Seni & Sukan 29 Jul, 2020

Ning Baizura hargai Perwira! Semua mereka di barisan hadapan

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

DALAM ramai penyanyi tanah air, Ning Baizura yang menjadi pilihan Aubrey Suwito dan Datuk Ahmad Izham Omar untuk mendendangkan lagu ciptaan mereka bersama iaitu Perwira. Pasti ada sesuatu pada Ning Baizura yang bersuara soprano itu hingga membuatkan komposer Aubrey dan Ahmad Izham selaku Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd., sepakat untuk bekerjasama dengan beliau. : KitaReporters

Ning Baizura dipilih mendendangkan lagu Perwira kerana mampu mengekspresikan lagu dengan penuh penjiwaan.


“Hasil perbincangan, kami merasakan Ning Baizura layak dan sesuai untuk mengalunkan Perwira. Kami percaya Ning mampu untuk menghidupkan lagu ini.

“Kebolehan beliau dalam mengekspresikan lagu dengan begitu indah, menyentuh hati dan perasaan dengan penjiwaan yang mendalam memang tidak dapat dinafikan. 

"Kami begitu teruja apabila Ning menerima lamaran kami untuk menyanyikan lagu ini," jelas Ahmad Izham.

Lagu Perwira yang dirakam kurang daripada empat jam, di studio Cranky Music, milik Aubrey pada penghujung Jun 2020 lalu dicipta bersempena dengan pelancaran kempen Tabung Pahlawan itu ditujukan khas kepada semua perwira negara.

Rakaman dibuat di Studio Cranky Music, milik Aubrey Suwito, penghujung Jun 2020 lalu.


“Lagu ini dicipta khas untuk kempen Tabung Pahlawan yang bertujuan untuk mengutip dana yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran serta Angkatan Tentera Malaysia sebagai satu tanda penghormatan kepada perwira negara yang telah berkorban untuk tanah air selama ini.

“Kami berharap dengan terhasilnya lagu ini, akan timbul kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para wira negara dalam memastikan kita hidup dalam aman damai dan sejahtera,” tambah Ahmad Izham.

Ning Baizura dan Aubrey Suwito di studio sewaktu rakaman.


Sementara itu, Aubrey melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang untuk menghasilkan karya khas untuk para wira tanah air.

“Saya berasa cukup terharu apabila menerima undangan daripada Ahmad Izham yang sudi mengajak saya berkolaborasi untuk lagu ini. 

"Lagu ini adalah satu tanda apresiasi kami terhadap segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh anggota barisan hadapan di negara kita.

“Walaupun saya tidak berapa mengenali para pejuang ini dengan lebih dekat, tetapi ingatan saya terhadap pengorbanan mereka menjadi inspirasi kepada penghasilan lagu ini,” ulas Aubrey.

Lagu Perwira dapat mengubati rindu peminat Ning Baizura yang sudah lama tidak ada lagu baharu.


Dalam pada itu, Ning Baizura yang sudah lama tidak merakam lagu baharu berasa terharu kerana diberi kepercayaan untuk mendendangkan lagu Perwira yang istimewa itu.

Lagu Perwira adalah single terkini saya setelah sekian lama tidak muncul dengan lagu baharu

"Saya sangat teruja dan terharu atas pelawaan Aubrey dan Ahmad Izham dan berterima kasih  kerana memberi peluang ini kepada saya. 

Gandingan Aubrey Suwito dan Ning Baizura cukup serasi.


“Ini adalah projek pertama saya bersama mereka dan mengharapkan agar peminat di luar sana dapat menerima lagu istimewa ini yang ditujukan khas kepada semua perwira di luar sana yang telah berkorban demi agama bangsa dan negara,” kata Ning Baizura.

Perwira boleh didengari dalam semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 17 Julai 2020. - KitaReporters

1
1
0
0
0
You will be interested