JANGAN pandang ringan peraturan memakai pelitup muka sebagai mematuhi SOP mengekang penularan Covid-19, selain penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau sanitizer. Jika di Malaysia anda mungkin sekadar didenda RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka, tetapi di Thailand ia boleh membawa maut. : KitaReporters
NAKHON SI THAMMARAT lokasi lekaki ditembak mati kerana tidak memakai pelitup muka. - Kredit foto: Google Map.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Thailand:
https://kitareporters.com/search?search=thailand
Kejadian berlaku di Wilayah Nakhon Si Thammarat pada tengah malam 7 Januari 2021 lalu.
Seorang lelaki bernama Jumnean Sri-orn, 73, menembak mati Samran Tawai, 50, pada satu ziarah kematian di daerah Chaweng.
Menurut laporan khaosodenglish.com kedua-dua mereka memang tidak mempunyai hubungan baik sejak lama. Pada malam kejadian mereka bertengkar di hadapan tetamu lain yang hadir.
LAKARAN polis di lokasi ziarah kematian di mana seorang lelaki ditembak mati kerana tidak memakai pelitup muka. - Kredit foto: Mothership.
Jumnean merungut dan memarahi Samran kerana datang menziarah tanpa memakai pelitup muka dan ini menimbulkan kemarahan Samran.
Jumnean kemudian menunggang motosikalnya untuk meninggalkan majlis tetapi Samran yang berang dengan sikapnya telah menolak Jumnean sehingga terjatuh.
Malah Samran kemudian mengejek Jumnean dan memanggilya sebagai pengecut. Dia mendakwa dia tahu Jumnean ada membawa senjata api tetapi takut untuk menembak.
MOTORSIKAL dinaiki Jumnean terbalik setelah ditendang oleh Samran, menyebabkan Jumnean menembak Samran. - Kredit foto: khaosodenglish.com
Jumnean yang marah dengan cabaran tersebut segera mengeluarkan pistol .357 miliknya dan menembak Samran tepat pada dahi. Dia mati serta merta di tempat kejadian.
Salah seorang yang hadir pada acara pengkebumian itu, yang kebetulan anggota polis, segera menangkap Jumnean sebaik sahaja dia menembak Samran.
Pegawai polis Chaweng, Kolonel Sutat Songsayom, mengesahkan Jumnean dan Samran memang tidak sehaluan dan mempunyai masalah peribadi serta sejarah permusuhan sejak lama.
Jumnean menghadapi tuduhan membunuh dan membawa senjata api tanpa permit. Dia mengaku melakukan jenayah tersebut dan berhadapan hukuman penjara seumur hidup jika diadapati bersalah.
PEMANDANGAN di bandar Nakhon Si Thammarat yang sering dikunjungi rakyat Malaysia. - Kredit foto: Wikipedia.
Nakhon Si Thammarat terletak di selatan Thailand dan merupakan antara tempat yang sering menjadi kunjungan pelancong Malaysia, selain Songkhla, Krabi dan Satun serta Pattani dan Yala. Ia terletak di utara Perlis dan Kedah. - KitaReporters