Seni & Sukan 24 Apr, 2025

Dah kenapa? Arif Aiman belum puas hati? 4 kali berturut-turut MVP! Anugerah Bola Sepak Kebangsaan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

ARIF Aiman Hanapi memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai buat kali keempat berturut-turut. - Kredit foto: MFL


ARIF Aiman Hanapi boleh dijadikan teladan kepada pemain bola sepak muda yang lain. Walaupun memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) bagi kali keempat berturut-turut, bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) FC itu ternyata tidak mudah hanyut dalam arus kejayaannya.

Sebaliknya pemain berusia 23 tahun itu bertekad untuk mempertingkat lagi prestasi permainan yang dianggap belum mencapai tahap dimahukannya.

Bercakap kepada media selepas memenangi anugerah itu pada majlis Malam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 pada Rabu, 23 April, 2025, Arif Aiman berkata dia belum boleh berpuas hati dengan kejayaan itu.


ARIF Aiman menang tiga anugerah pada Malam Anugerah Kebangsaan 2024-2025. - Kredit foto: MFL


“Saya tak sangka memenangi anugerah MVP buat kali keempat. Tapi setiap tahun adalah cabaran yang tinggi buat saya. Namun, saya tidak ambil mudah dengan apa yang saya capai selama ini sebab saya rasa prestasi belum sampai ke tahap yang saya nak.

“Diri saya saja yang tahu betapa struggle (sukar) untuk sampai ke tahap ini tapi saya nak lebih lagi. Saya rasa masih tak puas hati. Saya akan bagi yang terbaik sampai saya rasa bangga dengan diri saya,” ujar Arif Aiman.

Mengenai masa depannya, pemain kelahiran Pahang itu menjelaskan dia akan kekal bersama JDT walaupun tercetus spekulasi bahawa banyak kelab luar negara berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Mungkin penyokong atau media senang cakap ada tawaran dari luar tapi sebagai pemain saya tahu betapa sukarnya kelab-kelab luar nak cari pemain Malaysia. Jadi, saya akan kekal di JDT dan saya perlu bekerja keras,” katanya lagi.

Selain anugerah Pemain Paling Bernilai, pada majlis itu, Arif Aiman turut membolot kategori Pemain Tengah Terbaik dan Gol Tercantik.


AIDIL SHARIN SAHAK - Kredit foto: MFL


Sementara itu kejayaan Aidil Sharin Sahak menerajui Kuching City FC melonjak dari tanggai ke-13 musim lalu ke kedudukan keempat musim ini melayakkan beliau dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik.

Mengulas kemenangannya, jurulatih berasal dari Singapura itu berkata beliau berpuas hati dengan peningkatan ditunjukkan oleh pasukannya musim ini.

“Semua orang tahu musim lalu kami berada di tangga ke-13, musim ini meningkat ke nombor empat. Saya fikir kami mempunyai musim yang baik tapi kami masih boleh meningkat.

“Kami pasukan baharu dengan 90 peratus adalah kelompok pemain baharu. Saya cuba seimbangkan dengan membawa masuk pemain berpengalaman, pemain import dan beberapa pemain pinjaman daripada JDT yang menjadikan pasukan lebih baik.

“Kita dapat lihat pada pusingan pertama (liga), kami kurang mengutip mata tapi pada pusingan kedua, pasukan meningkat dan kami menduduki tangga keempat musim ini,” katanya.


SYIHAN HAZMI MOHAMED dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik. - Kredit foto: MFL


Sebanyak 17 kategori dipertandingkan dengan beberapa keputusan sudah diduga. JDT dengan deretan kejayaan sejak satu dekad lalu terus mengungguli anugerah Pasukan Terbaik sambil beberapa pemainnya mendominasi kategori utama lain.

Penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik sementara pemain import Bergson da Silva muncul sebagai Pemain Import Terbaik dan Kasut Emas (penjaring terbanyak Liga Super), sementara pertahanan muda, Feroz Baharudin diangkat sebagai Pertahanan Terbaik- KitaReporters


JOHOR Darul Ta'zim- Pasukan Terbaik. Kredit foto: MFL


SENARAI PEMENANG ABK 2024-2025:

Pemain Paling Bernilai (MVP) – Arif Aiman Hanapi (JDT) 

Jurulatih Terbaik – Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC) 

Penjaga Gol Terbaik – Syihan Hazmi Mohamed (JDT) 

Pertahanan Terbaik – Feroz Baharudin (JDT) 

Pemain Tengah Terbaik – Arif Aiman Hanapi (JDT) 

Penyerang Terbaik – Paulo Josue (KL City) 

Pemain Import Terbaik – Bergson da Silva (JDT) 

Pemain Muda Terbaik – Haqimi Azim Rosli (KL City) 

Gol Terbaik Liga Malaysia 2024/25 – Arif Aiman Hanapi (JDT) 

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super – Paulo Josue (KL City FC) 

Penjaring Terbanyak Liga Super – Bergson da Silva (JDT) 

Pasukan Terbaik – JDT Anugerah Fair Play – Terengganu FC 

Pemain Terbaik Piala MFL – Gabriel Nistelrooy (JDT II) 

Penjaring Terbanyak Piala MFL – Gabriel Nistelrooy (JDT II)

Penyokong Terbaik – Boys of Straits (JDT)

Fan XI – Syihan Hazmi Mohamed, Jimmy Raymond, Park Jun-heong, Feroz Baharudin, Nando Welter, Danial Amier, Nooa Laine, Juan Muniz, Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva dan Faisal Halim.


BERGSON DA SILVA - Kredit foto: MFL


PAULO JOSUE - Kredit foto: MFL

 

15
11
0
17
0
You will be interested