Seni & Sukan 20 Aug, 2020

Ada beran? Jika takut, jangan buang masa saya - Sheila Rusly

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

“Jika tak berani, jangan buang masa datang kerana saya hanya mencari yang benar-benar berani dan mahu bergelut dalam apa jua perniagaan,” ujar pelakon dan penerbit, Sheila Rusly tegas kepada bakal-bakal wanita yang ingin menyertai 'Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi' yang akan berlangsung secara dalam talian bermula 1 hingga 3 September 2020 ini.  : KitaReporters

Sheila Rusly. - Kredit foto: IG @sheilarusly_jspictures.


Sheila merupakan salah seorang daripada tiga mentor termasuk pelakon Datin Paduka Eina Azman (gambar bawah, dua dari kanan) serta usahawan Anne Idris (kanan) yang bakal menggalas tanggungjawab membimbing peserta secara peribadi dan memperkasakan mereka untuk mengambil langkah ke hadapan supaya menjadi lebih berani dan mencuba sesuatu yang baharu.

Program Mentor Wanita Cukup Berani yang dianjurkan dengan kerjasama antara Maggi dan Google Malaysia menerusi Women Will, sebuah program Grow with Google bertujuan menyokong peningkatan keyakinan serta membina kemahiran digital, memasak dan keusahawanan asas para peserta yang terbabit.

Selepas siri bengkel dalam talian selama tiga hari itu, program akan diteruskan dengan siri kedua bermula 20 hingga 22 Oktober 2020 yang mana peserta bakal mempelajari kemahiran baharu yang akan meningkatkan lagi pengetahuan dan keyakinan mereka dalam menghadapi dunia perniagaan.

“Sebab itu saya katakan jika takut jangan datang dan buang tenaga, masa anda dan masa saya mengajar kecuali ada keinginan untuk berdepan cabaran,” sambung Sheila ketika bersoal jawab dengan pengacara dan selebriti, Daphne Iking (gambar bawah, kiri)  selaku hos pada majlis pelancaran Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi’ yang berlangsung di Royal Chulan Damansara pada semalam Rabu, 19 Ogos 2020.



Pelancaran Program Mentor Wanita Cukup Berani telah disempurnakan bersama oleh Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad dan Ketua Wilayah bagi Nestle Malaysia (tengah) Singapura dan Brunei; Geetha Balakrishna, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad (kanan); dan Marc Woo, Ketua Google Malaysia (dua dari kiri).

Teguran Sheila mendapat tepukan gemuruh tanda bersetuju hadirin terhadap pandangannya apabila seterusnya beliau berkata, “golongan wanita yang datang harus ada kesungguhan, keinginan dan keberanian untuk berdepan apa sahaja rintangan."

“Hanya mereka sendiri boleh melonjak ke hadapan sementara saya ‘menolak’ perlahan-lahan dari belakang sebagai mentor,” tambah Sheila yang terkenal sebagai seorang wanita yang tegas.

“Saya  sampai ke tahap ini pun bukannya senang, banyak cabaran yang. saya lalui tetapi saya berani dan itulah kunci kepada kejayaan yang saya capai hari ini,’ tambahnya.



Ironinya, walaupun dikenali sebagai seorang wanita yang tegas dan dikatakan ‘ditakuti’ ramai artis serta krew produksi, namun penerbit prolifik JS Pictures berusia 48 tahun ini banyak memenangi anugerah dalam kategori lawak apabila lima kali memenangi gelaran artis komedi wanita popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Pelakon Komedi Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (2004) melalui filem MX3 bergandingan  bersama. pelawak, Saiful Apek.

Sambil mengangkat tangan kanannya, Sheila ‘bersumpah’ untuk menjadi seorang wanita, isteri, ibu dan usahawan yang terbaik selagi beliau sendiri merasa bangga dengan pencapaiannya.

“Itulah aku janji saya," tambahnya ringkas apabila diminta menyuarakan ‘aku janji' masing-masing selepas mengakhiri sesi bicara. 


Sementara itu, Juan Aranols (tengahdalam ucapannya memberitahu, sebagai penyokong diversiti dan inklusiviti, Nestlé amat komited kepada pemerkasaan wanita dan memajukan kesamarataan gender dalam korporat dan juga masyarakat.

“Kami teruja dengan penyertaan tiga personaliti serta usahawan yang berjaya dan terkenal ini untuk membimbing peserta secara peribadi disamping membantu mereka mengenali potensi diri agar dapat mengambil langkah ke hadapan supaya menjadi lebih berani dan mencuba sesuatu yang baharu,” ujar  Aranols.

'Program Mentor Wanita Cukup Berani' adalah sebahagian daripada kempen Tak Kenal Tak Cinta Maggi CukupRasa yang menyokong wanita-wanita yang mengambil langkah pertama untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Sehingga kini, bengkel dalam talian untuk program berkenaan telah menerima sambutan yang menggalakkan melebihi 800 pendaftaran. 

Pusingan Akhir akan menyaksikan pemilihan seramai 20 peserta untuk menjalani beberapa siri temu bual dan penilaian, dan seterusnya menjadi salah seorang daripada tiga mentee terpilih.

Mereka kemudiannya akan dibimbing secara peribadi oleh Sheila Rusly, Datin Paduka Eina Azman. dan  Anne Idris.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Mentor Wanita Cukup Berani, layari maggi.com.my/takkenaltakcinta. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested