Seni & Sukan 25 Jun, 2024

Cerita di sebalik tabir! Latifah Omar nyaris maut gara-gara filem Lanchang Kuning! Hampir digilis!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Kredit foto: ladybosz.com


NAMANYA sudah sebati dengan dunia perfileman Melayu. Wajah jelita serta bakat lakonan yang cemerlang meletakkan Latifah Omar sebagai primadona filem Melayu, khususnya bagi filem-filem keluaran Cathay Keris, Singapura pada era 60-an.

Allahyarham adalah bintang gemilang Cathay Keris, yang juga memiliki bintang seperti Roseyatimah, Umi Kalthum, Fatimah Ahmad, Rahimah Ali dan lain-lain. Gandingan Latifah dengan Allahyarham Nordin Ahmad sangat mantap, sangat serasi. Kerana itu mereka digandingkan dalam banyak filem Cathay Keris.

Antara filem lakonan mereka ialah ‘Gurindam Jiwa’, ‘Laila Majnun’, ‘Hang Jebat, Cucu Datuk Merah’ dan ‘Lanchang Kuning’. Filem lakonan mereka sering mendapat sambutan box-office (pecah panggung).

Tetapi tahukah anda, dalam karier cemerlangnya sebagai pelakon, dan usahanya memberi lakonan terbaik dalam setiap filem dibintangi, Latifah Omar nyaris maut ketika penggambaran filem ‘Lanchang Kuning’ arahan M. Amin.


Nordin Ahmad dan Latifah Omar dalam filem 'Lanchang Kuning'.


Filem keluaran tahun 1962 ini selain dibintangi Nordin Ahmad dan Latifah Omar, turut dibintangi Yusof Latiff, Roseyatimah, Ahmad Nisfu, Wahid Satay dan Murni Sarawak.

Ia mengisahkan Sultan Siak (Allahyarham Yusof Latiff) dan dua orang panglimanya, Panglima Awang Yahya (Allahyarham Nordin Ahmad) dan Panglima Ali (Allahyarham Haji Arshad) berebut kasih seorang penari istana bernama Telani (Allahyarham Latifah Omar). Namun Telani mencintai Panglima Awang Yahya. Mereka kemudian berkahwin.

Panglima Ali sangat marah dan sakit hati kerana cintanya ditolak oleh Telani. Dia menyimpan kemarahan yang membara dan berikrar akan membalas dendam kepada Panglima Awang Yahya walau dengan apa cara.


Haji Arshad sebagai Panglima Ali dalam 'Lanchang Kuning'


Yusof Latiff sebagai Sultan Siak


Kebetulan ketika itu sebuah bahtera untuk kegunaan sultan baharu siap, dinamakan ‘Lanchang Kuning.’ 

Panglima Ali berfikir inilah peluang terbaik untuk balas dendam. Dia membuat helah kepada sultan, untuk melancarkan ‘Lanchang Kuning’ memerlukan korban seorang perempuan bunting sulung.

Panglima Ali sedar dan tahu perempuan bunting sulung ketika itu ialah Telani. Dia berdatang sembah kepada sultan agar Telani dijadikan korban. Dengan itu terbalaslah dendamnya kepada Panglima Awang Yahya.

Ketika itu Panglima Awang Yahya tidak ada di dalam negeri kerana dititah ke Lingga untuk mengutip ufti. Lagi mudahlah Panglima Ali masuk jarum kepada sultan. 

Tanpa berfikir panjang dan tanpa belas kasihan, sultan memerintahkan Telani ditangkap untuk dikorbankan.

Telani terbaring diikat kaki dan tangan. Walau pun Telani merintih meminta belas kasihan, dan ada pegawai istana yang memohon simpati, rintihannya tidak dipedulikan kerana sultan sudah termakan tipu helah Panglima Ali. Sebaliknya Panglima Ali tersenyum gembira dendam tertunai. 

‘Lanchang Kuning’ diluncurkan menggelongsor menggilis badan Telani yang tidak mampu berbuat apa-apa. Matilah Telani dan anak yang dikandung ditindih oleh ‘Lanchang Kuning’ yang berat.


Latifah Omar tahun 2011


Nordin Ahmad


Ketika penggambaran adegan inilah Latifah Omar nyaris terkorban. Dia hampir digilis oleh replika ‘Lanchang Kuning’. Ini berlaku apabila tali pengikat lancang tersebut putus. Kejadian ini disedari Nordin Ahmad yang menjerit kepada pelakon dan kru untuk menyelamatkan Latifah.

Latifah sempat diselamatkan sebelum benar-benar menjadi mangsa ‘Lanchang Kuning’. Namun kesannya menyebabkan dia trauma. Memetik tulisan Hamza Hussein ‘Dari Keris Filem ke Studio Merdeka’, penggambaran terpaksa dihentikan beberapa minggu. Itulah tragedi menakutkan yang sangat memberi kesan mendalam kepada Latifah demi memberikan lakonan terbaik. 

Allahyarham yang lahir di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Mac 1939 memulakan karier di Cathay Keris pada 1959. Latifah meninggal dunia di Kuala Lumpur pada Jun 2013 dalam usia 74 tahun.

Pasangan popularnya dalam filem, Nordin Ahmad, lahir pada Ogos 1929 di Pulau Pinang. Allahyarham meninggal dunia pada Jun 1971 di Singapura pada usia muda 42 tahun akibat penyakit kuning.

Kedua-dua bintang sensasi ini memberi sumbangan besar dalam dunia perfileman Melayu. Nama mereka akan terus terpahat dalam sejarah, filem lakonan mereka tetap diminati walau pun sudah beberapa dekad berlalu. - KitaReporters

11
11
0
15
0
You will be interested