Seni & Sukan 07 Sep, 2025

Tolong kami! Bantu Ebby Yus miliki karavan dialisis! Mudah buat rawatan di lokasi! Ada nak sponsor?

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Bagi insan seni, lama tidak bergiat dalam bidang yang diceburi selama ini akan memberi tekanan perasaan yang mendalam.
Pelakon, pelawak veteran Ebby Yus atau Muhammad Yunus Abdul Rashid, 60, adalah antara insan seni yang semakin kurang mendapat peluang beraksi.

/


Ini kerana sejak kira-kira setahun lalu kesihatan Ebby Yus semakin tidak stabil. Dia mengidap sakit buah pinggang yang kronik yang memerlukan dia menjalani proses dialisis tiga kali sehari. 

Ebby melakukan dialisis air di rumah pada jam 6 pagi, 6 petang dan 10 malam, iaitu selama 40 minit setiap sesi. 

Walaupun masih mendapat tawaran berlakon dan berlawak, namun kerana keadaan kesihatannya menyebabkan Ebby Yus terpaksa menolak tawaran itu walaupun terasa teramat rindu untuk kembali berlakon dan berlawak. 

Dan baru-baru ini Ebby terpaksa dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman. 



Antara karavan berharga bawah RM100 ribu

Bagi membolehkan dia menerima tawaran berlakon dan berlawak, Ebby Yus sedang mengumpul wang untuk membeli sebuah karavan yang diubah suai bagi membolehkan proses dialisis dilakukan di dalamnya. 

Dengan adanya karavan sedemikian, penggambaran drama atau lawak tidak begitu terganggu. Ini kerana dia boleh melakukan proses dialisis sendirian sebelum atau ketika rehat seperti yang dilaku di rumah selama ini.

Tetapi Ebby Yus dikenali sebagai insan seni yang tidak mahu meraih simpati dan bantuan kewangan.

Namun tidak salah jika ada individu atau agensi yang  boleh memberi sumbangan bagi membeli karavan tersebut. Ia boleh memberi publiti percuma kepada pihak penaja. 

Ebby Yus tidak kisah memiliki karavan terpakai kerana yang penting ada tempat untuk melakukan dialosis di dalamnya.


/



Sementara itu, bagi menyara kehidupan harian seperti makan minum, sewa rumah dan belanja perubatan, Ebby bersyukur mempunyai teman yang sedia membantu.

Ebby amat berterima kepada kawannya, pelawak Ajak Shiro atau nama sebenar Mohd Hanaffi Razak, 39, atas nama persahabatan yang lama di mana Ebby membantu Ajak menapak sebagai pelawak. 

Sebagai membalas jasa, Ajak yang kini sudah berjaya dalam bidang perniagaan memberi bantuan kewangan kepada  Ebby.

Pada Disember 2024 lalu, Ajak memberi tugas kepada Ebby untuk mengurus kedai makan Bumbu Babah cawangan Pasar Seni, Kuala Lumpur. 

Dan pada Julai 2025 pula, Ajak membuka satu lagi cawangan Bumbu Babah di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak jauh daripada rumah sewa Ebby. 

Selain mendapat elaun sebagai pengurus di kedua-dua kedai makan itu, Ebby juga menerima sebahagian hasil keuntungan jualan.

Jika perniagaan makanan dan minuman Ajak semakin berkembang, tidak mustahil dia sendiri akan menaja pembelian karavan untuk sahabat sejatinya Ebby Yus bagi membolehkan dia kembali berlakon dan berlawak.


/


Lantaran itu Ebby Yus masih tinggal menyewa di Kampung Baru sejak sekian lama.
Ebby Yus pernah mengalami tragedi malang apabila rumahnya yang dalam pembinaan di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat, Selangor musnah dilanda banjir deras pada 18 Disember 2021 lalu menyebabkan Ebby kerugian lebih RM200,000 hasil wang simpanan kegiatan seninya. 

Ebby Yus mula bergiat dalam bidang lakonan pada pertengahan 1980-an dengan aksi persilatan dalam siri ‘Pendekar’ di TV3. 

Manakala, dia mula dikenali sebagai pelawak apabila mula menyertai rancangan Maharaja Lawak yang bermula sejak 2011. - KitaReporters 


13
18
0
10
0
You will be interested