Seni & Sukan 21 Dec, 2025

Gila Hindustan| Vyjayanthimala tolak Anugerah Filmfare 1957! Enggan dianggap pelakon tempelan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

DIA beroleh anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Filmfare 1957 kerana penampilan cemerlang dalam filem ‘Devdas’. Tetapi aktres popular Vyjayanthimala, 92, menolak dan mengembalikan anugerah tersebut.


 


Vyjayanthimala pelakon jelita dari Selatan yang berjaya memecah tembok Bollywood dan mencipta nama sebagai antara artis hebat filem Hindustan.


Keengganan menerima enugerah tersebut menjadikan Vyjayanthimala satu-satunya artis yang menolak Anugerah Filmfare yang berprestij itu, sedangkan bintang Bollywood lain begitu ingin memperolehinya. Ia adalah pengiktirafan yang mampu melonjakkan nama pelakon dalam industri.

Devdas’ filem keluaran tahun 1956 adalah filem hitam putih arahan Bimal Roy. Pelakon utama ialah Dilip Kumar yang memegang peranan Devdas, Suchitra Sen (Paro), Vyjayanthimala (Chandramuki) dan Motilal selaku Chunni Babu. Gubahan muzik oleh S.D. Burman.


Filem 'Devdas' tahun 1956 menampilkan Dilip Kumar, Suchitra Sen (atas kiri) dan Vyjayanthimala, yang menolak Anugerah Filmfare 1957 kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.


Filem ini mengisahkan Devdas, jejaka daripada sebuah keluarga kaya, jatuh cinta dengan kawan sejak kecil, Paro. Bagaimana pun perbezaan darjat menyebabkan mereka berpisah. 

Paro dikahwinkan dengan seorang duda kaya sementara Devdas merana sehingga jadi seorang pemabuk.

Kehidupannya hancur musnah. Dalam kesengsaraan ini, dia bertemu dengan Chandramurki, seorang perempuan simpanan, yang sangat menyintainya. 

Tetapi Devdas tidak menerima cintanya kerana masih dibelenggu dengan cinta terhadap Paro. Penderitaannya membawa kepada kematian penuh tragik.

Filem ini merangkul beberapa anugerah dalam Majlis Anugerah Fanfare ke-4 pada 1957 itu. Antaranya Pelakon Terbaik (Dilip Kumar), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Motilal), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Vyjayanthimala).


Dilip Kumar dan Vyjayanthimala dalam filem 'Devdas'.


Anugerah Filmfare tidak memilih Pelakon Wanita Terbaik. Heroin, Suchitra Sen yang memegang watak Paro, tidak menang sebarang anugerah.

Sebaliknya anugerah yang diberi ialah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kepada Vyjayanthimala. Tetapi dia menolak. Kenapa? Ia adalah demi prinsip.

Alasannya, watak yang dia bawa sama penting dengan watak Paro yang dibawa oleh Suchitra Sen. Kerana itu dia berasa meletakkannya dalam kategori ‘pembantu’ adalah satu penghinaan sedangkan watak Chandramuki yang dibawanya sama penting. Vyjayanthimala tidak mahu dianggap sebagai pelakon tempelan.


Suchitra Sen yang memegang watak Paro dalam 'Devdas' tidak menang sebarang anugerah pada Anugerah Filmfare 1957 untuk filem 'Devdas'.


Lahir pada 13 Ogos 1933 di Triplicane, Madras (Chennai), Vyjayanthimala merupakan bintang filem dan penari yang berasal dari selatan berjaya menembusi dan menggilap nama di Bombay (Mumbai) dalam kancah perfileman Hindustan.

Filem pertama lakonannya ialah filem Tamil ‘Vazhkai’ (1949) ketika berusia 13 tahun. Filem yang diarah oleh M.V. Raman, keluaran AVM Productions itu memecah box-office.

Kemasukannya dalam filem Hindustan ialah melalui ‘Bahar’ (1951) yang merupakan olahan semula ‘Vazhkai’. Namun filem yang menjulang namanya sehingga terkenal di Bollywood ialah ‘Nagin’ (1954).

Dia muncul antara pelakon paling berjaya di Bollywood dan memenangi beberapa Anugerah Filmfare. Selain anugerah Pelakon Pembantu Wanita ‘Devdas’ yang ditolaknya, Vyjayanthimala menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik untuk ‘Sadhana’ (1958), ‘Madhumati’ (1958), ‘Gunga Jumna’ (1961), dan filem box-office ‘Sangam’ (1964).

Filem cinta tiga segi ‘Sangam’ memahat nama Vyjayanthimala sebagai heroin hebat Bollywood, memegang peranan sebagai Radha Mehra. Filem ini diarah dan dibintangi oleh Raj Kapoor selaku Sundar Khanna dan Rajendra Kumar sebagai Gopal Verma. 

Gopal dan Radha saling bercinta tetapi Sundar, sahabat baik Gopal, juga cintakan Radha. Gopal akhirnya berkorban cinta demi Sundar.


Filem box-office 'Sangam' membariskan Raj Kapoor (kiri), Vyjayanthimala dan Rajendra Kumar.


Filem ini menimbulkan kontroversi apabila percintaan dalam filem antara Raj Kapoor dan Vyjayanthimala berterusan di luar filem. Isteri Raj Kapoor, Krishna Kapoor, keluar rumah apabila mengetahui hubungan mereka. Dia hanya balik setelah dan Raj Kapoor berjanji tidak lagi bermain cinta dengan Vyjayanthimala.

Peristiwa ini memberi tekanan secara peribadi kepada Vyjayanthimala. 

Sebagai ‘menutup buku’, dia berkahwin dengan doktor peribadi, Chamanlal Bali, pada 1968 dan mempunyai seorang anak lelaki, Suchindra Bali. 

Selepas berkahwin Vyjayanthimala bersara daripada filem pada 1970 ketika nama di puncak. Mereka berpindah ke Madras dan dia menumpukan masa pada keluarga serta tarian Bharatanatyam. 

Kini dia masih sihat pada usia 92 tahun. Suaminya meninggal pada 1986.


Vyjayanthimala bersama suami, Dr. Chamanlal Bali. Mereka berkahwin pada 1968.


Vyjayanthimala bergandingan dengan ramai pelakon popular Bollywood. Antara filem popular lakonannya ialah ‘Sangam’ (1964), ‘Amrapali’ (Sunil Dutt-1966), ‘Jewel Thief’ (Dev Anand- 1967), ‘Sunghursh’ (Dilip Kumar-1968), ‘Pyar Hi Pyar’ (Dharmendra-1968), ‘Prince’ (Shammi Kapoor-1968), ‘Suraj’ (Rajendra Kumar-1966) dan ‘Ganwaar’ (Rajendra Kumar-1970), filem terakhir sebelum bersara.

Vyjayanthimala juga pernah menceburi politik pada 1980. Dia menyertai parti Kongres dan terpilih Ahli Parlimen selepas menang bertanding pilihan raya 1984 kawasan Selatan Chennai. Dia kemudian bertukar jadi ahli parti Bharatiya Janata (BJP).


Vyjayanthimala ketika remaja dan kini pada usia 92 tahun.


Sebagai menghargai sumbangannya dalam seni, Vyjayanthimala diberi anugerah ‘Padma Vibhushan’, anugerah kedua tertinggi diberi oleh kerajaan India untuk orang awam sebagai penghargaan kepada sumbangan berterusan dalam dunia seni. - KitaReporters

 

 

13
15
0
17
0
You will be interested