Seni & Sukan 02 Oct, 2021

Kahwin dua: Bambang Pamungkas menang kes! Tuntutan nafkah Amalia Fujiawati, anak-anak ditolak!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Bambang Pamungkas tenang hadapi dakwaan. Kredit foto: Instagram Bambang Pamungkas.


Nama Bambang Pamungkas tiba-tiba kembali meledak selepas dua tahun menggantung but sebagai pemain bola sepak. Tapi, kali ini bukan kerana ketangkasannya menjaringkan gol sebaliknya kisah perkahwinan rahsianya yang didedahkan oleh seorang wanita bernama Amalia Fujiawati.

Sejak Mac, 2021 lalu, nama Bambang menjadi sorotan media Indonesia serta bualan dalam kalangan peminat bola sepak negara itu ekoran tindakan Amalia mengheretnya ke Pengadilan Agama (Mahkamah Syariah) Jakarta Selatan bagi mengesahkan status dua orang anaknya yang didakwa hasil perkahwinan dengan bekas pemain berkenaan, sekali gus menfailkan tuntutan nafkah.

Kes itu difailkan pada 18 Mac, 2021 dan mula dibicarakan mulai 31 Mac, 2021. Namun, sejak awal perbicaraan, Bambang tidak pernah muncul sebaliknya hanya diwakili peguam.

Berdasarkan tuntutan itu, Amalia meminta Bambang mengesahkan anak yang dilahirkannya pada 2019 sebagai anak kandung pemain itu, juga meminta agar anak yang ketika tuntutan itu masih dalam kandungannya turut disahkan sebagai anak kandung mereka.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bambang Pamungkas

Amalia Fujiawati mendakwa pernah berkahwin dengan Bambang dan mempunyai dua orang anak daripada perkahwinan itu.


Bambang didakwa menikahi Amalia secara rahsia pada tahun 2018 namun berpisah pada Disember 2020. Dia merupakan isteri kedua Bambang yang ketika sudah memiliki isteri bernama Tribuana Tungga Dewi.

Selepas perpisahan itu, Amalia mendakwa tidak pernah berhubungan dengan pemain berkenaan namun mengakui Bambang masih memberi nafkah.

"Beliau masih memberikan sampai sekarang. Kalau ada pengurangan, biasanya kerana Covid-19. Tapi masih membiayai, cuma bukan masalah semua dibiayai, ada hal lain yang diperhitungkan," ujar peguam Amalia, Ali Nurdin ketika itu.

Walau bagaimanapun perjuangan Amalia berakhir dengan kekecewaan apabila pada 23 September, 2021 lalu mahkamah menolak tuntutannya kerana gagal membuktikan perkahwinannya dengan Bambang sebagaimana didakwa.

Walaupun Amalia mendakwa ujian DNA yang dilakukan ke atas anak perempuannya, Raneysha Ayu Anjani membuktikan Bambang adalah ayah kepada puterinya itu namun dia gagal menyerahkan bukti itu kepada mahkamah sepanjang perbicaraan.



Tidak terbukti adanya perkawinan antara Amalia dengan Bambang, juga tidak terbukti ada hubungan antara Bambang dengan anak." - Peguam Bambang 


Keputusan Pengadilan Agama Jakarta Selatan itu jelas melegakan Bambang. Peguamnya, Z Khassanul berkata walaupun Amalia mendedahkan pelbagai perkara kepada umum termasuk soal DNA namun semua dakwaan itu gagal dibuktikan di mahkamah.

"Ujian DNA itu yang pernah didedahkan kepada media tidak pernah disampaikan kepada pengadilan. Makanya dalam pertimbangannya disampaikan bahawa ujian DNA tidak pernah diajukan pada perbicaraan. Selagi ia belum disampaikan dalam perbicaraan, saya tidak boleh menganggap hasil ujian itu benar atau tidak.," ujar Khassanul.

Khassanul menganggap pihak mahkamah membuat pertimbangan serta keputusan yang wajar berdasarkan kegagalan pihak responden mengemukakan bukti kepada dakwaannya.

"Tidak terbukti adanya perkawinan antara yang mendakwa dengan yang didakwa, iaitu antara Amalia Fujiawati dengan Bambang Pamungkas. Selain tidak terbukti pernikahan, juga tidak terbukti ada hubungan antara Bambang Pamungkas dengan anak yang dimintakan pengesahan sebagai anak Bambang," kata Khasannul. 

"Pak Bepe (panggilan kepada Bambang) sudah tahu. Dia bersyukur, bahawa permasalahan sudah selesai dengan hasil yang bagi kami keputusan yang terbaik," kata Khasannul.


