Seni & Sukan 02 Sep, 2019

GERAI PUNCA LALUAN JADI KELAM KABUT DI LESTARI PERDANA

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
PENGLIBATAN masyarakat dalam pelbagai bidang perniagaan mutakhir ini begitu menggalakkan. Kewujudannya bagai cendawan musim hujan. Di mana sahaja kita akan temui orang ramai khususnya kalangan anak-anak muda mula minat berniaga termasuk di pinggir-pinggir jalan yang menjadi tumpuan tanpa mengira waktu dan keadaan termasuk pagi, petang mahupun malam.

Gerai-gerai menjual buah-buahan tumbuh merata di banyak kawasan perumahan.


Fenomena ini lebih ketara bila musim buah-buahan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu hingga sekarang. Ramai kalangan mereka yang berniaga buah-buahan tempatan saperti durian, rambutan, langsat, manggis, dukong, pulasan, buah mata kucing, rambai, cempedak, nangka, petai, kerdas dan sebagainya tanpa sekatan.

Bagaimanapun kebanjiran peniaga berkenaan termasuk mereka yang bukan warga negara telah menimbulkan masalah kepada Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT). Dalam usaha untuk menarik pelanggan mereka sanggup menjalankan operasi di kawasan yang tidak sepatutnya termasuklah di bahu-bahu jalan, berhampiran simpang keluar masuk taman-taman perumahan, di hadapan bulatan jalan (roundabout) dan di kawasan tanah rizab seperti milik syarikat pemaju suatu projek pembinaan.

Selain itu, mereka berniaga  secara bermusim dan sebahagiannya tidak memohon permit atau lesen berniaga. Keadaan ini sudah tentulah memberi masalah kepada PBT, hingga terpaksa  melancarkan operasi sita dan saman. Jika sesuai dengan keadaan terpaksa merampas bahan jualan dan peralatan yang digunakan.

Seri Kembangan yang terletak di bahagian selatan Daerah Petaling di Selangor antara kawasan tumpuan para peniaga buah-buahan tempatan terutama durian yang masih bermusim sekarang sekalipun di kawasan ini tidak ada dusun buah-buahan.

Sebilangan peniaga terlibat datang dari luar kawasan termasuklah Cheras, Hulu Langat, Sepang, Klang, Shah Alam dan Kuala Langat biasanya "bermukim" dengan mendirikan khemah dan sanggup bermalam semata-mata untuk melariskan jualan. Lebih mengelirukan pengguna, terdapat dalam kalangan peniaga tersebut mendakwa buah-buahan yang dijual terutama durian didatangkan dari tempat-tempat popular saperti Batu Kurau dan Bukit Gantang di Perak, Raub dan Bentong di Pahang, Jelebu dan Mantin di Negeri Sembilan serta Muar di Johor.

Kawasan Persiaran Lestari Perdana yang melibatkan Taman Perumahan Kota Perdana, Seri Indah, Lestari Mansion, Lestari Perdana 1 hingga 8, Taman Desaminium dan Puncak Jalil 1 terdapat beberapa lokasi perniagaan buah-buahan tempatan khususnya durian. Dua dari peniaga terlibat menjalankan operasi mereka di tempat yang tidak sewajarnya iaitu di hadapan bulatan jalan mengandungi lima arah laluan antara Persiaran Lestari Perdana off Persiaran Desaminium berhampiran Taman Perumahan Apartment dan Kedai Seksyen 7 Lestari Perdana (LP7), yang telah menimbulkan masalah kepada pengguna jalan yang melalui bulatan tersebut.

Keadaan laluan di bulatan jalan berhadapan gerai menjual buah-buahan tempatan terutama durian di Persiaran Lestari Perdana menjadi kelam-kabut dan tidak teratur bila ada antara pemandu memberhentikan kenderaan untuk membeli raja buah berkenaan.


Disebabkan kedudukkan gerai yang betul-betul berhadapan bulatan jalan telah menimbulkan kesulitan dan fenomena ketidaklancaran lalu lintas bila ada dalam kalangan pengguna memberhentikan kenderaan untuk tujuan membeli dan seterusnya akan berlaku kesesakkan laluan sebaik sahaja pembeli berkenaan keluar dari parking dan meneruskan perjalanan.

Sudah beberapa kali hampir terjadi insiden perlanggaran antara kenderaan yang keluar salepas melakukan pembelian dengan kenderaan melalui jalan di hadapan gerai.

