Seni & Sukan 13 May, 2020

Program masak bubur lambuk KRT! Penduduk tak lagi kempunan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

BUBUR Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB), Kuala Lumpur sudah menjadi sinonim setiap kali tiba bulan Ramadan bagi penduduk di Lembah Kelang untuk menikmatinya. Bagaimanapun pihak pengurusan masjid itu terpaksa membatalkan program tahunan edaran bubur lambuk pada tahun 2020 ini berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan. : KitaReporters

Masjid Jamek Kampung Baru terpaksa menghentikan program agihan bubur lambuk tahun ini berikutan PKP bagi membanteras penularan Covid-19. - Kredit photo METROTV


Mengambil inisiatif itu dan juga bagi memenuhi permintaan komuniti, Kawasan Rukun Tetangga (KRT)  Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor melancarkan Program Masak Bubur Lambuk baru-baru ini.

Pengerusinya, Mahmod Mat Ali berkata, pembatalan program bubur lambuk MJKB itu seolah-olah terkesan oleh kami khusus surau di taman perumahan kerana memasak bubur lambuk turut menjadi rutin untuk Majlis Penghayatan Ramadan yang dianjurkan setiap tahun.

Seorang AJK KRT Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor

sedang mengacau adunan bubur lambuk. 


Menurutnya, selepas kerajaan memberi kelonggaran dalam Fasa 4 PKP dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ahli Jawatankuasa (AJK) KRT Kasturisari mengambil inisiatif untuk menggantikan majlis itu dengan program memasak bubur lambuk.

Katanya, program itu secara tidak langsung mengubati rasa kempunan penduduk di kejiranan berkenaan untuk menikmati bubur lambuk yang seolah-olah menjadi penyeri majlis moreh selepas solat tarawih.

Beberapa AJK KRT sedang membungkus bubur lambuk yang sudah siap dimasak.



“Ada sesetengah penduduk di taman itu sanggup ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menunggu agihan bubur ambuk di MJKB pada setiap tahun sebelum ini kerana ingin menikmati keenakan juadah berkenaan apabila berbuka puasa.

“Program itu juga secara tidak langsung menyegarkan hubungan kejiranan yang terpaksa berkurung kerana PKP memandangkan sebelum ini mereka selalu berkumpul di dewan komuniti untuk berbincang pelbagai permasalahan berbangkit,” katanya ketika dihubungi.

AJK menyerahkan sebungkus Bubur Lambuk kepada seorang penduduk.


Mahmod berkata, bagi memasak sebanyak 12 kilogram beras bagi dijadikan bubur lambuk itu ia hanya membabitkan beberapa AJK sahaja sebagai mematuhi larangan berkumpul yang menjadi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP.

Menurutnya, mereka mengambil masa kira-kira empat jam bagi memasak bubur lambuk itu yang kemudian dapat menghasil 200 bungkus untuk diagihkan kepada 165 unit rumah dalam KRT berkenaan.

AJK bergerak ke setiap rumah untuk mengagihkan bubur lambuk.


“Bubur lambuk turut diagihkan kepada keluarga bukan Muslim untuk sama-sama menikmati keistimewaan juadah itu setiap bulan Ramadan.

“Ini juga sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang turut memberi kerjasama bagi memgumpul dana untuk membiayai kos membuat bubur lambuk itu,” katanya. - KitaReporters

7
0
0
0
0
You will be interested