
SANDAKIAH bersama ayahnya, Allahyarham Datuk Aziz Satar.
DALAM alur seni arus perdana, Sandakiah Aziz kurang dikenali oleh khalayak. Ini kerana beliau lebih banyak membabitkan diri dengan kerja-kerja di belakang tabir terutama ketika membantu ayahnya, Allahyarhan Datuk Aziz Satar.
Namun, beliau adalah individu yang sentiasa ke depan untuk membantu artis-artis veteran tanah air atas kapasitinya kini sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) dan Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM).
KitaReporters (KR) berkesempatan menemu bual Sandakiah (SA) mengenai perjuangannya membela nasib artis veteran, hala tuju, visi dan misi perjuangan PKAVM dan YAVM.

SANDAKIAH AZIZ
KR: Sejak bila Sandakiah aktif bersama PKAVM?
SA: Sebenarnya, saya terbabit secara tidak langsung sejak 2009 ketika arwah ayah, Datuk Aziz Satar memegang jawatan timbalan presiden persatuan itu dan kemudian presiden pada 2012.
Saya membantu ayah menjalankan tugasan beliau di PKAVM atau apa-apa aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan. Dari situ saya mengenali ramai artis veteran dan dapat menyelami susah payah mereka dalam perjuangan seni terutama pada hujung-hujung karier mereka.
Apabila ayah meninggal dunia (pada 6 Mei 2014), saya berasa menjadi tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan beliau menyebabkan saya terus aktif dalam PKAVM hingga dilantik sebagai timbalan presiden pada 2023.
Pada Januari, 2024, saya kemudian dilantik sebagai pemangku presiden selepas Tukiman Radion meletak jawatan. Saya juga memimpin YAVM, menggantikan Kismah Johar sejak Disember, 2023.

SENIMAN Aziz Satar pernah mengalami kesusahan hidup.
KR: Sebenarnya, apakah yang mendorong Sandakiah untuk membantu artis veteran?
SA: Seperti saya katakan, sejak 2009 saya bergaul dengan ramai artis veteran dan tahu bagaimana kehidupan mereka. Jiwa saya sudah sebati dengan mereka.
Saya tahu bagaimana sukar kehidupan artis selepas mencapai usia emas kerana ketika itu mereka tidak lagi mendapat peluang pekerjaan sebagaimana zaman kegemilangan mereka.
Arwah ayah saya sendiri pernah melalui pengalaman itu. Pernah, ayah hanya ada RM10 dalam poket. Ketika itu kehidupan kami sekeluarga turut terkesan.
Tapi, kemudian ayah mendapat peluang bekerja sebagai pengarah dengan Syarikat Indera Filem yang banyak membantu kehidupan kami untuk kembali bangkit.
Pengalaman sebegini yang menguatkan lagi azam saya untuk membela nasib artis veteran. Apa yang berlaku ke atas ayah sering saya jadikan dorongan.

SANDAKIAH aktif di belakang tabir.
KR: Maaf bertanya, kalau kita bercakap aktiviti arus perdana, mungkin ramai yang tak mengenali siapa itu Sandakiah, jadi adakah Sandakiah terbabit secara langsung sebagai anak seni?
SA: Ya, saya akui saya bukan penggiat seni mainstream sebaliknya lebih aktif di belakang tabir sebagai penulis skrip, kerja produksi dan pengurusan acara. Saya pernah menganjurkan beberapa konsert artis, antaranya Search.
Walaupun ayah sudah mendedahkan saya dengan kerja seni sejak kanak-kanak namun beliau tidak menggalakkan saya aktif. Saya pernah berlakon sebagai ekstra dalam filem-filem arahan ayah dan pernah menyanyi.
Ayah tidak mahu apa yang dilalui sepanjang bergelar anak seni ditempuh pula oleh saya. Dan saya akur kerana saya melihatnya dengan mata kepala saya sendiri.

NASIB artis veteran mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
KR: Sebagai presiden PKAVM dan YAVM, apakah visi Sandakiah?
SA: Sudah tentu membela nasib artis veteran yang kebanyakan menjalani kehidupan sukar kerana tidak mendapat peluang untuk meneruskan kerjaya seni atau sedang diuji dengan masalah kesihatan.
Untuk itu, pada pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu acara baru-baru, saya menyenaraikan 10 cadangan dalam usaha PKAVM membantu ahlinya.
Antaranya, kami meminta supaya permohonan untuk ahli mendapatkan rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) dipermudahkan kelulusannya, rawatan kelas 1 di hospital kerajaan dan skim pencen.
Kami juga meminta RTM memberi peluang kepada artis veteran muncul dalam program stesen televisyen itu, juga menjemput mereka membuat persembahan untuk acara berprestij seperti malam anugerah serta sebagai penyampai anugerah untuk menghargai artis veteran.

Fahmi Fadzil menyantuni artis veteran pada satu majlis baru-baru ini.
KR: Saya difahamkan ada pertemuan dan perbincangan lanjut antara PKAVM dengan Menteri berhubung cadangan-cadangan itu.
SA: Ya, PKVAM sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri pada Isnin, 24 Mac (2025). Alhamdulillah, ia satu perbincangan yang sangat poistif walaupun belum ada kata putus.
KR: Boleh kongsi hasil pertemuan itu?
SA: Datuk Fahmi memberi jaminan akan membincangkan cadangan kami dengan beberapa pihak yang terbabit seperti RTM, Finas, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan lain-lain yang berkaitan.
Saya berterima kasih kepada kerajaan yang menunjukkan keprihatinan terhadap nasib artis veteran. Saya sangat berharap apa yang kami usulkan akan dapat ditunaikan oleh kerajaan.
Kalau pun tak semua dapat tapi harap kerajaan luluskan beberapa permintaan yang kritikal seperti peluang pekerjaan demi kelangsungan hidup mereka yang masih mampu aktif, juga isu rumah PPR dan kesihatan.

ARTIS veteran menerima 100 pek food bank daripada ANGKASA.
KR: Difahamkan juga, Kementerian Komunikasi baru-baru ini sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada PKAVM.
SA: Ya, saya sangat berterima kasih. Dana itu sedikit sebanyak membolehkan kami menjalankan aktiviti dan membantu artis yang memerlukan.
Saya juga berterima kasih ke atas badan kerajaan lain, NGO (badan bukan kerajaan), sektor korporat dan individu yang turut membantu kami. Contohnya, baru-baru ini kami menerima sumbangan 100 pek food bank daripada ANGKASA (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad).
KR: Selain bantuan kerajaan dalam meringankan lagi beban artis veteran, apa lagi impian besar sebagai presiden PKAVM dan YAVM?
SA: Saya mengimpikan sebuah pusat sehenti untuk artis veteran berkumpul bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti beriadah, majlis ilmu, bengkel dan sebagainya. Itulah Impian saya.
KR: Terima kasih.
SA: Sama-sama
PKAVM kini memayungi seramai 150 ahli aktif dan 100 orang ahli bersekutu. Pada Rabu, 26 Mac, 2025 lalu, ia berjaya mengadakan mesyuarat agung tahunan. - KitaReporters
