Seni & Sukan 14 Apr, 2025

Emas Olimpik masih elusif! Tapi saf kepimpinan MOM bakal berubah! Perebutan kerusi Timbalan Presiden!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

GANDINGAN selama dua penggal Mohamad Norza Zakaria (kiri) dan Nazifuddin Mohd. Najib berakhir 19 April 2025 dalam Perhimpunan Agung MOM Ke-44 ini. - Kredit foto: MOM   


MOHD. Nasir Ali (kanan) daripada Penolong Bendahari dan pernah mengetuai Kontinjen Sukan SEA Kemboja 2023, kini diangkat menjadi Setiausaha Agung iaitu 'nadi' sesebuah organisasi sebesar MOM. - Kredit foto: MOM  


SELAGI sebutir pingat emas sulung Malaysia belum dapat dicapai pada Sukan Olimpik akan datang, tiada siapa pun akan mengenang barisan kepemimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang akan diperbaharui ahli-ahlinya pada 19 April 2025 ini.

Dengan pucuknya masih dipegang oleh Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sejak 5 Mei 2018, para pemerhati sukan tanah air masih tertanya-tanya adakah pulangan berterusan sama iaitu kempunan pingat paling elusif itu daripada temasya terdekat, Los Angeles 2028.

Walau sekian banyak pingat emas Sukan Asia, Sukan Komanwel apatah lagi Sukan SEA yang dikaut kontinjen negara, nilainya masih terlalu jauh untuk menandingi mahupun mengubati kerinduan kita kepada Negaraku dan Jalur Gemilang yang berkumandang dan berkibar di podium Sukan Olimpik sejak menjejak arenanya di Melbourne 1956.  

Mantan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu disahkan menang tanpa bertanding selepas hanya namanya dicalonkan bagi kerusi No. 1 MOM menjelang pemilihan penggal 2025-2029 sempena Perhimpunan Agung Tahunan Ke-44 di sebuah hotel di ibu negara.

Sejak beliau menerajui MOM, kontinjen kita hanya membawa balik sebutir pingat perak Olimpik Tokyo 2021 menerusi ‘Si Roket Saku’ Azizulhasni Awang (berbasikal) dan sebutir pingat gangsa Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton).


  


NUR Azmi Ahmad (gambar atas) dan Awalan Abdul Aziz berentap bagi kerusi No. 2 MOM. - Kredit foto: MOM


Di Paris 2024, kontinjen pimpinan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin pula berkurangan kepada sekadar kekal satu gangsa sumbangan beregu lelaki utama negara itu dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki badminton).

Pencalonan Norza mendapat sokongan padu 14 daripada 34 atau 41.2 peratus ahli biasa MOM kalangan persatuan sukan kebangsaan (PSK) iaitu memanah, olahraga, bina badan, ekuestrian, golf, gimnastik, judo, tenis, bola jaring, ragbi, pelayaran, silat, boling dan bola tampar.

“Saya berasa rendah diri dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada NSA untuk jawatan Presiden MOM. Angka pencalonan mereka merupakan rekod yang tinggi dan saya amat berbesar hati dengan keyakinan ahli MOM yang luar biasa ini.

“Saya menganggapnya sebagai mandat yang kuat daripada ahli-ahli, memperkasa kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kepemimpinan bagi penggal ketiga sebagai Presiden,” katanya dalam siaran media MOM, 11 April 2025.



Norza yang menang tanpa bertanding jawatan itu dalam dua penggal terdahulu, 2018-2021 dan 2021-2025 kini juga menjadi Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Zon Asia Tenggara.

Tanpa pertandingan, tumpuan pemilihan MOM kini teralih kepada perebutan satu lawan satu bagi kerusi nombor dua, Timbalan Presiden majlis antara Datuk Wira Nur Azmi Ahmad (Naib Presiden sekarang) dan muka baharu, Datuk Awalan Abdul Aziz.

Hamidin, penyandang yang juga mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih untuk tidak mempertahan jawatan yang dimenanginya tanpa bertanding pada 4 September 2021 itu dan yang menariknya, Azmi dicalonkan oleh badan induk sukan berkenaan dan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) yang turut diterajuinya.

Awalan hanya mendapat satu pencalonan iaitu Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) pimpinannya malah masih baharu dengan 'sepak terajang dan percaturan' MOM menggambarkan beliau bukanlah pilihan utama 34 ahli biasa majlis yang akan mengundi.

Hanya tiga wakil daripada setiap ahli gabungan MOM layak mengundi manakala 24 PSK ahli bersekutunya tidak diberikan hak berkenaan.


MOHD. Sumali Reduan mulai mendapat perhatian ekoran kejayaan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 di Kuala Lumpur. - Kredit foto: PSM


Lima kerusi Naib Presiden MOM dengan satu daripadanya mesti wanita pula menjadi rebutan tujuh calon dengan bekas ratu pecut olahraga 80-an, Datuk Paduk Mumtaz Jaffar dan Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (MWF), Datuk Chong Kim Fatt kembali mempertahannya.

Kim Fatt tampak menonjol untuk kembali menyandangnya dengan lima pencalonan berbanding cuma satu buat Mumtaz namun tarikan istimewa kali ini ialah kehadiran Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan di samping bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah yang juga Penolong Setiausaha Kehormat Renang Malaysia (MS).


CHONG Kim Fatt (kiri) calon pilihan utama Naib Presiden MOM dan Moira Tan Siew See yang kekal Penolong Setiausaha Agung (Wanita). - Kredit foto: MOM


Turut mengidamnya ialah Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli; Presiden Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM), Monteiro Gerard Clair; dan Presiden Taekwondo Malaysia (TM-WTF), Azizul Annuar Adenan.

Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Mohd. Nasir Ali pula muncul calon tunggal Setiausaha Agung MOM, sekali gus hanya menunggu 19 April 2025 ini sebagai pengganti sah Datuk Nazifuddin Mohd. Najib yang tidak mempertahannya setelah dua penggal berkhidmat selain pernah bergelar Naib Presiden tanggal 22 Ogos 2015.

Proses pemilihan kali ini dikendalikan oleh Panel Bebas yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anand Ponnudurai; dan Ejen Cukai Lesen Kementerian Kewangan, Datuk Harjit Singh Sidhu.

Bendahari MOM kekal milik penyandangnya, Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin, sementara Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam muncul Penolong Bendahari baharu masing-masing tanpa pertandingan, begitu juga Penolong Setiausaha Agung (Wanita), Moira Tan Siew See, namun jawatan Penolong Setiausaha Agung (Lelaki) akan direbut antara Ahmad Arif Astaman (berbasikal) dan Melvin Chia See Oon (biliard & snuker).

Kesemua 16 calon ini sudah pun lulus ujian saringan kelayakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) pada 9 dan 10 April 2025 lalu bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang rekod rasuah, jenayah dan muflis. - KitaReporters


HANYA dua pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 yang mampu dibawa pulang wira badminton kita (dari kiri), Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik - masih dengan sukan penyumbang tradisi sejak 1992. - Kredit foto: MSN

8
6
0
14
0
You will be interested