
ARIF Aiman Hanapi (12) terbabit dalam merencana gol Rodrigo Holgado (19) dan La'Vere Corbin-Ong, manakala Joao Figueiredo (14) membuka tirai pesta jaringan Harimau Malaya terhadap Vietnam. - Kredit foto: FAM/MNT
SEDEKAD lamanya tembok Vietnam begitu kebal. Untuk meruntuhkannya pun sejak era tim Dollah Salleh pada 11 Disember 2014 di Hanoi (menang 4-2), jawatan ketua jurulatih negara terpaksa kerap bertukar sehingga tiga tangan daripada Ong Kim Swee kepada Tan Cheng Hoe dan kemudian, Kim Pan-gon.
Hanya apabila tiba kepada Peter Cklamovski, barulah penantian yang persis satu penyeksaan untuk menawan Pahlawan Bintang Emas berkesudahan juga di Stadium Nasional, Bukit Jalil tanggal 10 Jun 2025 dengan kenduri gol 4-0 di hadapan lebih 61,512 hadirin.
Juga disuntik dengan darah kacukan Amerika Latin menerusi Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-131 dunia jelas terlalu garang buat pelawat (ranking ke-109) kendalian Kim Sang-sik dari Korea Selatan.

KESEBELASAN utama Harimau Malaya termasuk penjaring gol ketiga dan akhir, La'Vere Corbin-Ong dan Dion Cools (belakang, kiri dan tiga dari kanan) serta bek tengah kelahiran Argentina berpengalaman La Liga, Facundo Garces juga Jon Irazabal (belakang, dua dan empat dari kanan). - Kredit foto: FAM/MNT
Gandingan penyerang warisan Malaysia kelahiran Brazil dan Argentina ini menembusi penjaga gol lampai Vietnam kelahiran Czech pada minit ke-49 dan 59 dengan rembatan yang tertampan kapten lawan, Do Duy Manh dan tolakan pendek hasil umpanan Arif Aiman Hanapi di sebelah kanan.
Bek kiri, La’Vere Corbin-Ong menjadikan 3-0 dengan kuisan masuk di sebelah kiri juga dengan hantaran Arif pada minit ke-67 sebelum bek tengah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools menanduk cantik ke belakangnya sebagai pelengkap pesta kejayaan tuan rumah, daripada sepakan kidal Endrick Dos Santos.
Pelaburan besar mendapatkan khidmat dua lagi pemain warisan seperti Jon Irazabal dari Sepanyol dan Imanol Machuca juga kelahiran Argentina jelas berbaloi selain persediaan dua perlawanan pemanas badan dengan Cape Verde, penghuni ranking ke-72 dunia dari Afrika (1-1 dan 0-3 pada 29 Mei dan 3 Jun 2025 lalu).

RODRIGO Holgado (19) melarikan bola daripada hambatan kapten Vietnam, Do Duy Manh yang turut tertampan rembatan gol pertama Malaysia oleh Joao Figueiredo. - Kredit foto: FAM/MNT
“Alhamdulillah, sudah lama kita tidak menang dengan Vietnam. Kedatangan majoriti pemain warisan ini amat membantu pasukan kami malah mendorong saya bersaing bagi tempat kesebelasan utama.
“Kami bergerak sepasukan untuk menghasilkan semua golnya walaupun tahu Vietnam sebuah pasukan yang bagus,” kata Arif, dipetik daripada temu bual sebuah stesen TV.
Sayap kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang juga Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia empat kali itu, turut berhak dinobatkan Pemain Terbaik perlawanan bola sepak Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Bukit Jalil ini.

LA'VERE Corbin-Ong (22) yang berdarah kacukan Malaysia-Barbados, menyumbangkan gol ketiga dengan kuisan jarak dekat hasil lorongan bola Arif Aiman Hanapi. - Kredit foto: FAM/MNT
Ulas Peter: “Saya cukup bangga dengan prestasi kesemua pemain. Mereka berdisiplin ketika bersama bola dan tanpa bola dalam babak kedua.
“Keputusan ini akan menyatukan seluruh negara dan memajukan pasukan kita,” kata warga Australia ini yang mengutip kemenangan kedua kelayakan bersama Harimau Malaya selepas menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 lalu sambil menerajui Kumpulan F dengan enam mata.
Sang-sik menerusi khidmat seorang jurubahasa pula berkata, “kami telah bermain menurut apa yang dirancang. Kami kehilangan dua bek (Bui Tien Dung dan Nguyen Thanh Chung) dalam babak kedua akibat kecederaan. Bahagian ini robek yang jelas menjadi penyebab keputusan ini.
“Malaysia meningkat dengan hebat untuk jadi antara yang handal di Asia Tenggara. Namun masih ada perlawanan kedua di gelanggang kami (31 Mac 2026) dan kami mengundang Malaysia. Kami akan buat persediaan dengan baik dan menjanjikan kelainannya.
"Saya turut bertanggungjawab dengan keputusan ini. Pemain dan peminat amat kecewa. Bola sepak ini sukan yang tidak boleh dijangka, mana tahu kami pula menang 4-0, 5-0 (di tempat sendiri),” katanya.

Kredit foto: FB HarimauMalaya
Peter menyaring 23 pemain terbaik bagi berdepan Vietnam daripada 30 pelatih di kem latihan pusat fasa tiga sejak 6 Jun 2025 lalu dengan tujuh yang terpaksa diketepikan kali ini ialah Azri Ghani (penjaga gol), Quentin Cheng, Junior Eldstal, Shahrul Saad, Daniel Sang Ting (benteng), Afiq Fazail (perantara) dan Safawi Rasid (sayap). - KitaReporters
MALAYSIA: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Facundo Garces, Jon Irazabal, La’Vere Corbin-Ong (Gabriel Palmero), Nooa Laine, Dion Cools (Stuart Wilkin), Hector Hevel (Nazmi Faiz Mansor), Arif Aiman Hanapi (Endrick Dos Santos), Rodrigo Holgado (Imanol Machuca), Joao Figueiredo.

JON Irazabal (5) mengasak belakang perantara Vietnam, Nguyen Hai Long dalam perebutan bola di udara sambil diawasi Facundo Garces (3) dan Chau Ngoc Quang (8). - Kredit foto: FAM/MNT