Seni & Sukan 14 Oct, 2020

Mai kita sokong Adibah Noor! Diejek seorang guna akaun palsu

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

SEBELUM ini umum mengetahui kisah penyanyi dan pengacara terkenal, Adibah Noor pernah berdepan dengan keperitan hidup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 yang lalu apabila hilang tawaran kerja. Malah, dia terpaksa menggadai barang kemas miliknya untuk meneruskan hidup. : KitaReporters 

Adibah Noor bersama barisan pelakon drama bersiri Kampung People 2.


Lagi cerita-cerita berkaitan body shaming:

https://kitareporters.com/search?search=body+shaming


Alhamdulillah, selepas tamat tempoh PKP dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), rezeki kembali datang kepadanya.

Tawaran kerja mula ada sedikit demi sedikit sehingga wajahnya muncul kembali di kaca televisyen dalam drama bersiri popular Kampung People musim kedua.

Namun, setelah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang bermula semalam Rabu, 14 Oktober 2020, ia mungkin memberi kesan kepada kerjayanya sekali lagi.

Menurut Adibah menerusi laman Twitternya, dia mempunyai dua tawaran kerja di selatan tanah air.

“Ya Allah, baru nak dapat kerja. Ada dua kerja di Johor Bahru minggu ni. Ya Allah, Allah, Allah, Allah, Allah. Saya sangat marah ya Allah,” tulisnya tanda meluahkan perasaan.


Sungguhpun sektor ekonomi tidak ditutup ketika PKPB, namun sudah pasti acara yang akan melibatkan kerjanya itu akan dibatalkan. Lagipun ketika PKPB tidak dibenarkan rentas daerah kecuali mempunyai surat kerja daripada majikan.


Luahan Adibah di Twitternya itu, mendapat respons positif dan negatif daripada netizen. Namun, ada satu akaun Twitter yang seakan-akan sangat membenci penyanyi ini melemparkan kata-kata kesat.



Bukan sahaja kata-kata kesat tetapi juga telah melakukan mengejek bentuk tubuh atau ‘body shaming’ terhadap Adibah. Malah, berlaku perang mulut antara individu yang menggunakan akaun palsu itu dengan Adibah.


Akaun Twitter yang pada mulanya menggunakan nama HVoicito itu bertindak menutup akaun lama dan membuka akaun baharu dengan nama ‘Washito Voicito’ setelah identitinya terbongkar kerana didapati sering melayari laman porno.


Sungguhpun begitu, individu terbabit tetap melemparkan kata-kata kesat terhadap Adibah.

“Itulah kau ni jenis yang mulut jahat. Itulah rezeki pun tak masuk. Asyik kena halang hahaha kesian kan kau ni. Lain kali jaga urusan sendirilah. Kau ni betul-betul lawaklah. Macam badut,” tulis individu berkenaan.


Sungguhpun dilemparkan dengan kata-kata kesat, Adibah dilihat sentiasa tenang berdepan dengan orang sedemikian. Berikut adalah beberapa kata-kata hinaan yang dilemparkan oleh individu terbabit kepada Adibah.



Untungnya Adibah, seorang yang mengeji, berpuluh-puluh lagi netizen yang membelanya. Itulah bukti menunjukkan Adibah seorang artis yang disayangi peminat.

Sekiranya anda tidak suka pada seseorang artis, bukankah lebih baik tidak mengikutinya di mana-mana media sosial. Daripada melemparkan kata-kata kesat serta body shaming yang mendatangkan dosa tapi 'menggemukkan' pahala orang lain. - KitaReporters

0
0
1
0
0
You will be interested