Seni & Sukan 08 Aug, 2022

Video| Gandingan durian, K-pop! The Lord Musang King filem kolaborasi! Malaysia dan Korea Selatan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


'THE Lord Musang King’ begitu pilihan judul filem kolaborasi pertama antara Malaysia dengan Korea Selatan sekali gus mempromosikan ‘raja buahan tempatan’ itu pada rakyat K-Pop di samping menuju hasrat kerajaan untuk membawa filem tempatan ke peringkat antarabangsa  selaras program ‘Road to Oscar’.

Terbitan Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd diterajui Penerbit Eksekutif,  Ong Peng Chu dan Penerbit Eddie Chow, bersama dengan pengarah terkenal dari Korea Selatan, Lee Moon Ho, filem berkenaan bakal bermula penggambarannya pada 11 Ogos 2022 ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem-filem

Dari Kiri: Adam Ham, Zaienal Abidin Omar, Zahidi Zainul, Ong Peng Chu dan Aziz Bakar di majlis pelancaran filem 'The Lord Musang King' baru-baru ini.


‘“Kami menggabungkan yang terbaik dari Malaysia dan Korea Selatan seperti mana yang kami percaya kerjasama ini akan memberikan impak yang unik dan menjadikannya sebuah filem yang dinantikan. Selepas persediaan dan perancangan selama dua tahun, penggambaran 'The Lord Musang King' bakal bermula pada 11 Ogos 2022 di Kuala Lumpur selama sebulan,” ujar Ong Peng Chu pada majlis pelancarannya di Park 28, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Turut hadir merasmikannya adalah Timbalan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM),  Datuk Zahidi Zainul Abidin disaksikan bersama oleh Dato Aziz Bakar selaku Pengerusi Hundred Years Popcorn Production dan Adam Ham, Ahli Lembaga Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GCMA (Global Creative Media & Agency).

Menyambut baik filem menelan belanja kira-kira RM2.5 juta itu  yang turut menggabungkan para pelakon dan bakat baharu terbaik dari Korea Selatan dan Malaysia, Zahidi berharap kerjasama itu dapat menjadi tangga awal program ‘Road To Oscar’ terus mencapai objektifnya dalam melahirkan filem-filem berkualiti sebagaimana yang telah dibuktikan oleh filem ‘Mat Kilau’, sekali gus mempromosikan sektor pelancongan.

Untuk rekod, ‘Road to Oscar’ dilancarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menggalak pembikin filem menghasilkan naskhah bermutu tinggi yang layak dipertandingkan di festival filem antarabangsa seperti Anugerah Akademi (Oscar).


Eddie Chow (kanan) bertindak sebagai jurubahasa kepada Lee Moon Ho (tengah).


Menjawab persoalan kenapa Lee Moon Ho bersetuju mengarah filem dari Malaysia, pengarah itu berkata, “Saya kagum melihat filem-filem aksi terbitan Malaysia bermutu tinggi dan dengan kerjasama ini dapatlah saya menimba pengalaman bekerjasama dengan artis artis hebat dari Malaysia.”

Barisan artis dari Malaysia terdiri dari Yusof Bahrin, Harissa, Fimie Don, Azri Sabri, Hafidzuddin Fazil, Eddie Chow dan Jay Iswazir manakala Kim Bo Yeon dan Kwak Dong Hyuk dari Korea Selatan.

Dan bagi memastikan para pelakon menampilkan persembahan yang mantap khususnya dalam babak aksi seni mempertahankan diri, Lee Moon Ho mengarahkan para pelakon terbabit berlatih  intensif selama 12 jam setiap hari.

"Latihan begini perlu bagi memastikan mereka menampilkan persembahan yang semula jadi dan realisik dalam babak aksi berlawan seni mempertahankan diri," ujar Lee Moon Ho  dalam bahasa Korea sambil dialih bahasa oleh Eddie Chow.


Dari kiri, Yusof Bahrin dan Harissa bersana pelakon Korea, Kim Bo Yeon dan Kwak Dong Hyuk. - Kredit foto: China Press


‘The Lord Musang King’ mengisahkan seorang pemuda bernama Haikal, anak kepada pekebun durian yang berjaya di sebuah bandar bernama Masalia, yang diperangkap dan dipenjara. 

Demi menyelamatkan anaknya, pekebun tersebut yang bernama Samad membuat perjanjian dengan Cheon Jin, presiden syarikat Cheon Ha International Trading Group di Korea Selatan. 

Perjanjian tersebut membabitkan perjanjian pembelian syarikatnya sebagai balasan menolong Haikal untuk keluar dari penjara. Namun, Samad akhirnya dibunuh oleh taikun Korea Selatan semasa perjanjian tersebut dimeterai.

Tidak lama kemudian, Haikal diberitahu yang bapanya telah meninggal dunia, dan laporan menunjukkan ia berpunca dari bunuh diri. 

Sehubugan itu,  Haikal bertindak untuk menyiasat kes tersebut secara mendalam dengan melarikan diri daripada penjara demi mencari kebenaran di sebalik kematian bapanya. 

Lambat laun, Haikal perlu bekerjasama dengan pihak polis demi membersihkan namanya dan mencari keadilan untuk kematian bapanya.


Treler  awal "The Lord Musang King' yang akan mula penggambaran pada 11 Ogos ini.


Sementara itu, rata-rata pelakon yang terlibat memberikan respons positif apabila berada di bawah arahan pengarah Korea di mana jurang bahasa menjadi halangan utama.

“Dengan adanya jurubahasa kami tidak mempunyai masalah besar menterjemahkan lakonan seperti dikehendaki pengarah malah rasa teruja dapat berlakon di bawah seorang pengarah Korea Selatan yang berkaliber,” ujar Yusof Bahrin.

Menyambung pendapatnya, pelakon senior Hafidzuddin Fazil, 63, juga berpendapat jurang bahasa tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk berlakon mengikut kehendak pengarah.

“Ini satu pengalaman baharu bagi saya apabila pertama kali berada di bawah arahan pengarah Korea. Tidak sukar untuk memahami kehendaknya apabila adanya jurubahasa yang membantu malah melihat reaksi dan mimik mukanya juga membantu kita mengikut arahannya.  Bahasa isyarat pun dah cukup membantu,” tambah Hafidzudin senyum.



Dan bagi pelakon baharu, Harissa Adlynn Halim, 19, (gambar atas) beliau melahirkan rasa bersyukur dapat membintangi sebuah filem yang mengangkat dirinya memegang watak utama walaupun masih hijau dalam bidang lakonan.

“Ini filem pertama saya diberi peluang berlakon dan sudah tentu rasa gementar apatah lagi saya masih baharu walaupun pernah berlakon drama. Apa pun sebagai pendatang baharu saya rasa bertuah terpilih untuk berlakon dalam filem ini yang pasti menjadi rebutan pelakon baharu lain,” tambah Harissa sambil berharap dapat membuktikan beliau mampu memberikan lakonan terbaik pada peluang yang ditawarkan.

Dalam industri hiburan, Harissa terlebih dahulu dikenali sebagai seorang penyanyi ketika berusia 14 tahun di mana video muzik lagunya ‘Aku Sayang Kamu’ ciptaan Aizat Amdan, dijadikan runut bunyi bagi filem ‘Wanita Terindah’ menampilkan Fattah Amin dan Fazura di Astro First Eksklusif.

Malah lagu romantik yang tular itu juga digunakan sebagai lagu latar video pernikahan Fattah dan Fazura pada tahun 2017.

Harissa juga pernah menyertai ‘All Together Now Malaysia’ tahun lalu (2021) meski pun gagal mara ke peringkat podium selepas membawa lagu Zaiton Sameon, ‘Menaruh Harapan’ ketika itu.

Kini Harissa turut menaruh harapan agar lakonannya dalam ‘The Lord - Musang King’ mendapat reaksi positif dari penonton apabila wataknya  dapat disaksikan pada filem yang bakal berada di pawagam pada pertengahan tahun 2023 kelak. - KitaReporters


9
9
0
18
0
You will be interested