Seni & Sukan 18 Apr, 2025

Kena buat pusingan-U? Jodoh Tang Jie/Ee Wei ditagih RTG, tim Piala Sudirman! Beregu prospek mata!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

SKUAD campuran negara ke Piala Sudirman Ke-19 di Xiamen tanpa Lee Zii Jia. - Kredit foto: BAM


HANYA pada 28 Mac 2025 lalu beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie/Toh Ee Wei diumum oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah dipisahkan.

Ketika perpisahan itu sudah begitu pasti, perjodohan semula mereka pula tiba dengan bersyarat.

Pemisahan drastik yang diputuskan Jawatankuasa Prestasi BAM itu tiba-tiba menjalani ‘pusingan-U’ apabila persatuan pada 16 April 2025, memutuskan bahawa mereka akan digandingkan balik.

BAM jelas tidak mampu menanggung risiko kehilangan Tang Jie/Ee Wei daripada Program Laluan Emas (Road To Gold - RTG) Sukan Olimpik yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Meneruskan pemisahan hasil saranan ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto dan Pengarah Kejurulatihan persatuan, Rexy Mainaky itu jelas hadir pada masa yang salah.

Jawatankuasa RTG pada 15 April 2025 lalu telah menamakan Tang Jie/Ee Wei antara 16 atlet RTG dan hanya gandingan juara Terbuka Korea 2024 itu yang layak menyertai program RTG dan bukannya jika masing-masing bersama pemain-pemain lain selepas dipisahkan.

BAM sudah pun mencarikan 'jodoh' baharu masing-masing, Tang Jie dengan Chan Wen Tse manakala Ee Wei dengan Loo Bing Kun.

Kata dua Pengerusi RTG yang juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mesyuarat pertamanya pada 2025 ternyata ‘menggertak’ BAM yang kini terajunya dipangku oleh Datuk V. Subramaniam serta mengetuai Jawatankuasa Prestasi.


V. Subramaniam (tengah) manakala Aaron Chia/Soh Wooi Yik (kiri) dan Hoo Pang Ron/Cheng Su Yin (kanan). - Kredit foto: BAM


Sejak berpasangan pada penghujung 2022, Tang Jie/Ee Wei turut berjaya mengumpul dua lagi gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu Master Orleans dan Terbuka Taiwan 2023.

Mereka yang pernah mencapai ranking ketiga dunia BWF selain mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024, masih turut dianggap pertaruhan terbaik Malaysia ke kejohanan berpasukan campuran kelolaan BWF, Piala Sudirman di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei 2025 ini.

Kurang persefahaman dan sukar berkomunikasi lagi serta ego masing-masing dilaporkan antara alasan Rexy dan Nova menyarankan pemecahan ini, namun BAM turut kurang meyakini kemampuan satu lagi beregu campuran yang dinaunginya, Hoo Pang Ron/Cheng Su Yin.

Gandingan suami isteri dan beregu luar BAM, Goh Soon Huat/Shevon Lai pula turut terpilih ke Piala Sudirman namun kemaraan mereka sekadar suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo pada 11 April 2025 lalu, masih menggusarkan.

Tahap daya saing dan peluang berjaya skuad negara 20 pemain di Xiamen banyak bergantung kepada ketiga-tiga beregu lelaki, wanita dan campuran memandangkan prestasi semasa kesemua perseorangan lelaki dan wanita, belum begitu memuaskan.

Tanpa pemain No. 1 Malaysia yang di luar BAM, Lee Zii Jia kerana menjalani pemulihan buku lali, begitu kurang pemerhati badminton yang bergantung harap kepada Leong Jun Hao, Justin Hoh, Goh Jin Wei dan K. Letshanaa.


CHEN Tang Jie (kiri) dan Toh Ee Wei masih dianggap beregu campuran No. 1 Malaysia dan berprospek mata pada Piala Sudirman. - Kredit foto: BAM 


Turut tersenarai ialah juara baharu beregu lelaki BAC, Aaron Chia/Soh Wooi Yik diikuti Nur Izzuddin Rumsani/Goh Sze Fei dan Man Wei Chong/Tee Kai Wun, manakala gandingan keempat terbaik Olimpik Paris, Pearly Tan/ M. Thinaah memperkasa beregu wanita di samping Go Pei Kee/Carmen Ting.

Malaysia telah diundi dalam Kumpulan C dan akan membuka kempen kejohanan edisi ke-19 itu dengan menentang Perancis pada 28 April 2025 di Gimnasium Fenghuang, Xiamen disusuli Australia (29 April 2025) dan pilihan utama peringkat awal ini, Jepun (1 Mei 2025).

Pencapaian terbaik pasukan campuran negara ialah pemenang tempat ketiga bersama pada 2009, 2021 dan 2023. - KitaReporters


GOH Soon Huat (kiri) dan Shevon Lai disekat oleh beregu Indonesia dalam suku akhir BAC di Ningbo. - Kredit foto: BAM  

7
18
0
9
0
You will be interested