PELBAGAI kempen kesedaran dan kemudahan dibuat bagi mengurangkan kes gangguan seksual dan jenayah rogol yang menjadikan wanita sebagai mangsa. Antaranya, menyediakan parkir (tempat letak kereta) khas untuk golongan wanita berseorangan di pusat beli belah serta menyediakan koc khas untuk wanita sahaja bagi pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan Monorail. : KitaReporters
Lagi cerita berkaitan wanita:
https://kitareporters.com/search?search=wanita
Namun, kesedaran ini bukan semua patuhi terutama oleh golongan Adam kerana kurangnya kesedaran sivik dalam diri. Mereka akan menggunakan keistimewaan golongan wanita ini demi kepentingan dan kemudahan mereka.
Terbaharu, seorang pengguna Facebook berkongsi pengalaman mendebarkan kerana diekori seorang lelaki yang tidak dikenali ketika berada di parkir pusat beli belah, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kejadian itu disedari apabila pintu kenderaan miliknya diketuk oleh seseorang yang tidak dikenali yang cuba membuka pintu kenderaannya.
Lebih menakutkan lelaki yang berpakaian pelik dengan mengenakan tudung itu turut mengetuk beberapa kali cermin sisi kenderaannya.
May Qi menerusi hantaran Facebook peribadinya berkongsi beberapa keping gambar dan video yang dirakam secara jelas bagaimana dia berdepan saat menakutkan. Namun dia bersyukur kerana sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati dan sentiasa mengunci pintu setiap kali memasuki kenderaan.
“Tak dapat nak bayangkan apa yang akan berlaku jika tidak mengunci pintu tadi,” kongsinya dalam Facebooknya.
Keadaan tersebut membuatkan May Qi bertambah panik, namun dia bertindak tenang dan memastikan kenderaan berada selamat dan berkunci. May Qi yang sempat merakamkan kejadian mendebarkan itu cuba meminta pertolongan dengan membunyikan hon kenderaan berkali-kali bagi menakutkan lelaki berkenaan.
Namun nasib May Qi baik apabila pengawal keselamatan segera mendekati dan menawarkan bantuan kepadanya. Tetapi belum sempat dia mengadu kepada pengawal keselamatan berkenaan lelaki tersebut terus beredar.
Lebih mengejutkan lelaki yang bertudung itu terus membuka
tudungnya sambil berjalan secara seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
Malah, turut kelihatan pengawal berkenaan bertanya beberapa soalan kepada lelaki pelik tu sebelum dia beredar meninggalkan kawasan parkir itu.
Wanita itu berkata, dia tidak menyangka kejadian tersebut berlaku kepada dirinya kerana sebelum ini hanya mengetahui kejadian menakutkan daripada rakan terdekat dan media sosial sahaja.
“Hari ini kejadian menakutkan berlaku kepada saya sendiri, sebelum ini hanya mengetahui perkara di media social sahaja tapi kali ini betul-betul berlaku kepada saya sendiri,” ujarnya sambil meminta orang ramai lebih berhati-hati apabila berada di kawasan letak kenderaan.
Dia berharap pihak pengurusan pusat beli belah Mid Valley meningkatkan tahap
keselamatan di kawasan parkir berkenaan bagi mengelak kejadian sama atau lebih buruk daripada berulang.
May Qi berkata, dia terus membuat laporan polis
dan juga laporan kepada pengurusan pusat beli belah berkenaan demi
keselamatan dirinya dan berharap kejadian sama tidak akan berulang kepada
individu lain di kawasan letak kenderaan tersebut. - KitaReporters