Seni & Sukan 04 Aug, 2020

Norma baharu? Penyangak cetak rompak guna platform e-dagang!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

ISU cetak rompak filem yang sering menghantui penerbit tempatan sejak bertahun-tahun lamanya kini dilihat beralih ke norma baharu apabila dikesan penjualannya melalui platform e-dagangFilem ‘Keluarga Iskandar The Movie’ terbukti menjadi mangsa jualan dalam sebuah platform e-dagang terkemuka pada harga RM1.32, di mana pembeli akan menerimanya melalui pos. : KitaReporters


Sehubungan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan menjalankan siasatan terhadap pihak e-dagang terbabit termasuk mereka yang menjual filem-filem cetak rompak dalam platform tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Nadzri dalam laporannya mengenai isu  berkenaan melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit yang menjual filem-filem cetak rompak tanpa melakukan penyelidikan terlebih dahulu.


"Kami akan menyiasat kedua-dua pihak, baik pihak e-dagang mahu pun penjualnya untuk memastikan sama ada mereka ini mempunyai lesen pengedaran dan adakah sudah mendapat kebenaran pihak penerbit untuk menjual filem-filem tersebut,” ulas Ahmad Idham.

Menurut beliau, berdasarkan kepada laporan yang diterima daripada pihak penerbit, mereka tidak memberikan kebenaran untuk mana-mana platform e-dagang melakukan penjualan.

Ekoran itu, FINAS, kata Ahmad idham akan mendapatkan maklumat daripada pihak e-dagang berkenaan bagi memastikan sama ada mereka sedar atau tidak bahawa produk jualan filem tersebut asli atau cetak rompak.

“Kami rasa tercabar apabila ada pihak yang berani menjual filem-filem cetak rompak secara terbuka,” ujarnya.



Menjengah ke platform yang dimaksudkan, penjualan filem ‘Keluarga Iskandar The Movie’  terbitan KL Motion Pictures Company Sdn Bhd ini nampak gayanya sudah ditarik keluar.  

Apabila ditulis dalam kotak pencarian produk berkenaan terbit ayat No products Found’ (tiada produk dijumpai)

Bagaimanapun, melalui posting lama seperti yang disiar menunjukkan sejumlah 40 unit telah dijual manakala baki produk yang masih ada berjumlah 951 unit.

Pada asalnya ia dijual dengan harga cuma RM1.35 seunit tetapi diberikan diskaun 2% menjadikan jualannya menjadi RM1.32 sahaja.

Wah! Murah gila tu, sudah tentulah penerbitnya rasa tergugat dan marah ya tak? Almaklum kos penerbitan yang dikeluarkan bukannya sikit, lebih kurang RM700,0000 kut.

Untuk rekod, 'Keluarga Iskandar The Movie'  merupakan sebuah filem lanjutan daripada drama 'Keluarga Iskandar' yang pernah ditayangkan di ASTRO selama dua musim.

Siri komedi ala mokumentari yang pertama diterbitkan ini pernah diangkat sebagai "Siri Televisyen Komedi Terbaik' di Anugerah Lawak Warna selama dua tahun berturut-turut. Antara barisan pelakonnya terdiri dari Kismah Johar, Anita Baharom, Zain Hamid, Raja Ema dan Hilal Azman.

Ketika negara berada dalam tempoh PKP akibat pandemik COVID-19, filem ini beralih tayangannya ke pawagam rumah 'Astro First' dengan harga langganan sebanyak RM15 untuk tayangan selama 48 jam secara berulang-ulang mulai 16 Julai 2020 lalu. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested