Seni & Sukan 03 Jun, 2021

Kemasukan Cools bukan 'virus' tapi 'vaksin'! Harimau Malaya terbuka terima Si Perisai Belgium!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


JANGAN sesekali anggap Dion Johan Cools 'virus' macam Covid-19 kepada Harimau Malaya! Sebaliknya pada mata Farizal Marlias, kemasukan pemain ke-26 ini, seperti 'vaksin' yang bakal menambah baik benteng pasukan negara!

Cools, bek kanan berdarah kacukan Belgium-Malaysia, menyertai skuad negara pada saat akhir pada 31 Mei 2021, empat hari sebelum baki Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan kedua Kumpulan G disambung. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya


AIDIL Zafuan Radzak (kiri) dan Farizal Marlias (tengah) sudah saling mengenali corak permainan dalam pasukan negara mahupun JDT FC. - Kredit foto: FAM 


"Dia pernah berdepan pemain kelas dunia dalam Liverpool macam Sadio Mane dan Mohamed Salah. Saya harap dia kongsi dan terapkan pengalaman itu sambil memperkasa pasukan kita. 

"Rakan sepasukan kami menerimanya dengan tangan terbuka dan positif. Cools bukan hendak jadi virus kepada pasukan tetapi penguat bahagian pertahanan.

"Saya pun baru kali pertama jumpanya. Teruja juga dengan reputasinya (dalam Liga Belgium dan Denmark - kelab FC Midtylland)," kata penjaga gol utama Malaysia ini dalam sidang media secara maya dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Selasa,  1 Jun 2021.


PRESTASI menentang Kuwait dan Bahrain masih menyebelahi Farizal (tengah) berbanding pesaingnya, Khairulazhan Khalid (kiri) dan Samuel Somerville. - Kredit foto: FAM


Namun Farizal yang cuai menghadiahkan gol kedua Bahrain dalam persahabatan di Riffa, 28 Mei 2021 lalu, mengakui akan mengutamakan keserasian jika diberi pilihan antara pengalaman rakan-rakan di benteng.

"Kalau tiada keserasian, bagaimana hendak bermain bola sepak sebagai satu pasukan? Proses mencapainya perlu dilakukan dalam latihan dan masing-masing kena tahu kelebihan dan kelemahan rakan. 

"Tekanan (menjelang menentang UAE di Stadium Zabeer, Dubai pada Khamis 3 Jun 2021 ini) sudah pasti ada. Sebagai profesional, bagaimana kita hendak sesuaikannya dan perkukuhkan dari semasa ke semasa," kata pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) FC ini.

Mengenai UAE katanya, penyerang tuan rumah, Ali Ahmed Mabkhout diakui kian berbahaya biarpun dengan hanya separuh peluang yang terhidang kepadanya. 

"Di kem latihan, kami kerap ada sesi video perlawanan pasukan-pasukan yang akan ditemui. Kami perlu berhati-hati dan kekalkan disiplin bertahan dan menyerang kerana UAE ada masukkan beberapa muka baharu," katanya.

Tugas baharu, penjaga gol merangkap pelerai (sweeper) atau boleh berderai kedua-duanya? 


FARIZAL (1) perlu mahir, bijak dan serasi sebagai sweeper tambahan dengan rakan pertahanan seperti Aidil (7), Matthew Davies (2), Corbin (22) dan Irfan Zakaria (17). - Kredit foto: FAM 


"Ketua jurulatih (Tan Cheng Hoe) cuba terapkan pembinaan gerakan dari bawah menerusi peranan itu. Bila dalam stuasi menyerang, saya perlu naik sedikit melindungi benteng sebagai sweeper. Dalam JDT, ini sudah biasa saya buat, tiada masalah.

"Hanya dengan pasukan negara, perlukan sedikit masa dan berlainan. Kelajuan bola (aksi antarabangsa) perlu disesuaikan. Sebagai sweeper, kena pandai baca permainan. Sedikit kesilapan sahaja ketika keluar posisi penjaga gol, boleh mengundang padah," jelasnya.


JOHAN Dion Cools (kanan) menerima jersi utama Harimau Malaya daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin. - Kredit foto: FAM


Sementara itu kata Tan Cheng Hoe, Cools perlu banyak diberikan 'homework' dan sesi video oleh barisan penolongnya berhubung gaya permainan pasukan dan gerakan taktikal dalam tempoh sesingkat ini.

"Saya harap dia dapat berikan kestabilan pasukan sebagai bek tengah kerana dia seorang serba boleh di mana-mana. Selepas Shahrul Saad tercedera (Mei 2021 lalu dan digugurkan daripada skuad), saya risau siapa yang boleh mengisi kekosongannya.

"Bukan senang juga untuk dia yang baru masuk, terus serasi dengan (kapten) Aidil Zafuan Radzak tetapi dia yang sudah bermain taraf tinggi (Eropah) diyakini boleh menggalas tugas itu. Saya juga harap dia seorang yang cepat belajar, sanggup jadi sebahagian dan bersikap baik untuk pasukan," katanya.


DION Cools diharap Tan Cheng Hoe cepat belajar, serasi dan mengenali nama dan wajah 25 rakan sepasukan negara. - Kredit foto: FAM


Cheng Hoe juga menggesa bekas pemain skuad belia Belgium kelahiran Kuching, Sarawak ini cepat menghafaz nama 25 rakan sepasukan selain bergaul mesra dengan mereka di dalam dan luar padang. 

"Saya akan memantau latihannya tetapi tidak boleh beri tekanan tinggi. Orang luar mungkin anggapnya superhero (adiwira). Bagi saya, kalau dia dapat bermain sepasukan, pasukan itulah superhero sebenarnya," katanya.

UAE juga khabarnya baru mendapat izin penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membenarkan kehadiran 30 peratus penonton daripada muatan penuh Stadium Zabeer biarpun Covid-19 masih menular di seluruh dunia.

"Pasukan kita sudah terbiasa dengannya sejak di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Tumpuan mereka diharap tidak tergugat tetapi mungkin jadi lebih bersemangat sedikit bermain," kata Cheng Hoe, 53.  - KitaReporters 


'MR. Cools' (tengah) menjalani senaman peningkat prestasi bersebelahan La'Vere Corbin-Ong (kiri) dan Norshahrul Idlan Talaha di hotel penginapan pasukan. - Kredit foto: FAM


 

 

0
0
0
0
0
You will be interested