Seni & Sukan 19 Oct, 2020

Goyang Upin Ipin jadi Goyang Sama-Sama! Tyka Zatyka! Goyang!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

JIKA disebut ‘Upin Ipin’, rasanya bukan sahaja satu Malaya tahu bahkan animasi popular ini cukup dikenali di luar negara khususnya di Indonesia apatah lagi lagu ‘Goyang Upin & Ipin’ menjadi siulan anak-anak muda. Terkini, lagu itu bertukar judul pula menjadi ‘Goyang Sama Sama’. Pasai apa?? : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan Upin & Ipin:

https://kitareporters.com/search?search=upin


Tentu soalan pertama yang dilayangkan adalah ‘dah kenapa ditukar, sedangkan  video muzik lagu berkenaan yang dimuat naik ke saluran YouTube rasmi Les Copaque Production (LCP)  sejak 3 Ogos 2020 lalu sudah pun meraih lebih 65 juta tontonan? Ia dinyanyikan oleh suara karakter asal animasi berkenaan.



Tetapi sekarang ini ''Goyang Upin & Ipin' diberi nafas baharu oleh pemilik nama penuh Noor Amierazatyka Ayob atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Tyka Zatyka, 25, berasal dari Johor Bahru dengan judulnya berubah kepada 'Goyang Sama-Sama'.

Kenapa memilih Tyka? Apa keistimewaannya?

Sebagai mana animasi ‘Upin & Ipin’ diminati di  Indonesia, pemilihan Tyka juga dilihat tepat untuk projek usaha sama Nova Music dan LCP untuk rakaman semula lagu animasi terkenal ciptaan Arif Asyraf  Munap itu menjadi ‘Goyang Sama-Sama’.

Ini kerana dia sendiri mempunyai kelompok peminat di sana selepas menyertai dan memenangi tempat keempat pada pertandingan D’Academy Asia (DAA) di Indonesia musim ke-4 pada tahun 2018.



“Semuanya terjadi begitu pantas. Saya menerima mesej dari pihak Nova Music beberapa bulan lalu. Ketika itu kebetulan saya ada di KL kerana ada persembahan menyanyi dengan Noraniza Idris.

Bercerita lanjut, Tyka menambah kata, ketika diberitahu lagu animasi ‘Upin & Ipin’ mahu digubah kepada rentak dangdut untuk dinyanyikan, ada beberapa nama penyanyi yang dicadangkan.

“Tetapi rezeki berpihak kepada diri ini. Satu penghormatan untuk artis baru seperti saya, “ ujar Tyka atas peluang manis yang ditawarkan.

“Kebetulan sejak menyertai DAA musim empat (DAA4), saya terdedah dengan lagu dangdut. Jadi mungkin juga itu antara lesen besar tuah memihak kepada saya,” tambahnya optimis.

Menurut Tyka, ketika bersaing di pentas  DAA4, irama dangdutlah yang membantu namanya dikenali di sana. 

"Mungkin juga irama dangdut yang akan beri tuah untuk saya menyinar selepas ini. Saya tak kisah jika ada yang menganggap diri ini menumpang populariti Upin & Ipin. Semuanya itu soal rezeki," jelasnya.

Rakaman lagu 'Goyang Sama-Sama' dibuat pada 12 Ogos 2020, manakala video muziknya pula dirakam pada 12 September 2020 dan itu menyebabkan angka 12 seolah membawa tuah kepadanya.

“Sebesar impak lagu itu dapat sambutan hangat di Indonesia serta Malaysia, saya juga mengharapkan yang sama untuk versi baharu ini,” harapan Tyka yang berkemampuan menyanyikan lenggok irama Malaysia sejak kecil waima dengan genre dangdut itu ia membuktikan kemampuannya sebagai penyanyi versatil.

Anak bongsu daripada lima beradik ini sebenarnya mula menunjukkan kebolehan menyanyi sejak usia empat tahun. 

Lagu irama Malaysia, 'Seri Mersing' menjadi karya pertama dinyanyikannya sewaktu kecil bahkan pernah muncul dengan single ”Wangikanlah Hatimu” berduet dengan Noraniza Idris dan single ”Cinta Happy”.



Sementara itu, Eddie Hamid selaku Pengarah A&R Nova Music optimis dengan pemilihan Tyka dalam projek berkenaan. 

“Saya percaya gabungan lagu animasi Upin & Ipin dan Tyka ini seperti serampang dua mata kerana kedua-dua jenama itu ada pengaruh di Indonesia khususnya. 

Jom kita sama-sama dengar bagaimana versi terbaharu daripada lagu asal ‘Goyang Upin & Ipin’ ini yang bergenre dangdut. Ayuh! ‘Goyang Sama-sama’. - KitaReporters



2
0
0
0
0
You will be interested