
HANNAH Yeoh (tiga dari kiri) menerima cenderamata replika Piala Asia Sepak Takraw Astaf daripada Mohd. Sumali Reduan. Kiri dan dua dari kiri ialah Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat dan Abdul Halim Kader. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengalu-alukan saranan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader supaya Malaysia kembali menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw Istaf pada 2026 pula.
Malah Hannah
menyahut hasrat Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) untuk
menyaksikan kategori lelaki dan wanita dipertanding dalam Piala Dunia
berkenaan, lebih besar berbanding Piala Dunia Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa,
Kuala Lumpur.
“Saya menyahut saranan itu. Selagi kita ada geran padanan, kita amat gembira untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2026 yang juga bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
"Turut menggembirakan saya apabila dicadangkan kategori lelaki dan wanita dilangsungkan serentak,” kata menteri berkenaan.
Halim melontarkan
hasrat tersebut ketika berucap pada majlis perasmian Piala Asia Sepak Takraw
Astaf Kuala Lumpur 2025 di sebuah hotel di ibu kota yang turut dihadiri Presiden Persatuan
Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan juga selaku Pengerusi
Bersama Jawatankuasa Pengelola kejohanan.
“Saya menyeru sokongan menteri dan kerajaan Malaysia untuk melangsungkan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2026 dengan mengundang antara 20 hingga 25 negara peserta bagi kategori lelaki dan wanita,” katanya.

PASUKAN Malaysia yang menghadiri majlis perasmian Piala Asia Sepak Takraw Astaf KL 2025 di sebuah hotel di ibu negara, menyertai keempat-empat acara dipertandingkan - berpasukan, regu, beregu dan kuadran (berempat). - Kredit foto: We Are Sepaktakraw
Kali akhir Piala Dunia Istaf membabitkan kategori lelaki dan wanita dilangsungkan di Stadium Titiwangsa ialah pada 2011 yang disertai 24 negara (12 pasukan wanita).
Hannah turut menyarankan Arena Axiata, Bukit Jalil yang jauh lebih besar muatan penontonnya sebagai venue Piala Dunia Istaf 2026 tetapi disebabkan sentiasa penuh ditempah, PSM dan Istaf perlu mencari tarikh yang sesuai untuk melangsungkannya.
Beliau selain
itu menganggap Piala Asia Sepak Takraw Astaf KL 2025 di Stadium Titiwangsa lebih
daripada sekadar acara sukan tetapi medan untuk meraikan warisan, kemahiran dan
perpaduan sambil menampilkan bakat-bakat atlet yang terbaik dari seluruh Asia.
“Bagi kejohanan ini, kerajaan menyumbangkan RM845,000 (menerusi dana berkenaan) kepada PSM,” katanya, merujuk kejohanan dari 10 hingga 18 Mei 2025 yang membabitkan 13 negara selain Malaysia iaitu Thailand, Singapura, Indonesia, Korea Selatan, Brunei, India, Jepun, Filipina, China, Taiwan, Vietnam dan Nepal.

BARISAN pengadil dan pegawai teknikal antarabangsa (ITO) bergambar kenangan dengan piala empat acara Piala Asia Sepak Takraw Astaf KL 2025. Dua dari kanan (depan) ialah Abdul Halim Kader dan Boonchai Lorhpipat (dua dari kiri). - Kredit foto: We Are Sepaktakraw
Hannah juga menggesa
semua persatuan sukan kebangsaan tidak lagi meminggirkan penyertaan atlet
wanita dalam penganjuran kejohanan apatah lagi bagi mereka yang sudah mempunyai
pasukan kebangsaan.
“Kepada
persatuan, janganlah pilih kasih, adakan peluang dan pendedahan latihan dan
pertandingan bukan sahaja lelaki tetapi juga untuk wanita dalam sepak takraw,
bola sepak dan sukan-sukan lain.
“Dana
Pembangunan Sukan pun ada untuk pastikan ada penyertaan wanita dan membolehkan
anjur kedua-dua kategorinya serentak,” katanya.
Sepak takraw katanya, wajar bertumpu kepada pembangunan bakat di luar bandar memandangkan sukan itu tidak memerlukan kawasan gelanggang yang besar, jumlah pemain yang kurang ramai dan peralatannya tidaklah terlalu mahal.

ABDUL Halim Kader (kanan) serius menerangkan sesuatu kepada Hannah Yeoh pada majlis perasmian Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw
Sumali yang juga Naib Presiden Istaf pula
yakin, gelombang hebat sokongan peminat seperti Piala Dunia Istaf 2024 ekoran kejayaan
pasukan negara menjuarai acara regu dan beregu bakal berulang pada Piala Asia
Astaf ini.
“Gelombang ini bakal kembali dan saya mahukannya terjadi bagi acara berpasukan supaya kita dapat mengakhiri kemarau kejuaraannya selama 34 tahun (sejak Sukan SEA Manila 1991). Kita sudah cuba pada final Piala Dunia 2024, tidak dapat (juara) dan 2025 kena usaha lagi,” katanya. - KitaReporters

PASUKAN Thailand yang sentiasa memberikan rintangan besar dan getir kepada Malaysia terutamanya pada perlawanan akhir. Mereka hanya akan bermain acara berpasukan, regu dan beregu. - Kredit foto: We Are Sepaktakraw