Seni & Sukan 08 Jun, 2021

M Nasir pilih Mafarikha! Nyanyikan semula lagu Zaiton Sameon! Remake 'Kabut Serangkai Mawar'!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


APABILA mendapat perhatian dari sifu muzik hebat seperti Dato M. Nasir, sudah tentu ada faktor ‘wow’ yang ditampilkan oleh artis  yang menjadi pilihannya untuk berada di bawah penerbitannya, Luncai Emas.

Siapakah penyanyi bertuah bernama Mafarikha atau nama penuhnya, Mafarikha Mohd Akhir, 28, ini yang  mendapat perhatian M. Nasir? 

Yalah bukan senang nak dapat pujian daripada M. Nasir jika artis berkenaan benar-benar tidak memenuhi kriterianya yang tinggi dalam menilai bakat seseorang penyanyi, Tak gitu M, Nasir?


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan M Nasir


Terkenal sebagai seorang komposer yang tegas, cerewet dan teliti, semua pun maklum agak sukar nak mendapat pujian daripada M. Nasir yang pernah berkata, "artis-artis baharu sekarang tiada nilai yang dicarinya…. mereka boleh menyanyi tetapi tiada  faktor ‘Wow’.

“Saya lihat suaranya sedap dan unik,” pendek sahaja komen M. Nasir terhadap bakat Mafarikha yang sekali gus menjadi satu-satunya artis wanita di dalam Luncai Emas.



Dengan lontaran suaranya yang lantang dan kebolehannya untuk menyampaikan emosi dan jiwa yang merinding dengan nyanyiannya, M. Nasir mengorak langkah awal dengan memberikan lagu ciptaannya, ‘Kabut Serangkai Mawar’ nyanyian asal Zaiton Sameon untuk dinyanyikan semula oleh Mafarikha atau lebih mesra disapa Mafa.

Digubah semula dan dijadikan sebagai sebuah ‘remake’ (versi baharu) dan ‘masterpiece’, Mafa telah berjaya menyalurkan suara lantangnya ke dalam lagu berkenaan dengan penuh emosi dan penghayatan, serupa dengan Zaiton Sameon, namun dengan keunikan dan karakternya tersendiri.

“Mafarikha telah membawa lagu itu ke tahap yang tersendiri,” jelas M. Nasir yang bakal menciptakan sebuah lagu baharu untuk Mafa.

Dan bagi Naib Juara program TV realiti, ‘Vokal... Bukan Sekadar Rupa’ musim pertama itu, walaupun sudah melahirkan lima single terdahulu, lagu cover ‘Kabut Serangkai Mawar’ diakui merupakan yang paling sukar pernah dinyanyikannya.



“Ini antara lagu paling susah saya pernah nyanyi kerana bila tempo sudah diturunkan, kita kena sustain note itu lebih lama terutama bahagian klimak dan korus yang terakhir kerana dia nota tinggi yang ‘back to back’,” jelas Mafa berhubung sebab musabab kenapa beliau mengambil masa yang lama ketika proses rakaman berbanding lagu-lagu lain sebelum ini.

Pun begitu, Mafa yang juga seorang jurusolek artis melahirkan rasa puas apabila berjaya menjiwai lagu tersebut sebagaimana dikehendaki penerbitnya, Ashraf Aasimudin.

“Penjiwaan datang daripada pengalaman hidup yang saya jarang berkongsi. Bila kita gembira kita akan ‘enjoy’ mendendangkan lagu, tapi bila kita sedih kita akan fahamkan lirik. Saya fahamkan lirik dan buat sedikit kajian tentang lagu ini, kebetulan lebih kurang dengan situasi yang saya pernah lalui,” dedah Mafa jujur. 



Sehubungan itu, Mafa yang pernah mewakili negara dalam pertandingan 'Asia's Got Talent' musim ke-2 ini berharap dengan nyanyian semula lagu tersebut, ia dapat mengingatkan generasi baru tentang  kegemilangan karya-karya lama yang puitis dan  banyak menyentuh perasaan, sambil menerima susunan yang lebih moden. 

“Kalau boleh tak usah banding-bandingkan, biar kedua versi pun boleh diingati,” Mafarikha berharap. 

Audio rasmi single 'Kabut Serangkai Mawar]' versi Mafarikha dijangka akan diedarkan pada 9 Jun 2021 ini, jadi sementara itu kita layan dahulu lagu nyanyian asal Zaiton Sameon! - KitaReporters


0
2
1
0
1
You will be interested