Seni & Sukan 27 Apr, 2021

Berita Terkini| Cubaan seludup ketum ke negara jiran gagal! 500kg dirampas Maritim! Op Aman!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this

Gambar hiasan... Rampasan dibuat ketika bot rondaan maritim melakukan rondaan Op Aman di muara Kuala Kedah.


SEBANYAK 500 kilogram daun ketum dipercayai mahu diseludup ke negara jiran, Thailand di perairan muara Kuala Kedah berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, pada awal Isnin, 26 April,2021.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan berkenaan berlaku pada pukul 2.55 pagi ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan Op Aman.

Hasil maklumat dan risikan, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak menuju keluar dari muara Kuala Kedah dikesan dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak nekad terjun ke laut dan berenang melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan berjaya meloloskan diri.

 "Hasil pemeriksaan lanjut di bot itu mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik hitam dan satu ruang simpanan ikan yang berisi bungkusan kecil, disyaki daun ketum dengan berat kira-kira 500kg yang anggaran nilainya RM90,000,” katanya yang dipetik Berita Harian, Selasa 27 April 2021.

Kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran mengikuti jalan laut.

Noor Azreyanti menambah berdasarkan maklumat dan risikan juga mendapati, harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya kira-kira RM40 sahaja.

“Semua hasil rampasan termasuk bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM140,000 itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan terbabit,” ujarnya lagi.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10, 000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Noor Azreyanti menjelaskan rampasan daun ketum merupakan kali ketiga berjaya ditumpaskan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM380,000. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Noor Azreyanti Ishak . 

0
0
0
0
0
You will be interested