Seni & Sukan 06 Dec, 2020

Tahniah Kerteh FC! Kerteh Soccer School ahli gangsa SupaRimau

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

KERTEH Soccer School, sekolah pembangunan bola sepak Kerteh FC telah mendapat pengiktirafan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Ahli Gangsa Piagam SupaRimau FAM. Ahli Gangsa merupakan kategori asas piagam tersebut yang diberikan kepada akademi bola sepak yang menekankan kepada asas yang kuat untuk pertumbuhan masa depan. : KitaReporters 



Lagi cerita-cerita berkaitan SupaRimau:

https://kitareporters.com/search?search=SupaRimau


Menurut kenyataan media Kerteh FC, dengan pengiktirafan itu bermakna Kerteh Soccer School layak menggunakan piagam untuk tujuan promosi, sekali gus mendorong usahawan tempatan dan penaja untuk sama-sama menyokong program akar umbi.

Selain itu, Kerteh Soccer School juga layak menyertai Liga Akar Umbi FAM atau Liga SupaRimau yang menyediakan persaingan menyeluruh dan mencorak perjalanan karier pemain. 



Keistimewaan memperoleh piagam ini, akademi yang melabur dalam latihan dan pendidikan pemain muda harus diberi penghargaan sekiranya satu pemainnya berjaya menjadi profesional.

Faedah istimewa dan menarik untuk semua jurulatih dan pemain akademik akar umbi bersama rakan premium FAM SupaRimau namun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menerusi surat kepada Kerteh FC memaklumkan permohonan Kerteh Soccer School telah diluluskan pada 30 September 2020 dan akan membuat penilaian semula sebelum 31 Disember 2021.



"Pengiktirafan oleh FAM ini merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi Kerteh Soccer School sekali gus menyemarakkan lagi semangat kami untuk mencungkil bakat-bakat muda," kata Pengurus Akademi Kerteh Soccer School, Mohd Ridzuan Mansor, dalam kenyataan media pada 4 Disember 2020 itu.

FAM menggariskan lima kriteria untuk sesebuah akademi bola sepak memperoleh piagam sama ada Gangsa, Perak atau Emas iaitu dari segi kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan. 



Sementara itu Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, pusat aktiviti akar umbi yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja yang berpotensi berjaya menarik minat hampir 120 orang penyertaan daripada masyarakat sekitar.

"Bagi menyokong perkembangan program ini, kami telah merancang beberapa perkara khusus pada tahun hadapan antaranya pembukaan cawangan Kerteh Soccer School di sekitar Lembah Klang," katanya.

Kerteh FC adalah kelab bola sepak komuniti yang beraksi dalam M4 Liga Malaysia.  Ditubuhkan pada 2018, Kerteh FC telah memenangi gelaran berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) dalam penampilan sulung pada 2019. 

Dimiliki dan diuruskan oleh KAL Services Sdn Bhd, kelab yang diberi gelaran “The Oiler” ini berpusat di Kerteh, Kemaman, Terengganu.



Dalam satu kenyataan media yang lain, Kerteh FC mengumumkan, syarikat agensi kreatif, INKA Creative Sdn Bhd membuat pelaburan dalam kelab bola sepak tempatan itu melalui pembelian saham KAL Services Sdn Bhd sebanyak 10%. Pembelian saham itu adalah sebahagian daripada perjanjian untuk membantu Kerteh FC dalam  strategi, pemasaran dan penjenamaan kelab.

Sebahagian daripada inisiatif baru bersama INKA Creative adalah untuk membentuk imej baru Kerteh FC sejajar dengan perkembangan industri bola sepak negara dan antarabangsa. Ini akan membuka ruang kepada Kerteh FC untuk menginovasi pengurusan pasukan bola sepak ke tahap yang lebih tinggi serta menjadi peneraju revolusi penjenamaan dan imej kelab bola sepak komuniti di Malaysia. 

“Dalam era teknologi digital pasca COVID-19 ini, kita akan melihat bagaimana teknologi digital memainkan peranan yang penting dalam memberi penambahbaikan bagi perniagaan, peningkatan pengalaman pengguna dan kepintaran proses untuk menghasilkan perniagaan lebih menguntungkan. Kelab amat memandang serius akan kepentingan ini.

"Kelab juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada INKA Creative, yang menaruh kepercayaan kepada kami dalam pemilikan sebahagian daripada saham kelab." kata Mohd Razeman. 

INKA turut berperanan memberi latihan dan mengurus kakitangan Kerteh FC bagi menghasilkan kerja-kerja reka bentuk kreatif digital kelab di laman sesawang, media sosial dan aset-aset di bawah seliaan kelab. 



"Kami percaya dengan kebolehan dan potensi Kerteh FC sebagai kelab bola sepak komuniti yang mampu mengubah pandangan dan persepsi peminat bola sepak terhadap kelab-kelab tempatan. 

"Bersama INKA Creative, Kerteh FC akan membangun seiring dengan visi dan wajah baru. Adakah anda sudah bersedia untuk era baru bola sepak negara?" kata Pengarah INKA Creative, Al-Amin Abd Moin dalam kenyataan media pada 5 Disember 2020 itu.

Untuk rekod, INKA Creative telah banyak terlibat dalam pembinaan jenama pelbagai syarikat. Mereka pernah menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa dalam aspek penjenamaan dan pemasaran secara komprehensif. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested