Seni & Sukan 09 Nov, 2023

Video| Fazura kembali berlakon! Drama untuk Ramadan 2024! Lancarkan dulu kopi diet Trully Caffe!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

Faz bersama suami tercinta, Fattah Amin.


Siapa tidak kenal dengan pelakon ‘Pisau Cukur’, Nur Fazura Sharifuddin atau lebih mesra disapa Faz, apatah lagi setelah bergelar usahawan dan berkahwin pula dengan ‘hero’nya, Fattah Amin, rezeki mereka semakin bertambah setelah mempunyai satu-satunya ‘buah hati pengarang jantung’ mereka, Nur Fatima Aisya.

Tidak seperti judul filemnya itu, dalam kehidupan realitinya, Faz membuktikan beliau bukan sahaja mampu bergelar Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28 bagi filem, "Manisnya Cinta di Capaadoccia' tetapi dalam masa yang sama berjaya bergelar usahawan selebriti melalui produk tudungnya di bawah jenama ‘Fazura’ disusuli beberapa lagi urus niaga lain.



Terbaharu, tidak terhenti dengan bisnes sedia ada, Faz memperkenal pula produk terbaharunya, kopi diet, ‘Trully Caffe’ melalui jenama yang dinamakan ‘Trully Dolly’.

“Faz memang suka minum kopi di samping mengutamakan kesihatan. Sebab itu Faz lahirkan jenama ini memandangkan produk ini mampu mengekalkan gaya hidup sihat dalam mencapai penampilan fizikal yang diinginkan,” ujar Faz pada majis acara ‘Ngope Bersama Fazura sekali gus menyaksikan pelancaran ‘Trully Dolly’ yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Ahad, 5 November lalu. 

Majlis turut dihiburkan oleh penyanyi rap, Yonnie Boi mahu pun penyanyi Ippo Hafiz.



Mengakui kesan mengamalkan minuman kopi dietnya itu mampu mengurangkan nafsu makannya sekali gus berjaya menurunkan berat badannya dari 58kg kepada 52kg, Fazura memberitahu, 'Trully Caffe' dihasilkan rendah kalori tanpa gula dan boleh diperoleh dalam dua perisa iaitu Caffe Latte dan Buttercream Latte.

Turut melancarkan produk terbaharunya itu bersama suaminya, Fattah Amin, Faz memaklumkan, 'Trully Caffe' diperkayakan dengan ekstrak Garcinia cambogia, ekstrak kopi hijau dan safron yang dilaporkan berpotensi membantu penjagaan berat badan. 

Tidak hanya mengkhususkan produknya kepada kaum wanita, 'Trully Caffe' juga boleh diminum oleh kaum lelaki yang mementingkan kesihatan dan penjagaan berat badan. 

“Setiap paket Trully Caffe mempunyai 7 sachet bagi program 7 hari diet dengan harga mampu milik berharga RM47,” tambah Faz sambil berkata ia boleh dibeli daripada stokis dan ejen Fazura yang sah, di kedai Fazuyra dan melalui aplikasi mudah alih Fazura.

Sehingga majlis pelancarannya, sebanyak 10,000 unit telah habis dijual manakala sasaran jualan keseluruhannya diharap mampu mencecah jualan sehingga 500,000 unit.

"Apa pun dengan jualan 10,000 sebulan pun cukup memuaskan," ujar Faz.

Fazura bersama ahli-ahli keluarganya yang sentiasa  memberikan sokongan.


Tidak terlepas daripada soalan berhubung kerjaya seninya, Fazura akui rindu berlakon drama dan filem selepas terakhir menjayakan watak ‘Nafeesa’ dalam filem pertama terbitannya. Fazura Pictures dan filem iklan tudung Fazura Raya Pink Label, ’Kakak Kita Ke Jakarta’.

“Alhamdulillah, Faz sedang sibuk di dalam penggambaran drama terbaharu yang akan ditayangkan pada Ramadan 2024 dan berharap drama ini dapat memenuhi permintaan para peminat setelah Faz sekian lama tidak berlakon,” ujarnya.

Pun begitu, sebagai seorang selebriti usahawan, beliau mengakui memang rasa tercabar dalam mengimbangi urusan keluarga, kerjaya dan perniagaan dalam masa yang sama.

“Tetapi Faz sangat bersyukur kerana masih mampu melaksanakan semuanya dengan baik, berkat doa dan sokongan ramai. Dalam kesibukan itu juga tercetus idea slogan 'Trully Dolly' dan ia “trully jadi",” cerita Faz yang sentiasa mesra dan terbuka dengan apa sahaja persoalan dilontarkan waima hal peribadi sekali pun.


Ini komen Faz mengenai video yang tular...


Sehubungan itu apabila dijebak dengan pertanyaan berhubung komen netizen mengenai penampilannya memakai ‘hoodie’ dan bukan berhijab ketika berhibur di sebuah kelab malam di Indonesia yang tular dalam media sosial, Faz dengan tenang menjawab, “Saya pun tak pasti dengan tuduhan itu, Sebenarnya, saya tidak mahu komen tetapi bila dah ditanya apa yang boleh saya katakan ia satu tuduhan yang amat berat."

Tidak menolak hakikat bahawa beliau memang suka kadangkala memakai ‘hoodie’ atau ‘topi’ ketika berhibur bersama kawan-kawannya namun beliau tahu batasannya.

“Bertahun-tahun lamanya saya berdepan dengan tuduhan sebegini. Tak habis-habis lagi ke?” tanya Fazura kesal dengan pelbagai cara yang dilakukan untuk memburukkan namanya.

Menurutnya, beliau mahu menjadi dirinya sendiri, bukan hipokrit malah tidak pernah terfikir menjatuhkan orang lain demi menaikkan namanya.

“Doakan saya menjadi muslimah yang baik, Walaupun saya memang suka mendengar muzik di restoran yang kadangkala berlampu sedikit gelap itu bukan bermakna saya kaki ‘clubbing’. Saya masih ingat batasan sebagai seorang isteri dan muslimah. “ tambah pelakon yang bakal tampil dalam sebuah filem epik tahun hadapan.

Tidak mahu bercerita lanjut mengenai filem itu, Fazura sekadar berkata,’tunggu nanti pengumumannya oleh pihak penerbit’. 



Mengenali Fazura sekian lama, penulis akui beliau antara artis yang jujur dan mempunyai prinsip diri malah terbuka menyatakan pendapatnya baik atau buruk sekali pun.

Penulis masih ingat Fazura satu-satunya artis yang memberikan pujian kepada artikel  penulis mengenainya dalam majalah Wanita ketika berkhidmat di Kumpulan Utusan satu ketika dahulu.

Katanya, "Saya suka baca artikel yang kak tulis, ia lain daripada penulisan lain yang pernah  saya baca."

Terima kasih Faz dari penulis yang juga disapa Kak Fas!  - KitaReporters

14
10
0
13
0
You will be interested