DALAM filem ‘Ahmad Albab’ keluaran Studio Merdeka tahun 1968, selain P. Ramlee yang bertindak sebagai pengarah dan pelakon utama, ia turut menampilkan Saloma dan A.R. Tompel memegang watak penting sebagai bapa dan anak.

P. Ramlee dan Saloma dalam filem 'Ahmad Albab' keluaran Studio Merdeka tahun 1968.
Mastura sering berlaga angin dengan bapanya. Akibatnya dia tidak disenangi berbanding dua kakaknya Safura (Mariani) dan adiknya, Suhara (Mimi Loma).
Saloma, Mariani dan Mimi Loma adalah adik beradik di luar layar perak.
P. Ramlee memegang watak utama sebagai Syawal, seorang gembala miskin tetapi jujur. Dia berkahwin dengan Mastura kerana Mastura mahu membuktikan kekayaan dan kebahagiaan itu daripada Allah, bukan bapanya.
Mereka sabar sekali pun sering dicemuh. Hidup mereka berubah jadi kaya kerana harta anugerah jin.

Mimi Loma (kiri sekali), Saloma dan Mariani, tiga beradik yang membintangi 'Ahmad Albab'.

'Ahmad Albab' istimewa kerana Saloma (atas kanan sekali) denngan suaminya P. Ramlee (kiri) dan bekas suami, A.R. Tompel.
Istimewanya ‘Ahmad Albab’ ialah kerana ia menggandingkan Saloma dengan suami, P. Ramlee, dan bekas suami, A.R. Tompel.
Saloma dan Tompel muncul dalam beberapa filem lain arahan P. Ramlee, antaranya ‘Do Re Mi’ (1966), ‘Nasib Do Re Mi’ (1966), ‘Keluarga 69’ (1967) dan ‘Anak Bapak’ (1968). Namun kemunculan Saloma hanya sekadar penampilan khas (cameo), biasanya sebagai penyanyi.
Berapa ramai antara kita tahu Saloma dan Tompel pernah jadi suami isteri?
Mereka berkahwin pada April 1952 di Singapura. Ketika itu Tompel sudah menjadi pelakon dan pelawak dikenali. Saloma pula hanya anak dara jelita biasa berusia 17 tahun, bernama Salmah Ismail.
Tentunya tiada siapa menduga Salmah kemudian muncul mencipta nama sebagai selebriti popular dengan nama Saloma.
Dia menjadi bintang pujaan. Kehebatannya selaku penyanyi sukar disangkal, seiring dengan kehabatan sebagai pelakon.

A.R. Tompel memperkenal isteri baharunya, Salmah Ismail (Saloma) di kiri kepada bekas isteri, P. Suriati pada 1952. - Kredit foto: 'Repair Gambar Lama'.
Sayangnya ikatan perkahwinan Saloma dan A.R. Tompel tidak mampu bertahan lama. Rumah tangga yang dibina dilanda badai, hanya bertahan lima bulan sahaja. Pada September tahun sama (1952), pasangan suami isteri itu berpisah.
Ketika ikatan terlerai Saloma sedang mengandung. Mereka dikurnia zuriat seorang anak lelaki dinamakan Armali Aman Ramlie.
Armali mewarisi bakat ibu bapanya dalam dunia seni, pernah berlakon dan menyanyi. Dia meninggal pada Ogos 2006 dalam usia 53 tahun di rumahnya di Kampung Batu Belang, Tampin, Negeri Sembilan.

Saloma bersama anaknya, Armali Aman Ramlie, hasil perkongsian hidup dengan A.R. Tompel.
Saloma kemudian berkahwin dengan P. Ramlee pada 1961 apabila P. Ramlee bercerai dengan seniwati Noorizan pada tahun sama selepas enam tahun bersama.
Perkahwinan pasangan ideal ini kekal sehingga akhir hayat P Ramlee pada 29 Mei 1973 dalam usia 44 tahun akibat serangan jantung. Mereka tidak mempunyai anak.
Saloma yang lahir pada 22 Januari 1935 di Pasir Panjang, Singapura, meninggal dunia pada 25 April 1983 pada usia 48 tahun akibat demam kuning.

Pelakon dan pelawak popular A.R. Tompel.
A.R Tompel yang lahir pada 24 Oktober 1918 di Tanjung Balai, Asahan, Sumatera Utara, berkahwin dengan isteri pertama, P. Suriati pada 1946 dan bercerai pada 1951, diikuti Saloma (kahwin dan cerai pada 1952).
Seterusnya Azizah Ismail @ Jah Ismail (kahwin 1953 sehingga 1973), Samsiah (kahwin 1961, cerai 1962), Ruminah Sidek, dikenali dengan Mak Mah (kahwin 1970 sehingga 1973) dan Zainun Yusuf (kahwin 1972).
Ruminah Sidek lebih menonjol kerana beliau yang kini berusia 79 tahun adalah bekas bintang filem yang pernah muncul bersama Tompel dalam filem ‘Anak Bapak’ arahan P. Ramlee.
Antara anaknya yang dikenali ialah Adlin Aman Ramlie yang merupakan seorang pelakon.

Ruminah Sidek, dikenali dengan nama Mak Mah, dahulu dan kini.
Beberapa orang anak Tompel juga terjun di bidang seni, termasuk pelawak A.R Badul dan Amran Aman Ramlie atau Amran Tompel. Kedua-duanya anak dengan P. Suriati.
A.R Tompel meninggal pada 30 Januari 1973 pada usia 54 tahun akibat kemalangan jalan raya langgar lari di pekan Setapak, Kuala Lumpur.
Pemergiannya hanya beberapa bulan sebelum kematian P. Ramlee, pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun.
Tompel
terlibat kemalangan pada 21 Januari 1973 pukul 12 malam. Dalam kemalangan itu, dia koma dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Namun dia meninggal sembilan
hari kemudian.
Dalam realiti kehidupan, P. Ramlee, A.R Tompel dan Saloma adalah sahabat baik di dalam dan luar filem. Tompel muncul dalam banyak filem arahan P. Ramlee.
Jenazah mereka disemadikan berdekatan antara satu sama lain di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan diampuni dosa. - KitaReporters