Seni & Sukan 15 May, 2023

Video| Meriah! Konsert Satu Suara Vol 3 pukau penonton! Tok Ti berpuas hati! Nak rancang Vol 4 pula!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Siti Nurhaliza Tarudin bersama Jay Jay, Ernie Zakri dan Aubrey Suwito selaku Pengarah Muzik Konsert Satu Suara Vol 3.


Meriah dan menghiburkan!

Begitu kesimpulannya yang dapat dinyatakan pada Konsert Satu Suara Vol 3 yang buat julung kalinya menggabungkan penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza, 44, bersama dua penyanyi berbeza usia iaitu Jay Jay, 66, dan Ernie Zakri, 31 tahun.

Lebih kurang 4,000 penonton yang membanjiri Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu ternyata terhibur dengan persembahan daripaga tiga artis berbeza angkatan itu malah dengan sistem lampu serta mainan layar pada ‘backdrop’ pentas menambahkan lagi ‘cantiknya’ konsert amal anjuran Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd ini.



Mainan cahaya lampu yang canggih menyerikan lagi pentas konsert di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. - Foto: FAS.


"Alhamdulillah apa yang digambarkan untuk konsert ini akhirnya dapat diterjemahkan dengan baik. Saya nak orang tahu yang konsert ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi meneruskan kerja kebajikan Yayasan Nurjiwa yang diasaskan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa,” jelas Siti Nurhaliza pada media usai konsertnya berakhir dalam sidang media yang diadakan lewat malam di Hotel Park Royal Collection Kuala Lumpur.  

Siti melahirkan ucapan terima kasihnya kepada peminat serta individu dan badan korporat yang bersama menyumbang kepada konsert amal berkenaan. 



Selama lebih kurang dua jam berlangsungnya konsert yang sebahagian besarnya penonton terdiri daripada golongan muda atau Gen Z, pemilihan artis legenda seperti Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus tidak disangka mampu menghiburkan penonton dengan kata-kata humornya yang sponton. 

“Saya difahamkan kebanyakan yang menonton malam ini terdiri daripada anak anak muda, ada yang belum lahir semasa saya bernyanyi, jadi bolehlah saya bahasakan diri saya Pak Cik Jay Jay ya… kita masih pada bulan Syawal dan tentu ada yang balik kampung, jadi tolong bagi tahu ayah ibu pak cik Jay Jay kirim salam", ujar Jay Jay disusuli tepukan dan ketawa hadirin.



Pendek kata, penyanyi ‘evergreen’ yang pernah menerima tiga gelaran sekali gus pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1988) meliputi "Penyanyi Popular Lelaki”, "Vokal Terbaik Lelaki" dan "Juara Kategori Pop Rock" pada Juara Lagu (1998) menerusi lagu "Joget Angan Tak Sudah” ini mampu menambat hati golongan muda yang tidak ketinggalan ‘sing along’ bersamanya.

Penampilan Ernie yang seperti kata Siti atau Tok Ti memiliki kemantapan vokal mantap tidak kurang menghiburkan penonton melalui lagu-lagu hitnya seperti ‘Boneka’, ‘Ku Bersuara’ dan ‘Korban’. 


Mainan visual pada layar ketika Ernie Zakri menyampaikan lagunya, 'Boneka'.


Lebih menarik, apabila Siti secara eksklusif buat pertama kalinya menyanyikan single terbaharunya berjudul, Sehebat Matahari.

“Sebagai penghargaan terhadap sokongan anda semua pada malam ini, buat pertama kalinya saya perdengarkan lagu single terbaharu saya, ‘Sehebat Matahari’ yang bakal dimuat dalam album baharu saya nanti,”  ujar Siti pada konsert yang turut disaksikan oeh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta bekas Menteri Besar Pahang, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Selain 'Sehebat Matahari', terdahulu Siti mendendangkan lagu ‘Kesilapanku Keegooanmu’, ‘Wajah Kekasih’ serta ‘Siti Situ Sana Sini’.

Beliau turut berganding suara bersama Jay Jay dan Ernie menerusi lagu ‘Joget Angan Tak Sudah’, ‘Kita Insan Biasa’, ‘Gundah’ dan 'Ku Bersuara'.



Menutup tirai konsert, trio hebat ini bergabung menghadiahkan peminat  dengan seleksi lagu raya seperti antaranya ‘Hari Raya Bahagia’ dan dan ‘Nazam Lebaran'.

Kesimpulannya, Siti Nurhaliza menarik nafas lega dengan kejayaan konsertnya walau pun  difahamkan penjualan tiket pada peringkat awal agak lembap tetapi pada saat akhir tiket 'sold out'. 

"Insya-Allah saya akan terus menganjurkan konsert seumpama ini bagi edisi keempat tetapi tidaklah dalam masa terdekat bagi memberi jarak kepada peminat agar tidak membebankan mereka membeli tiket," akhiri Siti sambil membayangkan konsert solonya pula dijangka akan diadakah pada tahun hadapan (2024).

Pada akhir konsert Siti mengumumkan pemenang cabutan bertuah berupa hadiah utama satu pakej umrah serta  empat hadiah tiket penerbangan ke Saudi Arabia tajaan Jay Inrahim Al-Islam kepada penonton yang bernasib baik. - KitaReporters


8
12
0
9
0
You will be interested