Seni & Sukan 09 Jul, 2021

Sukan SEA Hanoi 2021 ditunda! Asia Tenggara masih dicengkam Covid-19! MOM syor April-Mei 2022!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

MAJLIS SEAGF yang dipengerusikan oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Vietnam, Prof Hoang Vinh Giang ketika bersidang 22 Julai 2020 lalu. - Kredit foto: MOM 


SUKAN Olimpik Ke-32 pun terpaksa ditunda setahun iaitu ke 2021 dari 2020. Inikan pula setakat Sukan SEA (Asia Tenggara) Ke-31 yang dijadualkan pada 21 November hingga 2 Disember 2021!

Gara-gara pandemik global Covid-19, temasya Olimpik di Tokyo, Jepun itu tetap diteruskan mulai 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, manakala Sukan SEA di Hanoi, Vietnam dianjakkan ke 2022.

Tradisi kitaran empat tahun genap lompat bagi melangsungkan Olimpik dan Sukan SEA secara dwitahunan ganjil kini terpaksa dilanggar malah norma-norma baharu kehidupan perlu menjadi amalan para atlet dan pegawai negara-negara peserta.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan SEA

KONTINJEN Malaysia ketika Sukan SEA Vietnam 2003. - Kredit foto: MOM


Satu kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Khamis, 8 Julai 2021 menyebut: “Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang bersidang bersetuju untuk menunda penganjuran Sukan SEA Ke-31 di Hanoi.

“Negara-negara ahli SEAGF menyanjungi usaha yang dilakukan setakat ini oleh Jawatankuasa Pengelola Vietnam tetapi mengambil maklum keadaan pandemik Covid-19 di rantau Asia Tenggara.

Satu tarikh baharu akan ditentukan oleh Majlis SEAGF,” lapor siaran MOM itu.


LOGO (kiri) dan Sao La, maskot rasmi Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam. - Kredit foto: MOM


 

KENYATAAN MOM berhubung penundaan Sukan SEA Hanoi 2021. - Kredit foto: MOM


Sukan SEA Hanoi yang mempertandingkan 40 jenis sukan dan 526 acara, dijangka disertai lebih 10,000 atlet rantau Asia Tenggara.

Antara jenis sukan bertaraf Olimpik dalam Sukan SEA ialah akuatik (renang dan terjun), memanah, olahraga, badminton, bola keranjang, tinju, berbasikal, lawan pedang, bola sepak, dan gimnastik.

Namun terdapat juga sukan pelik atau yang hanya bertaraf sukan kebangsaan tradisi Vietnam seperti vovinam dan renang sirip mahupun catur xiangqi yang akan ditampilkan.


KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kiri) dan Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia, Celine Lin Sin Ling. - Kredit foto: MOM


Sukan SEAP atau Semenanjung Asia Tenggara (nama asal Sukan SEA) pernah terpaksa dibatalkan pada 1963 di Kemboja kerana masalah politik negara itu.

Negara-negara yang menganggotai SEAGF ialah Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam.


MOHAMAD Norza Zakaria (dua dari kanan), Timbalan Presiden MOM, Abdul Azim Mohd. Zabidi (kanan) dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib (dua dari kiri). - Kredit foto: MOM


Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, “dalam mesyuarat SEAGF itu, Malaysia menyarankan tarikh baharu Sukan SEA Ke-31 antara akhir April 2022 hingga awal Mei 2022.

“Pendekatan, pandangan dan pendirian kita ini bertujuan membolehkan persiapan baharu dibuat bagi menghadapinya,” katanya seperti dipetik dalam laporan sebuah stesen TV tempatan.

SEAGF difahamkan, sudah memberikan tempoh 14 hari kepada Jawatankuasa Pengelola Vietnam untuk mengemukakan tarikh baharu Sukan SEA Hanoi.


FARAH Ann Abdul Hadi mengaut tiga pingat emas gimnastik Sukan SEA Filipina 2019. - Kredit foto: MOM


Inilah kali kedua Vietnam menjadi tuan rumah Sukan SEA selepas 2003. 

Vietnam bergelar juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah 2003 di dua kota raya - Hanoi dan Ho Chi Minh dengan mengaut 158 pingat emas, manakala Malaysia di tempat kelima, 44 pingat emas. 

Selepas 60 tahun, Kemboja akan mendapat semula giliran tuan rumah temasya itu pada 2023 diikuti Thailand 2025, Brunei 2027 dan Laos 2029.

Malaysia menduduki tempat kelima dalam senarai pungutan pingat keseluruhan Sukan SEA Filipina 2019 selepas meraih 56 pingat emas, 57 pingat perak dan 71 pingat gangsa. - KitaReporters


ZULFAKAR Zulfazly (kiri) memenangi pingat emas tanding Kelas D (60 hingga 65 kilogram) silat Sukan SEA Filipina 2019. - Kredit foto: MOM


KONTINJEN Malaysia dalam Sukan SEA Filipina 2019 yang membawa pulang 56 pingat emas. - Kredit foto: MOM

0
0
0
0
0
You will be interested