
MOHD. Sumali Reduan diapit dari kiri, Wan Husni Abdullah, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman dan Abdul Puhat Mat Nayan (dua dari kanan) dan Abu Jimi Samat. - Kredit foto: PSM
TUMPUAN mesyuarat agung pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2025-2028 kini terarah kepada persaingan enam penjuru bagi dua kerusi Timbalan Presiden dan lapan calon untuk tiga slot Naib Presiden.
Suasananya tetap dijangka hangat dan sengit sekalipun kerusi No. 1 badan induk sepak takraw kebangsaan ini sah kekal milik Datuk Mohd. Sumali Reduan yang muncul calon tunggal selepas pencalonan yang dibuka 15 Jun 2025 berakhir pada 22 Jun 2025.
Beliau yang menerajui PSM sejak 12 Februari 2022 lalu juga secara tanpa bertanding, beroleh 21 pencalonan mutlak daripada ahli-ahli gabungan persatuan, menurut kenyataan media persatuan menerusi laman sosialnya pada 23 Jun 2025.
Sumali muncul Presiden PSM keenam sejak persatuan ini ditubuhkan tanggal 25 Jun 1960 di Pulau Pinang, apabila pencabarnya, Zuraidin Abdullah yang juga Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menarik diri ketika pengesahan pencalonan pada 10 Februari 2022 lalu.

Siri kejayaan gemilang skuad negara menjuarai Piala Dunia Istaf 2024 (regu dan beregu) dan Piala Asia Astaf 2025 (regu dan kuadran) sehingga dinobatkan Pasukan Lelaki Kebangsaan Anugerah Sukan Negara 2024, pelancaran Akademi Sepak Takraw Malaysia dan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (PPSN) serta menyatukan semula lima ahli gabungan PSM pada 2023 yang pernah keluar, adalah antara rekod yang menonjolkan kewibawaannya bersama persatuan.
Rekod ini jelas menyukarkan sesiapa presiden kalangan negeri dan wilayah persekutuan (seperti syarat Perlembagaan PSM) untuk mencabarnya dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 29 Jun 2025 ini.
Tiga belas negeri ahli gabungan PSM ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu manakala tiga Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Terdapat juga ahli bersekutu PSM yang layak mengundi tetapi para pegawainya tidak boleh dicalonkan seperti Angkatan Tentera, Polis, Bomba, Penjara, Masum, Mara dan Felda.

SYED Azmir Syed Ahmad (kiri), bekas pengurus pasukan wanita negara turut dicalonkan antara enam pesaing dua kerusi Timbalan Presiden PSM. Kanan ialah Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader.
Senator Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan tampak berpeluang cerah mempertahan jawatan Timbalan Presiden PSM berdasarkan masing-masing menerima 16 dan 15 pencalonan.
Mereka disaingi bekas penyandangnya dan mantan Pemangku Presiden PSM selama tujuh bulan, Datuk Akramuddin Abd. Aziz dengan tiga pencalonan, manakala Naib Presiden, Datuk Abu Jimi Samat dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad beroleh dua pencalonan.
Tidak ketinggalan untuk merebut kerusi nombor dua ini ialah seorang lagi Naib Presiden PSM yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman dengan hanya satu pencalonan.

PELANCARAN Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (PPSN) turut melonjakkan populariti Mohd. Sumali Reduan sebagai Presiden PSM. Empat dari kiri, Abdul Halim Suleiman. - Kredit foto: PSM
Jimi yang juga pengurus pasukan Piala Dunia dan Piala Asia, turut dicalonkan 17 ahli gabungan iaitu yang kedua tertinggi bagi mempertahankan jawatan Naib Presiden PSM di belakang Zaihan dan Wan Husni Abdullah yang menyandangnya secara lantikan bagi penggal 2022-2025 (18 pencalonan).
Halim, Puhat dan tiga lagi calon, Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman, Abdul Rashid Adlie dan Datuk Dr. Najmil Faiz Mohd. Aris masing-masing juga meraih satu pencalonan bagi Naib Presiden PSM.
“Borang-borang penerimaan calon akan diedarkan kepada semua calon yang bertanding dan perlu dijawab mereka kepada Jawatankuasa Bebas Pemilihan Jawatan Tertinggi PSM sebelum 25 Jun 2025 ini,” kata Pengerusinya, Prof. Mohad Anizu Mohd. Nor dalam kenyataan berkenaan. - KitaReporters

KEJAYAAN Malaysia menjuarai acara regu Piala Asia Astaf 2025 selain Piala Dunia Istaf 2024 antara yang menyerlahkan kewibawaan Mohd. Sumali Reduan dengan sokongan Jawatankuasa Tertinggi PSM 2022-2025 (depan, empat dari kanan). Belakang (dua dari kiri) ialah Abidullah Salleh, Setiausaha Agung PSM secara lantikan. - Kredit foto: PSM
MOHAMED Khir Johari dua kali menyandang kerusi panas PSM ini sejak nama singkatan asalnya, PSRPTM yang kemudian berubah kepada PSRM.
Jawatankuasa Tertinggi PSM 2022-2025
Presiden: Datuk Mohd. Sumali Reduan
Timbalan Presiden: Senator Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan
Naib Presiden: Datuk Abu Jimi Samat, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, Datuk Awang Sham Amit dan Wan Husni Abdullah*
Setiausaha Agung: Datuk Abidullah Salleh*
Penolong Setiausaha Agung: Yusoff Ali*
Bendahari: Datuk Dazma Shah Daud*
* Dilantik
Senarai Presiden/Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Malaysia/Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM)/Persekutuan Sepak Raga Malaysia (PSRM)/Persekutuan Sepak Raga Persekutuan Tanah Melayu (PSRPTM)
1960 - 1981: Tan Sri Mohamed Khir Johari
1981 - 1986: Tan Sri Ahmad Razali Mohamed Ali
1986 - 1993: Tan Sri Mohamed Khir Johari
1993 - 2002: Datuk Saidin Thamby
2002 - 2021: Datuk Seri Ahmad Ismail
2022 - kini: Datuk Mohd. Sumali Reduan
AHMAD RAZALI MOHAMED ALI
Keputusan lalu pertandingan Presiden PSM
• 20 September 1981, Kuala Lumpur:
Ahmad Razali Mohamed Ali kalahkan Mohamed Khir Johari 28-26 undi
• 26 Januari 1986, Kuala Lumpur:
Mohamed Khir Johari kalahkan Ahmad Razali Mohamed Ali 26-13 undi
• 22 Disember 2002, Petaling Jaya, Selangor:
Ahmad Ismail kalahkan Datuk Jamal Nasir Rasdi 27-20 undi
• 13 September 2014, Johor Bahru, Johor:
Ahmad Ismail kalahkan Mohd. Shapian Ali 50-20 undi
• 24 Jun 2018, Kuala Lumpur:
Ahmad Ismail kalahkan Datuk Markiman Kobiran 51-16 undi
SAIDIN Thamby menang tanpa bertanding Presiden PSM pada 20 Jun 1993 ekoran Mohamed Khir Johari tidak mendapat pencalonan semula mempertahankannya.