NUR Ainsyah Murad bertembung dengan Laita Roati Masykuroh sehingga rebah di padang dalam satu peluang keemasan Malaysia pada minit ke-62. - Kredit foto: FAM
DITUNDUKKAN Indonesia 1-0 yang menghuni ranking dunia lebih rendah!
Gol tunggal Claudia Scheunemann pada minit ke-79 dan tiga mata lawan dianggap resmi ‘sumpahan’ perlawanan pertama Harimauwati Malaya!
“Seperti selalu, sumpahan perlawanan pertama masih ada (pada skuad wanita negara),” kata Soleen Hamed Tawfiq Al-Zoubi selepas perlawanan Kumpulan B bola sepak Piala AFF Wanita 2024.
Harimauwati Malaya yang di ranking ke-96 dunia berbanding Indonesia (ke-104) kini perlu menewaskan Kemboja (ke-119) pada perlawanan penamat peringkat awal ini.
Sebarang keputusan selain itu di Padang Simpanan KM16, Vientiane, Laos pada 29 November 2024 ini, akan mengirim mereka dengan penerbangan pulang lebih awal ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
SOLEEN Hamed Tawfiq Al-Zoubi menunjukkan riak resah akibat kekalahan tipis aksi sulung Harimauwati Malaya pada Piala AFF Wanita 2024 di Vientiane. - Kredit foto: FAM
Namun tanpa sesekali terasa untuk menekan butang panik, pengendali warga Jordan itu menegaskan, “kami masih dalam pertandingan ini. Ini hanyalah perlawanan pertama.
“Saya kenal pasukan saya. (Kekalahan) ini satu perangsang besar untuk pemain bangkit lebih gagah dan ke separuh akhir (sebagai naib juara Kumpulan B),” katanya, dipetik daripada video laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 26 November 2024.
Kemboja sudah mengikat Indonesia tanpa jaringan ketika mereka membuka tirai saingan kumpulan ini pada 24 November 2024 lalu.
Indonesia kini mendahului dengan empat mata diikuti Kemboja, satu mata.
Peluang keemasan Malaysia muncul pada minit ke-25 yang sepatutnya ditolak masuk oleh Nur Lyana Soberi hasil sepakan sudut Nur Ainsyah Murad dari sebelah kiri dan ditanduk ke belakang oleh Ayuna Anjani Lamsin.
Satu lagi peluang muncul menerusi larian solo kencang Ainsyah yang hanya berdepan tetapi dirempuh penjaga gol lawan, Laita Roati Masykuroh sehingga terjatuh pada minit ke-62.
NUR Lyana Soberi (9) hampir membolosi gawang Indonesia jika lebih tangkas menghidu peluang daripada sepakan sudut minit ke-25. - Kredit foto: FAM
Kata Soleen, “kami wajar menerima kekalahan ini. Kami kena semak teknikalnya, taktikal, mental dan sebab kekalahannya (lalu) perbaiki dan pertingkatnya. Pemain-pemain sudah berikan 100 peratus.
Sebelum ke Vientiane, dia telah meletakkan sasaran menjulang Piala AFF Wanita buat Harimauwati Malaya.
Benteng wanita negara, Siti Nurfaizah Saidin melahirkan rasa kecewa dengan kecundangnya pasukan akibat sepakan lambung Claudia yang melangkaui penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan.
“Kami sudah cuba sedaya upaya tetapi kecewa. Kami kena tingkatkan prestasi (melawan Kemboja) berbanding perlawanan ini untuk pastikan pasukan bangkit lebih gagah,” katanya.
Tiga lagi pasukan kejohanan ‘divisyen dua’ atau kelayakan rantau Asia Tenggarda anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini ialah Laos (ke-92 dunia), Singapura (ke-138) dan Timor-Leste (ke-159).
Hanya tiga pasukan terbaik Piala AFF Wanita 2024 akan turut layak menyaingi ‘divisyen satu’ Asia Tenggara yang dibarisi Filipina, Thailand, Vietnam dan Myanmar pada Kejohanan Wanita ASEAN 2025. - KitaReporters
KESEBELASAN utama Harimauwati Malaya menentang Indonesia di Stadium Nasional Baru Laos KM16, Vientiane pimpinan Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh (belakang, kanan). Ayuna Anjani Lamsin (18). - Kredit foto: FAM