Seni & Sukan 12 Jan, 2020

MALAM KEMUNCAK AJL34: PEMENANGNYA IALAH...

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this
BERTEMAKAN ‘Warna Warna Suara”, mungkinkah Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 (AJL34) yang bakal diadakan pada 9 Februari 2020 ini sekali lagi jadi milik Hael Huzaini atau pun terlepas ke tangan komposer muda seperti Naim Daniel  atau Erni Zakri? KitaReporters.com

Antara artis-artis yang bakal memeriahkan AJL34 yang akan berlangsung pada 9 Februari depan.


Baru-baru ini, AJL34 mengumumkan gabungan tiga pengacara popular - Sherry Al Hadad, Awal Ashaari dan Haziq Hussni yang akan mengemudikan acara berprestij itu di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam.

“Kita mahu tunjukkan bahawa dalam dunia nyanyian, suara memainkan peranan penting. Dan vokal ada pelbagai jenis antaranya tenor, bass dan soprano. 

"Itulah yang ada pada finalis AJL34 tahun ini yang mana mereka tergolong mempunyai suara yang berbeza dari segi julat dan nada,” ujar Penerbit Eksekutif AJL34, Nurhul Huda Khalid ketika ditemui pada majlis sidang media AJL34 pada Khamis (9/1/2020).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima Berhad, Johan Ishak.

Menurut Nurhul, dari sudut visual, konsep persembahan, fesyen dan pentas juga akan lebih berwarna warni malah digalakkan penonton yang hadir juga mengenakan pakaian berwarna warni.

Seperti tahun lalu, AJL34 juga akan menjual tiketnya melalui laman web https://myticket.asia/ dengan harga mengikut aras tempat duduk yang dikehendaki iaitu Arena (RM60), Aras 3 (RM40) atau Aras 4 pada harga RM30.


Sebelum itu, peminat tegar AJL34 yang akan menyaksikan 12 finalis berentap merebut gelaran Anugerah Juara Lagu, turut berpeluang bertemu selebriti pujaan masing-masing pada acara  ‘Showcase AJL34’ kolaborasi bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani KL pada Sabtu 18 Januari 2020 ini.

Pada showcase tersebut, pelbagai aktiviti disediakan bersama kesemua finalis AJL34 dari pukul 5 petang hingga 10 malam, malah mereka yang hadir berpeluang membeli tiket AJL34 yang akan disertakan dengan sebuah hadiah misteri.

Di samping menyaksikan persembahan khas dari para finalis, penonton bakal menyaksikan kemunculan maskot Ejen Ali dan Aliff & Sofia yang tentu sekali menarik perhatian golongan muda.


Sementara itu, penyanyi Naim Daniel  (foto atas) yang mempertaruhkan lagu ‘Sumpah’ dan merupakan penyertaan buat julung kalinya bertanding di samping penyanyi dan komposer lain yang lebih berpengalaman melahirkan rasa teruja dan gementar.

“Buat masa ini, saya kurang mengambil tawaran apa-apa sebab mahu tumpukan perhatian terhadap AJL. 

"Dan sebagai persediaan saya mengambil kelas vokal bersama Dato Shafinaz untuk berlatih dan mengenali teknik-teknik nyanyian yang betul,” ujar Naim semasa ditemubual.


Seperti Naim, penyanyi Yusrizan Usop atau lebih dikenali sebagai Bob Yusof (foto atas) atau Bob AF2 tidak ketinggalan melalui perasaan sama apatah lagi lagu yang bakal dibawanya “Anta Permana”  milik penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza dan komposer Hael Husaini.

Mengakui tidak mudah membawa lagu orang lain, Bob bagaimana pun sedia menyahut cabaran dan melakukan persembahan yang dikehendaki oleh  Siti Nurhaliza mahu pun  Hael Husaimi.

“Setiap daripada mereka ada idea masing-masing dan saya sendiri pun memberikan input, namun akhir kata tentulah saya perlu menjadi diri sendiri dan membawakan lagu tersebut dengan gaya dan persembahan yang boleh memuaskan hati keduanya,” ujar Bob.

Yang pasti, 10 lagi finalis lain tidak kurang hebatnya, hanya rezeki dan persembahan terbaik masing-masing pada malam kemuncak AJL34 itu kelak akan menentukan siapa di antara yang terbaik itu  berjaya merangkul Anugerah Juara Lagu.


Berikut senarai penuh 12 finalis AJL34:

  1. Drama (Drama Band/Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib)
  2. Ku Bersuara (Ernie Zakri/Syamel, Omar K, Blaine Bakri, John Jeevasingham)
  3. Anta Permana (Bob Yusof/Hael Husaini, Ezra Kong)
  4. Sumpah (Aina Abdul)
  5. Lembah Kesepian (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli, Ibnu & Gouffran)
  6. Sumpah (Naim Daniel/Naim Daniel & Omar K)
  7. Peneman (Hazama The Penglipurlara/Tam)
  8. Dinda (Kugiran Masdo/Ali Sariah)
  9. Bangun (Aman RA/Navigator, Aman RA)
  10. Kisah Cinta Kita (Hafiz Suip/Ikhwan Fatanna, Ayden Ali, Datuk A. Aida)
  11. Ragaman (Fairuz Misran/Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo,Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan)
  12. Rampas (Akim & The Majistret/Hang Nadim, Laq, Bunga Cantik)


Pada malam kemuncak itu nanti, kehangatan AJL34 akan dimulakan  dengan segmen Karpet Merah secara strim langsung definisi tinggi (HD) di laman tonton pada pukul 8 malam dan pada pukul 8.30 malam di TV9.

Untuk rekod, pada AJL33 tahun lalu, kejuaraan itu dipegang oleh karya ciptaan Hael Huzaini/Ezra Kong melalui lagu duet yang dinyanyikan Hael sendiri bersama Dayang Nurfaezah - ‘Haram”.

Mungkinkah AJL34 sekali lagi jadi milik Hael melalui ‘Anta Pernama’ atau pun terlepas ke tangan komposer muda seperti Naim Daniel, 22, melalui karyanya ‘Sumpah’ atau “Ku Bersuara’ nyanyian Erni Zakri?

Segalanya dapat diketahui pada Malam Kemuncak AJL34 yang bakal berlangsung pada 9 Februari depan.

Good luck semua!

Juara AJL33, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah.  Pix @tv3malaysia.

2
0
0
0
0
You will be interested