Majlis Perbandaran Subang Jaya ( MPSJ ) telah berkali-kali mengeluarkan saman dan menyita kawasan tersebut tetapi peniaga terlibat tetap meneruskan perniagaanya.


Hasil aduan pengguna, Majlis Perbandaran Subang Jaya ( MPSJ ) sebagai PBT yang bertanggung jawab di kawasan itu telah bertindak menyaman peniaga durian berkenaan dan merampas  peralatan niaga serta menyita kawasan itu dengan merentang reben berlogokan MPSJ. Bagaimanapun selepas dua minggu kemudian peniagaan terlibat beroperasi kembali.

Baru-baru ini seorang peniaga lain yang berniaga durian menggunakan kenderaan telah beroperasi di situ, bagaimanapun beliau dihalau satelah dia memanggil "geng"nya.

Pengguna laluan di Jalan Persiaran Lestari Perdana mahu pihak MPSJ menutup kawasan ini daripada kegiatan berniaga dengan mencadangkan memasang papan tanda "Dilarang Berniaga" dan membina batu penghadang dengan ketinggian agak sesuai.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga peniaga menjalankan perniagaan di kawasan hadapan bulatan jalan termasuk seorang peniaga udang dan barangan kampung.

Gerai buah-buahan ini yang beroperasi dari pagi hingga ke larut malam menjadi runggutan orang ramai terutama yang menggunakan laluan Persiaran Lestari Perdana off Persiaran Desaminium kerana mengakibatkan laluan tidak lancar. Isunya sekarang bukan sahaja laluan jadi kelam kabut kerana sikap pembeli yang meletakkan kenderaan sesuka hati. Juga sepatut peralatan niaga termasuk knopy, kerusi, meja dan yang lainnya wajar dibawa balik setelah selesai berniaga bagi mencantikkan pemandangan di situ.


Sementara itu, di Jalan LP 7/5 0ff Jalan LP 7/4 yang merupakan laluan kedua ke Seksyen 7 Lestari Perdana di kawasan rizab berhadapan Speed 99 (Speed Mart) telah dijadikan kawasan berniaga oleh peniaga tanpa permit atau lesen yang menjual roti john, masakan Kelantan untuk makan tengah hari, burger, gerai kuih dan gerai nasi lemak.

Gerai setinggan di laluan kedua utama di Jalan LP 7/5 Off Jalan LP 7/4 Seksyen 7 Lestari Perdana  (LP7) menjadi runggutan orang ramai terutama penduduk yang menjadi punca kesesakan dan kelam kabut semasa waktu puncak.


Penguat kuasa MPSJ sudah beberpa kali mengeluarkan saman kepada peniaga berkenaan berikutan aduan orang ramai, bagaimanapun mereka berdegil dan meneruskan perniagaan.

Pengguna jalan terlibat dan penduduk LP7 agak terkilan dan kurang senang dengan kewujudan gerai-gerai yang mereka anggap gerai setinggan kerana menganggu kelancaran laluan untuk keluar masuk terutama pada waktu puncak bila ada dalam kalangan pembeli meletakkan kenderaan tanpa mengikut susunan. 

Mereka meletakkannya sesuka hati hingga laluan menjadi sempit dan menyukarkan. Keadaan waktu itu menjadi kelam kabut dan laluan terpaksa mengambil masa.

Lebih menghairankan siapa sebenarnya memberi kebenaran tapak gerai disimen dan meletakkan papan lapis di atas rumput yang sebelum ini kawasan tersebut merupakan kawasan hijau. 

Laluan keluar masuk ke LP7 dihadapan Speed 99 (Speed Mart) kecoh setiap pagi dan petang kerana wujudnya gerai setinggan. Selain itu, adanya gerai berkenaan mencacatkan pemandangan.


Badan Pengurusan Bersama (JMB) LP7 melalui jurucakapnya, Shaharuddin Yusof memberitahu kawasan tersebut bukan di bawah jagaan JMB. Maklumat yang disampaikan kawasan di bawah pentadbiran pihak pemaju belum diserahkan kepada MPSJ untuk diwartakan.

Beberapa orang yang ditemui berharap pihak pemaju dan MPSJ dapat berbincang supaya kawasan rizab berkenaan dikosongkan dan letakkan papan tanda dilarang berniaga dan parking kenderaan supaya laluan menjadi lancar dan teratur saperti sediakala, di samping kawasan dapat dicantikkan dengan menanam rumput hiasan. Bukan seperti sekarang pemandangan menjadi cacat dengan adanya gerai-gerai setinggan ini.

0
0
0
0
0
You will be interested