eddie keluar daripada kumpulan membuat Awie selaku ketua melakukan langkah drastik dengan mencari ahli baharu.
Menurut Awie, Pae dipilih secara lantikan terus bersandarkan kecemerlangan dan profil sebagai pemuzik pengiring yang pernah beraksi dengan band gergasi termasuk Search, XPDC dan Amuk. Ilham atau Am pula biarpun baru pertama kali bersama Wings ketika konsert ulang tahun ke-40 dan aktif sebagai pemuzik pusat hiburan, dia dipilih menerusi proses uji bakat yang teliti dan menjadi anggota paling muda.