.
Lima insan seni tanah air menunaikan haji iaitu Rukun Islam kelima tahun 2025 ini. Mereka adalah komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir dan isterinya, pelakon Datin Marlia Musa; penyanyi Amir Ukays bersama isteri, Sarimah Ahmad; pelakon Bibiyana Layola; dan pelakon Bella Dally dengan suaminya, Ariff Izuddin Mohd Radzali.
Kesemua mereka sudah berangkat ke Arab Saudi.

M Nasir dan Marlia Musa ketika di lapangan terbang untuk berangkat ke Tanah Suci
Sementara itu, Marlia. 57, iaitu anak dramatis terkenal Allahyarham Musa Al-Bakri bersyukur dapat menunai ibadat haji bersama suaminya, M Nasir.


M Nasir dan Marlia telah mengadakan kenduri doa selamat di rumah mereka di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor sebelum berangkat ke tanah suci.
M Nasir juga sempat menyiapkan beberapa projek seni sebelum menunaikan ibadat haji itu. Dia berharap dan didoakan agar mendapat haji yang mabrur dan akan meningkatkan ilhamnya dalam bidang seni.
M Nasir dan Marlia sebelum ini pernah menunai umrah bersama pasa tahun 2024.
Sementara itu penyanyi Amir Ukays, 56, turut menunai haji bersama isteri, Sarimah Ahmad, 51. Kedua-duanya berlepas bersama 77 jemaah lain.
Amir menangis dan bersyukur apabila mengetahui ada pihak yang sedia menaja pemergian dia dan isteri dan impiannya untuk mengerjakan haji seperti satu mimpi yang menjadi kenyataan.

Pelakon Bibiyana Layola atau nama Islamnya, Nur Habibah Abdullah, 55, pula bertuah menjadi salah seorang daripada 31,600 jemaah Malaysia ke Tanah Suci pada musim Haji 1446H/2025M ini.
Bibiana adalah pelakon utama filem ‘Rozana Cinta ‘87’ arahan Nasir Jani. Adik kepada pelakon dan produser Nur Alia Lee ini turut berharap dapat istiqamah dalam melakukan ibadah sekembalinya ke tanah air kelak.

Seorang lagi artis yang ke Tanah Suci ialah Bella Dally atau Nabilah Ali Dally, 33. Dia pergi bersama suaminya Ariff Izuddin Mohd Radzali yang dikahwini pada 2019 selepas berpisah dengan pelakon Nazim Othman.
Bella dicungkil bakat lakonannya menerusi rancangan pencarian bakat baharu dalam bidang lakonan, ‘Pilih Kasih’ musim pertama pada 2009, dan sejak itu dia telah berlakon dalam beberapa drama TV, filem dan telefilem.
Semoga kesemua artis yang menunai haji tahun ini akan mendapat haji mabrur. - KitaReporters