Seni & Sukan 23 Jan, 2022

Pertaruhan Maloney! Ketepikan 5 tonggak senior skuad B23 ke Kemboja! Misi tebus maruah Malaysia!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SKUAD B23 Malaysia kendalian Bradley Maloney (depan, tengah) menghadapi empat misi penting antarabangsa 2022. - Kredit foto: FAM


MENGEJUTKAN! Tiada Luqman Hakim Shamsudin, Akhyar Abdul Rashid dan kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi! Panggilan ke kem latihan pusat skuad Bawah 23 Tahun (B23) Malaysia ini turut mengetepikan Quentin Cheng dan Mohamad Hakimi Abdullah

Mereka berlima sudah diangkat ke dalam skuad senior Harimau Malaya tetapi tiada dalam senarai pilihan ketua jurulatih skuad B23, Bradley Maloney bagi menghadapi Kejohanan B23 AFF di Phnom Penh, Kemboja.

Kecuali Akhyar, mereka juga membantu Malaysia meraih tiket pusingan akhir Piala Asia B23 AFC di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun 2022 selaku juara Kumpulan J Kelayakan di Ulaanbaatar, Mongolia pada 25 hingga 31 Oktober 2021 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak B23



QUENTIN Cheng (kiri) ketika beraksi dalam Kelayakan Piala Asia B23 AFC di Ulaanbaatar pada Oktober 2021. - Kredit foto: FAM


Senarai 30 pelatih yang dipanggil ke kem latihan pusat mulai 27 Januari 2022 dengan Kejohanan B23 anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini bakal berlangsung dari 14 hingga 26 Februari 2022, lapor siaran media dalam laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 22 Januari 2022.

Maloney, warga Australia hanya mengekalkan sembilan pemain daripada skuad 23 pemain ketika kelayakan di Mongolia.

Mereka ialah Umar Hakeem Suhar Rezwan, Shafi Azswad Sapari, Faiz Amer Runnizar, Fahmi Daniel Mohd. Zaaim, Azhad Harraz Arman, Nur Azfar Fikri Azhar, Syed Nasrulhaq Syed Bidin, T. Saravanan dan Aiman Afif Afizul.


NUR Azfar Fikri Azhar (13) penjaring dua gol menentang Laos dan Mongolia di Ulaanbaatar, masih mendapat kepercayaan ke Kejohanan B23 AFF di Phnom Penh. - Kredit foto: FAM 


Selebihnya yang dipanggil kali ini daripada kalangan muka baharu namun terdapat seorang pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal.

Adik mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fahsyal Wan Ahmad Kamal ini pernah dipanggil Maloney menjalani latihan pusat skuad B19 Malaysia pada 2020. 

Wan Kuzri kini berpangkalan di kelab Akron Zips selain merupakan lepasan Akademi Bola Sepak St. Louis, Missouri

Ada kemungkinan tujuan Maloney membawa majoriti muka baharu adalah untuk memberikan pendedahan antarabangsa dan mencari kumpulan pemain yang lebih besar memandangkan terdapat tiga lagi tugasan menanti mereka. 

Selain Kejohanan B23 AFF dan Piala Asia B23 AFC, pasukan ini bakal dipertaruhkan ke Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam (13-23 Mei 2022) dengan misi memburu ibu segala pingat emas temasya serantau dwitahunan itu yang kali terakhir dimenangi Malaysia pada 2011 di Jakarta.  

Akhir sekali ialah Sukan Asia Ke-19 di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September 2022. 


MUKHAIRI Ajmal Mahadi (jersi kuning) tidak terpilih ke Phnom Penh. - Kredit foto: FAM


Skuad B23 kebangsaan dijadualkan berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari 2022 bagi menghadapi tiga perlawanan Kumpulan B Kejohanan B23 AFF menentang Myanmar dan Laos pada 15 dan 18 Februari 2022 di Stadium Prince serta Indonesia, 21 Februari 2022 di Stadium Nasional Morodok Techo.

Hanya juara Kumpulan A, B dan C serta satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari 2022 manakala perlawanan akhir pada 26 Februari 2022 di Stadium Nasional Morodok Techo. 

Kumpulan A menampilkan tuan rumah Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei manakala Kumpulan C dibarisi Thailand, Vietnam dan Singapura.


JADUAL perlawanan Kejohanan B23 AFF di Phnom Penh yang membabitkan skuad B23 Malaysia sahaja. - Kredit foto: FAM


“Satu undian yang agak seimbang. Kami pernah berdepan Indonesia pada separuh akhir Kejuaraan B18 AFF 2019 di Vietnam – satu perlawanan yang cukup epik yang akhirnya kami menang 4-3 dalam masa tambahan.

“Laos baru ditemui pada Kelayakan Piala Asia B23 di Mongolia yang juga satu perlawanan yang sukar sebelum kami menang 1-0.

“Jadi tiada istilah perlawanan atau lawan yang mudah kerana kini sesiapa pun boleh mengalahkan pasukan lain di rantau Asia Tenggara ini,” kata Maloney.


AKHYAR Rashid (19), sayap kiri Harimau Malaya yang masih berusia 23 tahun dan boleh dipertaruhkan Bradley Maloney pada Sukan SEA dan Sukan Asia mahupun Piala Asia B23. - Kredit foto: FAM 


Kejohanan B23 AFF  ini sebelumnya dikenali sebagai Piala LG B22 2019 juga di Phnom Penh yang dijuarai Indonesia.

Malaysia yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee manakala Maloney sebagai penolong jurulatih, hanya menduduki tempat ketiga Kumpulan B dan gagal ke peringkat kalah singkir.

Mereka bermula dengan sentuhan kecundang 1-0 kepada tuan rumah, bangkit seri 2-2 dengan Indonesia namun ditundukkan Myanmar 1-0 dalam saingan peringkat awal itu. - KitaReporters


SKUAD B22 Malaysia meraikan kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia B23 di Uzbekistan selaku juara kelayakan Kumpulan J, Oktober 2021 lalu. - Kredit foto: FAM 

11
8
0
14
0
You will be interested