Seni & Sukan 08 Dec, 2021

Jelajah Hulurkan Tangan, Ringankan Beban Ziarah Kasih! Program santuni pesara, anggota polis!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Hamidi Mad Tap (kiri), Zaidi Japar, Ismail Dollah dan Suraya Abdul Kahar menyerahkan sumbangan bakul makanan dan kerusi roda kepada pesara anggota polis Ab Jabar Wakit.


BERTEPATAN dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) Penggaram, Johor, mengambil inisiatif mengunjungi tiga anggota polis yang ditimpa musibah di Batu Pahat pada 6 Disember 2021 lalu.

Menerusi program yang dikenali ‘Jelajah Hulurkan Tangan, Ringankan Beban Ziarah Kasih’ itu Pengerusi JPKD Penggaram, Zaidi Japar bersama Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah, menyantuni dua pesara dan seorang anggota polis yang sakit serta uzur.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kerja amal


Zaidi menyerahkan sumbangan wang kepada Hamizan Musnin sambil diperhatikan oleh Ismail dan Suraya.


Pengerusi Biro Kebajikan JPKD Penggaram, Hamidi Mad Tap, berkata Zaidi dan Ismail bersama-sama anggota polis dan ahli JPKD Penggaram menziarah anggota polis Koperal Hamizan Musnin bertugas di Balai Polis Senggarang yang patah kaki kerana kemalangan dan menetap di Parit Raja.

Menurutnya, sebelum itu mereka terlebih dahulu menyantuni dua pesara anggota polis yang uzur kerana diserang strok iaitu Abd Rashid Sudin yang menetap di Taman Sri Wangsa dan Ab Jabar Wakit di Kampung Parit Sangit, Semerah. Dua pesara itu sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, Pahang. 

“Dua pesara anggota polis ini menerima sumbangan bantuan bakul makanan, pelbagai peralatan perubatan termasuk kerusi roda bagi memudahkan pengerakan mereka untuk mendapatkan rawatan dan sebagainya.

“Selepas itu mereka mengunjungi Koperal Hamizan yang turut mendapat bantuan bakul makanan serta peralatan perubatan bagi meringankan bebanan keluarga sementara menunggu pulih seperti sedia kala dan mampu kembali bertugas,” katanya.


Zaidi (kiri), Ismail bersama-sama Suraya dan Hamidi bertanya khabar pesara anggota polis Abd Rashid (kanan) yang uzur selepas diserang strok.


Selain Hamidi turut serta dalam program berkenaan ialah Pengerusi Nona DUN Penggaram, Suraya Abdul Kahar; Sub-Inspektor Sabtu Sibon; Sarjan Mejar Bahram Suhaili; wakil PERKEP, Dayang Mashuri Mohd Zin; dan anggota MPV dari Balai Polis Batu Pahat, Semerah serta Sri Gading.

Sementara itu, Zaidi berkata, program itu dirancang dan digerakkan secara bersama oleh Biro Kebajikan JPKD Penggaram dan Biro Kebajikan Polis IPD Batu Pahat, mengambarkan hubungan akrab antara polis dan masyarakat.

Sehubungan itu, menurutnya, program berkenaan akan diteruskan pada masa depan dengan lebih kerap bagi membantu dan meringankan bebanan anggota polis dan pasukan beruniform lain yang ditimpa musibah.

Jelasnya, tidak dinafikan bahawa jasa pihak berkuasa seperti anggota polis, tentera, bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan sebagainya banyak menabur bakti kepada penduduk khusus di Batu Pahat yang ditimpa musibah seperti bencana alam.

“Sumbangan yang dihulurkan ini bergantung kepada situasi bebanan yang terpaksa ditanggung mereka terbabit seperti bakul makanan barangan keperluan asas, peralatan perubatan serta wang tunai dan paling penting JPKD akan mengambil langkah segera turun padang menghulurkan bantuan sebaik menerima maklumat,” katanya. - KitaReporters


Ismail (dua dari kiri) berbincang dengan Zaidi, Hamidi dan Suraya mengenai keberkesanan program  ‘Jelajah Hulurkan Tangan, Ringankan Beban Ziarah Kasih’ di perkarangan IPD Batu Pahat.

23
16
0
8
0
You will be interested