Seni & Sukan 28 Sep, 2025

FAM vs FIFA| Kecoh satu dunia! Rupanya kesilapan teknikal pentadbiran! Rayuan akan dikemukakan!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Aduhai kesilapan teknikal rupanya yang menjadi punca Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikenakan denda RM1.8 juta dan tujuh pemain warisan digantung setahun oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kenyataan FAM mengenai kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang menjelaskan kesilapan teknikal berkenaan dilakukan oleh bahagian pentadbiran.
"FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran," katanya menerusi satu kenyataan pada malam Ahad, 28 September 2025.
FAM dan tujuh pemain itu dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Azman menjelaskan bahawa badan induk bola sepak negara itu sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.

Noor Azman

Justeru tegas beliau, kesemua tujuh pemain warisan terdiri daripada Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel adalah sah rakyat Malaysia.

"FAM mengambil serius perkara ini. Walau bagaimanapun FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah," katanya.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025 lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta. - KitaReporters


10
11
0
15
0
You will be interested