Seni & Sukan 30 May, 2021

Berita Terkini| Teruja beli telefon murah dalam talian! Remaja ditipu RM15k! Guna duit keluarga!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke [email protected]

Share this


GARA-GARA ingin bergaya dan memakai telefon bimbit berjenama iPhone dengan harga murah, seorang remaja lelaki kerugian RM15,300 selepas ditipu penjual dalam talian pada Sabtu, 29 Mei 2021.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 17 tahun itu terbaca iklan penjualan telefon bimbit dari Singapura dalam media sosial yang menawarkan telefon bimbit Iphone X dengan harga RM300.

"Mangsa kemudian menghubungi penjual telefon bimbit tersebut melalui sistem pesanan ringkas dalam Instagram. Mangsa diminta untuk membuat bayaran ke dalam akaun bank diberi dan dijanjikan akan menerima telefon Iphone tersebut dalam masa terdekat.

"Pada masa sama, mangsa dihubungi dua individu lain yang memperkenalkan diri wakil daripada pihak jaminan (warranty) Apple dan pihak kastam dari Singapura,” katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian, Ahad, 30 Mei 2021.

Kedua-dua individu berkenaan kemudian meminta mangsa untuk membuat beberapa bayaran dan berjanji wang mangsa akan dipulangkan semasa dia menerima kiriman telefon tersebut.

Mangsa yang tidak menyedari ia merupakan taktik penipuan sindiket penjualan telefon bimbit membuat beberapa bayaran ke dalam tiga akaun bank berbeza secara berperingkat-peringkat.

"Jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan mangsa adalah RM15,000 kerana mangsa mempercayai wang tersebut akan dipulangkan semula. Dia bagaimanapun sedar ditipu apabila individu tersebut masih memintanya untuk membayar RM15,000 kepada mereka bagi menggenapkan nilai RM30,000.

"Wang itu kononnya untuk proses kiriman telefon Iphone yang dibeli mangsa dan jumlah tersebut akan dipulangkan semula kepadanya,” katanya.

Mangsa yang menyedari diri dianiaya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Noorzainy berkata, pelajar tersebut menggunakan wang bapanya yang juga seorang ahli perniagaan untuk membeli telefon bimbit itu. Kes tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Gambar hiasan... MANGSA telah membuat beberapa bayaran ke dalam tiga akaun berberza secara berperingkat-peringkat.

 

0
0
0
0
0
You will be interested