Seni & Sukan 18 Jul, 2021

'Boleh telan air liuq' kata Naqui bila Nabil gandingkannya bersama Lizzie! Filem Mat Bond Malaya

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


JUARA Raja Lawak musim ke-2 yang kini telah bergelar penerbit dan pengarah filem, Nabil Ahmad berharap dapat mencapai sasaran RM10-20 juta daripada tayangan filem produksi sulungnya, ‘Mat Bond Malaya’ yang bakal ditayangkan di layar pawagam rumah anda melalui Astro First sempena sambutan Aidiladha pada 20 Julai 2021 ini.

Pemilik nama penuh, Ahmad Nabil Ahmad, 38, seterusnya berjanji jika sasaran itu dapat dicapai, beliau tidak teragak-agak untuk melunaskan janjinya memberi bonus atau bayaran tambahan berganda kepada pelakon dan krew produksi syarikat penerbitannya, KMN Production.

“Walau pun filem ini bergenre komedi aksi tetapi ia mempunyai mesej keagamaan di sebaliknya. Jadi sekiranya nak tahu apa yang ingin saya sampaikan silalah menontonnya,” ujar pengacara rancangan hiburan Meletop dan Gegar Vaganza ini melalui sidang media secara virtual yang dianjurkan pada 16 Julai 2021, yang turut dihadiri pelakon utamanya, Naqiu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Nabil Ahmad



‘Mat Bond Malaya’ bakal menemui penonton bermula pada hari yang mulia, iaitu pada 20 Julai 2021 ini bersamaan  sambutan Hari Raya Aidiladha di Astro First saluran 480 yang mana penonton hanya perlu melanggan tayangannya pada kadar RM15 untuk dua hari tayangan berturut-turut.

Tentu korang nak tahu kan apa menariknya filem yang pertama kali dihasilkan oleh seorang pengarah baharu yang lebih terkenal selama ini sebagai seorang komediri (stand-up comedian)?

Iya lah, dahulu  beliau hanyalah seorang penghantar surat dengan gaji RM600.  Siapa sangka nasibnya berubah 360 darjah sejak dinobatkan Juara Raja Lawak 2008 sehingga mendapat gelaran Nabil Raja Lawak.

Dan sekarang  dalam masa 13 tahun perjalanan seninya, Nabil sudah berupaya bergelar penerbit dan pengarah malah mampu pula membawa nama-nama besar dalam industri mewarnai filem pertama arahannya ‘Mat Bond Malaya’.



Dan paling menarik, filem sulungnya itu ditawarkan pula kepada seorang anak seni yang bukan lahir dari dunia lakonan tetapi bergelar penyanyi, Juara Gegar Vaganza musim ke-6 (2019), Naqui Boboy, 34, atau nama penuhnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib.

Lebih sensasi apabila Nabil menggandingkan pula Naqui dengan pelantun lagu ‘Knock Knock’, Elizabeth Tan atau lebih terkenal dengan sapaan Lizzie.

Ramai yang berpendapat gandingan hero dan heroin ini bagaikan langit dengan bumi, jauh bezanya, 

Seorang kurus dan tak berapa nak ‘handsome’ manakala heroinnya jelita dan bergaya persis gadis gadis filem ‘James Bond 007’ gayanya.

Seperti kata Naqiu sendiri melalui laman instagramnya, “Korang rasa mamat keding ni dapat ke tak mengurat awek cun seksi ni?’




Persoalannya kenapa watak Mat Bond Malaya diberikan kepada Naqiu dan tidak kepada pelakon-pelakon berbadan sasa dan kacak contohnya Zul Ariffin ke, Remy Ishak ke, Aaron Aziz ke? Kenapa Naqiu?

“Naqiu, memiliki wajah dan karakter yang lengkap dalam bayangan saya untuk memegang watak Mat Bond,” tegas Nabil berpuas hati dengan pilihannya.

Bukan itu sahaja, pengacara hiburan terbaik di Asian Academy Creative Awards ini memberikan lagi kejutan kepada penonton apabila berjaya melibatkan nama-nama hebat dalam industri seni untuk turut membintangi filem pertamanya ini.


Antara babak-babak lakonan Yusof Haslam (atas) dan Aliff Syukri dalam 'Mat Bond Malaya'.


Antara mereka itu terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri, Michael Ang, Mamat Khalid, Ghaz Abu Bakar, Ning Baizura, Aziz M Osman mahu pun artis Korea,  Han Byul.

“Paling sukar untuk saya memujuk tentulah Tok Ram, “ kenang Nabil ketika mempelawa komposer terkenal, Ramli MS itu terlibat dalam filemnya.

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini melahirkan ucapan terima kasih tidak terhingganya apabila kesemua nama-nama bintang hebat itu sanggup menerima tawarannya.

“Saya anggap persetujuan mereka itu sebagai harga kasih sayang dan amat menghargai apabila kesemua mereka memberikan komitmen walau pun dibayar dengan harga kawan-kawan cuma apa yang boleh saya janjikan jika dapat capai RM20 juta atau pun RM10 juta sekali pun, saya akan menambahkan bayaran kepada semua,” akui Nabil. 

Sementara itu, bagi Naqiu, beliau sendiri tidak sangka dapat peluang berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

“Jika nak lihat sisi kelainan saya, inilah masanya,” ujar Naqiu ringkas dalam ketawa kecil sambil mengakui selama ini beliau percaya peminatnya hanya mengenalinya sebagai penyanyi.

“Saya sendiri pun bila tengok lakonan dalam filem ini terbit kata-kata dalam hati… ‘kelakar gak aku kan?’,” tambah Naqiu sambil berharap lakonan pertamanya ini dapat menghiburkan penonton. - KitaReporters


Nabil bersama Tok Ram. - Foto kredit: Instagram tokram_ramlins. 

0
0
0
0
0
You will be interested