Seni & Sukan 15 Oct, 2020

Syabas Luqman! Gol sulung perlawanan rasmi di KV Kortrijk!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

“CEMERLANG! Syabas Luqman (Hakim Shamsudin)! Mungkin ini gol ‘biasa-biasa’ tetapi prestasi Luqman sangat luar biasa. Teruskannya!” Mesej pujian kepada penyerang muda negara di kelab Belgium, KV Kortrijk ini disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi laman Twitternya, awal pagi semalam, 14 Oktober 2020. : KitaReporters

LUQMAN Hakim Shamsudin (kiri) sentiasa mendapat sokongan moral yang padu daripada Reezal Merican Naina Merican. - Kredit foto FB Reezal.


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=luqman+hakim


Luqman, 18, menjaringkan gol perlawanan rasmi pertamanya yang juga jaringan kemenangan skuad bawah 21 tahun KV Kortrijk 1-0 terhadap KFCO Beerschot Wilrijk dalam saingan Kumpulan 2 Liga Simpanan 1A Belgium, pada Selasa 13 Oktober 2020. 

Bintang ‘Harimau Remaja’ itu melompat untuk menanduk masuk satu hantaran menyilang dari sebelah kiri pada minit ke-83 untuk memastikan tiga mata KV Kortrijk yang kini menghuni tempat keempat liga tanpa kalah selepas enam perlawanan dalam saingan 16 pasukan. 

Luqman membalas ciapan Reezal itu dengan, “alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Walaupun gol biasa-biasa, berkat doa anda semua. Inilah gol pertama saya bagi perlawanan rasmi pada 2020.”


LUQMAN menayangkan sepanduk slogan tekadnya apabila merantau ke kelab KV Kortrijk, Belgium mulai 14 Ogos 2020 lalu. - Kredit foto FB Reezal Merican.


Berdasarkan statistik perlawanan, gol anak jati Kota Bharu, Kelantan itu ialah antara empat percubaan KV Kortrijk ke arah gol dan satu daripada 52 serangan berbahaya ke kubu tuan rumah. 

KV Kortrijk kini mengumpul 14 mata, kurang dua mata di belakang pendahulu St. Truidence VV selain mengekori Royal Charleroi dan Union Saint Gillois yang masing-masing memungut 15 dan 14 mata.  


LUQMAN (kiri) bersorak girang ketika jaringan menentang BX Brussel, 4 September 2020. - Kredit foto KV Kortrijk.


Tanggal 4 September 2020 lalu, Luqman meledak gol sulung dalam penampilan pertamanya dengan skuad utama KV Kortrijk ketika perlawanan persahabatan menentang BX Brussel. 

Luqman yang berlepas ke sana pada 14 Ogos lalu selepas menandatangani kontrak lima tahun dengan kelab kepunyaan saudagar Malaysia, Tan Sri Vincent Tan, menjaringkan gol pada penampilan sulungnya dengan skuad B21. Gol rembatan kencangnya pada 27 Ogos 2020 itu dilakukan ketika menentang KRC Gent juga dalam perlawanan persahabatan.   

Penjaring terbanyak Kejohanan Bawah 16 Tahun AFC 2018 ini juga dijangka kembali memperkasa skuad Bawah 19 Tahun Malaysia ke Kejohanan B19 AFC di Uzbekistan yang ditunda ke 2021 dari jadual asalnya, 14 hingga 31 Oktober 2020 lalu gara-gara penularan pandemik maut Covid-19. - KitaReporters

LUQMAN (kanan) masuk sebagai pemain gantian skuad utama KV Kortrijk menentang RWD Molenbeek, 6 Oktober 2020 lalu. - Kredit foto KV Kortrijk.

0
0
0
0
0
You will be interested