Kebahagiaan jelas dalam rumah tangga Bambang dengan Tribuana Tungga Dewi. - Kredit foto: Instagram Bambang Pamungkas.


Sementara itu, Amalia tetap mempertahankan bahawa dua anaknya adalah hasil perkahwinan rahsia dengan Bambang malah sekali lagi mendakwa ujian DNA membuktikannya.

Ujian DNA itu dilakukan antara anak Amalia, Raneysha Ayu Anjani dengan Jane Abel yang merupakan anak Bambang daripada perkahwinan pertamanya dengan Olga Archangela dan hasil ujian mengesahkan kedua-duanya adalah adik-beradik sebapa iaitu Bambang.

“Hasil ujian DNA 92.3 peratus sepadan,” tulis peguam Amalia, Ali Nurdin menerusi InstaStory. Namun ia gagal dibuktikan di mahkamah.

Sepanjang kontroversi itu, Amalia turut mendakwa Bambang meminta dia memalsukan perkahwinan mereka. 

Perkara itu terbongkar apabila Khassanul mengemukakan kepada mahkamah salinan surat pengesahan nikah yang dikeluarkan Pengadilan Agama Soreang, Bandung.


Ujian DNA antara anak Amalia, Raneysha Ayu Anjani dengan anak sulung Bambang, Jane Abel  (gambar atas) didakwa 92.3 peratus sepadan. - Kredit foto: Detik.com


Pengesahan nikah dan buku nikah itu dibuat oleh Amalia sebagaimana diwajibkan oleh majikannya dan dia mendakwa diminta oleh Bambang agar tidak menggunakan nama asal pemain itu kerana mahu merahsiakan perkahwinan mereka.

Mengenai dakwaan itu, Khassanul sekali lagi menegaskan Amalia hanya membuat dakwaan tanpa mengemukakan bukti.

“Kalau benar palsu, ia harus dibuktikan palsu. Dia hanya menyatakan itu palsu. Harus ada satu keputusan tentang kepalsuan itu. Harus ada hukum yang memutuskan bahawa itu adalah palsu,” tegasnya.

Dalam surat pengesahan nikah itu, Amalia dituliskan bukan bernikah dengan Bambang Pamungkas bin H Misranto sebaliknya dengan Bambang bin Arifin yang diakui Amalia tidak wujud.


Amalia mendakwa bayi yang dilahirkannya adalah anak kandung Bambang. 


Tapi yang namanya hakim Allah sebaik-baiknya hakim, kita tidak tahu balasan daripada Allah atas perbuatan Mas Bambang. Kita tak tahu, nauzubilahhiminzalik

Sementara itu, walaupun permohonannya ditolak mahkamah, Amalia mengakui ia tetap satu perjuangan yang bukan sia-sia kerana dia tidak lagi perlu menutupi asal usul anaknya dengan Bambang.

“Saya berjanji kepada diri saya sendiri akan tetap menjaga nama baik Bambang tapi dia ingkar janji dengan anaknya. Tapi, pada satu sisi, ketika saya menjaga nama beliau, juga menutupi kebohongan beliau, dengan adanya tuntutan ini, saya tidak perlu lagi menutupi daripada masyarakat siapa bapa anak-anak saya dan siapa bekas suami saya,” kata Amalia.

“Saya tak perlu lagi merahsiakannya. Saya sudah lega. Saya fikir tidak ada yang sia-sia kerana hidup tetap berjalan normal, akhirnya saya dapat hidup normal tanpa menyembunyikan sesuatu. 

"Tapi yang saya takutkan, pihak Mas Bambang Pamungkas secara dunia ini aman. Tapi yang namanya hakim Allah sebaik-baiknya hakim kita tidak tahu balasan daripada Allah atas perbuatan Mas Bambang. Kita tak tahu, nauzubilahhiminzalik. Itu yang saya takutkan," kata Amalia.



Bambang membantu Selangor menjulang Piala Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005.


Bambang bukanlah nama asing dalam kalangan peminat bola sepak negara ini. Sepanjang dua musim menyarung jersi Selangor (2005 dan 2006), dia membantu pasukan itu menjuarai Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005 menjadikan dirinya sebagai pemain yang paling disayangi penyokong The Red Giants.

Justeru, kontroversi yang sedang melanda Bambang sekarang bukan sahaja menjadi tumpuan media dan masyarakat di Indonesia malah turut mendapat perhatian peminatnya di Malaysia. - KitaReporters


Walaupun gagal dalam tuntutannya namun Amalia mengaku dia kini berasa lega kerana tidak lagi perlu berselindung mengenai status anak-anaknya.

9
15
0
14
0
You will be interested