MOROCCO (Maghribi) terus mencipta kejutan dan menjadikan Sepanyol mangsa terbaharu mereka apabila menewaskan jaguh Eropah itu 3-0 pada pusingan 16 pasukan terakhir Piala Dunia 2022 dalam penentuan sepakan penalti pada 7 Disember 2022.
Kemenangan ini membolehkan wakil Afrika itu mencipta sejarah pertama kali melangkah ke suku akhir.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Piala Dunia
Bekas juara Piala Dunia pada 2010 merupakan pasukan pilihan dan dilihat seperti tiada masalah untuk menumpaskan lawan mereka.
Namun ia terjadi sebaliknya apabila Morocco turun dengan gaya permainan yang begitu meyakinkan.
Skuad La Roja menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik. Namun palang dan tiang gol menjadi pemisah buat mereka apabila beberapa kali percubaan mereka hampir memberi jaringan.
Biarpun Morocco bukan pasukan pilihan, tapi mereka berjaya menyekat permainan lawan mereka daripada terus menembusi gawang.
Skuad Singa Atlas juga mempunyai peluang dan hampir meledak jaringan tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Sepanyol.
Perlawanan yang terikat tanpa jaringan terpaksa dibawa ke masa tambahan.
Penjaga gol Morocco, Yassine Bounou bertindak begitu cemerlang sepanjang 120 minit permainan bagi memastikan pintu gol terus terselamat daripada dibolosi pemain Sepanyol.
Bekas juara dunia kelihatan terdesak untuk mendapatkan jaringan bagi mengelak perlawanan ke penentuan sepakan penalti sementara Morocco pula sememangnya sudah bersedia lebih awal untuk situasi seperti itu.
Bermain pada masa tambahan tanpa jaringan dan pemenang terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.
Seperti dikatakan, wakil Afrika begitu bersedia apabila Bounou sekali lagi bertindak cemerlang dengan menyelamatkan tiga sepakan penalti daripada pemain Sepanyol.
Meskipun Morocco tidak berjaya menyempurnakan satu sepakan penalti tetapi ia tidak menghalang dari mereka untuk memalukan jaguh Eropah itu dengan keputusan 3-0.
Pada perlawanan suku akhir nanti, Morocco akan berdepan satu lagi pasukan pilihan yakni Portugal untuk merebut slot ke separuh akhir. - KitaReporters