Anggota Rela mengaminkan doa pada majlis perasmian Program Sanitasi Komuniti Awam Percuma GNBSB.
DEMI melaksanakan tanggungjawab sosial dalam membendung Covid-19, Gabungan NGO Bandar Sungai Buaya (GNBSB), dan Rela Daerah Hulu Selangor mengadakan Program Sanitasi Komuniti Awam Percuma kepada seluruh kejiranan taman perumahan di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor, pada 27 Jun 2021 lalu.
GNBSB yang menyatukan 16 pertubunan bukan kerajaan (NGO) di Bandar Sungai Buaya berkolaborasi dengan 75 anggota Rela daerah itu bagi menjayakan program berkenaan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sanitasi
Ruslee (kanan) menyerahkan peralatan sanitasi kepada Jaafar.
Pengerusi GNBSB, Datuk Ruslee Hashim yang juga Penolong Pesuruhjaya Kanan Rela (PPjKR), berkata program diadakan bagi membantu mengurangkan jangkitan Covid-19, sekali gus dapat mengelakkan wujudnya kluster komuniti.
Menurut beliau, kerjasama GNBSB dan Rela itu diharapkan menjadi contoh kepada masyarakat di tempat lain supaya dapat melaksanakan program yang sama demi mengurangkan penularan Covid-19 serta mengembalikan kesejahteraan hidup seperti sedia kala.
Beliau berkata, dia berasa terharu dan menghargai semangat anggota Rela kerana sudi membantu melaksanakan program berkenaan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang bayaran atau upah semata-mata berkhidmat untuk rakyat dan negara.
“Mungkin ramai sebahagian besar anggota Rela tidak berjawatan tinggi tetapi mereka seperti rakyat biasa turut berasakan bertanggungjawab membantu pihak kuasa membantu membanteras Covid-19 yang melanda negara sekarang,” katanya.
Mahmod Mat Ali
Sekretariat GNBSB, Mahmod Mat Ali, berkata pihaknya membantu
membuat hebahan kepada kejiranan setiap
taman serta mengenal pasti kawasan yang hendak disanitasi manakala anggota Rela
membuat semburan sanitizer di lokasi terbabit.
“Kami memaklumkan kepada kejiranan di kawasan yang dikenal pasti itu untuk mengangkat atau tidak menyidai pakaian di luar rumah buat sementara waktu ketika sanitasi dilakukan dan semburan berkenaan turut dilakukan di belakang rumah mengikut lorong dalam taman perumahan terbabit.
Jaafar Abd Rahim
Pegawai Rela Daerah Hulu Selangor, Jaafar Abd Rahim ketika berucap merasmikan program itu, berkata sanitasi percuma itu dilaksanakan tanpa menggunakan dana dari pejabat Rela sebaliknya semua hasil sumbangan termasuk peralatan adalah daripada GNBSB serta 12 Pegawai Bersekutu Rela daerah itu.
“Saya berasa bersyukur apabila penduduk memberi kerjasama bagi menjayakan program ini seperti menghulurkan pelbagai bantuan serta mematuhi arahan yang dikeluarkan manakala GNBSB menyediakan empat set peralatan sanitasi yang melancarkan proses semburan dilakukan,” katanya yang akan bersara wajib pada Ogos 2021. - KitaReporters