MELIHAT situasi yang hampir sama terjadi pada pasukan Kelantan sebelum ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman telah menulis beberapa nasihat dan pandangan kepada bakal pemilik baharu Perak FC.
Kata beliau, ketika ini tiada siapa yang berani tampil untuk ambil alih pasukan Perak FC dan tidak ada yang berani mempertaruhkan duit kepada pasukan yang dibelenggu oleh masalah kewangan ini.
Maka paling kesian ketika ini adalah nasib pemain yang gaji mereka telah sangkut berbulan-bulan lamanya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pasukan Perak FC
Menurut Norizam atau lebih dikenali dengan bos Zamburger, mereka yang ingin ambil alih pasukan itu perlu bersabar untuk mendapatkan hasil kerana banyak masalah perlu diselesaikan terlebih dahulu terutama dari segi kewangan dan perlu bina semula pasukan dengan visi dan misi yang baharu.
Oleh yang demikian, pemilik The Red Warrior (TRW) itu telah menggariskan 12 'nasihat percuma' untuk tatapan orang awam dan pemilik baharu pasukan bola sepak Perak itu.
Beliau antara individu yang paling sesuai untuk memberikan pandangan terhadap krisis Perak ketika ini. Sebab apa?
Kerana beliau ambil alih pasukan Kelantan pada tahun 2020 ketika itu sedang alami masalah kewangan yang sangat tenat sehingga gaji pemain banyak tersangkut berbulan-bulan lamanya.
Tidak cukup dengan itu, bekas pemain import Kelantan telah membawa kes tunggakan gaji ke Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Disebabkan minat mendalam terhadap bola sepak, beliau sanggup ambil alih pasukan bola sepak Kelantan.
Dengan kepakaran dalam perniagaan, Zamburger telah merangka pelbagai strategi dalam memulihkan imej Kelantan terutama bab gaji dan kini, masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain telah berjaya diselesaikan.
Jadi untuk pemilik Perak FC, pastikan anda mengambil alih pasukan tersebut kerana minat dan cintakan bola sepak dan bukannya menambahkan lagi kerosakan terhadap pasukan seperti mana dilakukan pemilik ketika ini.
Pasukan Perak adalah antara pasukan yang mempunyai reputasi yang sangat hebat dalam kancah bola sepak Malaysia dan banyak bakat muda sering dilahirkan.
Jika tidak dijaga dengan baik seperti mana terjadi sekarang, kemungkinan Perak boleh jadi seperti Perlis yang hilang dan menyepi begitu lama dalam liga utama di Malaysia. -KitaReporters