Seni & Sukan 03 Jun, 2025

Selamat datang Facundo Garces! Pemain import terbaharu! Berdarah Argentina, berilmu La Liga Espana!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

FACUNDO Garces, pemain warisan Harimau Malaya yang direkrut oleh Peter Cklamovski sejak mengambil alih ketua jurulatih. - Kredit foto: MNT 


BELANDA sudah, Sepanyol pun sudah, begitu juga Brazil, Argentina dan Colombia.

Masih tidak cukup dengannya, seorang lagi warga Argentina diberikan taraf anak baharu Malaysia, sekali gus sah menyertai Harimau Malaya sejak era revolusi pasukan ini dilancarkan pada Disember 2024 lalu. 

Facundo Garces menjadi gerangan terbaharu pemain warisan tim Malaysia (pertalian sebelah neneknya) kendalian Peter Cklamovski bagi kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Vietnam pada 10 Jun 2025 ini.

Bek tengah Deportivo Alaves dalam La Liga Sepanyol ini bakal meraih kap sulung Harimau Malayanya dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu ekoran hantaran laman sosial Malaysia NT: “Pasukan kebangsaan Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan Facundo kini secara rasmi menyertai Harimau Malaya.

“Dia bakal membawa kualiti, pengalaman dan kepemimpinan yang tinggi ketika Harimau Malaya terus memperkukuh diri menjadi pasukan impian seluruh rakyat Malaysia,” lapor laman berkenaan pada 2 Jun 2025.


KESEBELASAN utama Harimau Malaya pimpinan Matthew Davies (2) yang menambat Cape Verde 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei 2025 lalu turut memberikan penampilan sulung kepada Gabriel Palmero (13), bek kiri naturalisasi kelahiran Sepanyol. - Kredit foto: MNT 


Garces juga pernah beraksi dalam liga utama di Argentina, telah melengkapkan semua keperluan pendaftaran dan kelayakan malah kini sedia untuk dipilih oleh Cklamovski.

“Facundo mempunyai perwatakan yang kuat. Benteng yang tenang dengan personaliti yang hebat serta pengalaman peringkat tertinggi. Dia sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan berbangga dalam mengharumkan nama negaranya,” kata warga Australia itu.

Garces, 26, yang teruja mewakili Malaysia, berkata: "Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini satu penghormatan yang luar biasa.

“Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan dan sokongan ikhlas daripada semua. Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya apabila seluruh negara dan penyokongnya berdiri teguh bersama kami.

“Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia," katanya dalam laman itu.


HECTOR Hevel, perantara naturalisasi kelahiran Belanda mewarnai debut Harimau Malayanya dengan membolosi gawang Nepal, membantu kemenangan 2-0 dalam pembuka kelayakan di Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 lalu. - Kredit foto: MNT 


Kehadirannya turut akan menyuntik persaingan sengit bagi bek tengah Harimau Malaya yang sudah memiliki Dion Cools, Harith Haiqal Adam Afkar, Ubaidullah Shamsul Fazili, Shahrul Saad dan Junior Eldstal serta Dominic Tan. 

Sergio Aguero yang juga berasal dari Argentina sudah beberapa kali meraih kap Harimau Malaya dengan kali akhir penampilannya ialah pada Kejohanan ASEAN 2024-2025 lalu malah mengetuai Bintang-bintang ASEAN menewaskan Manchester United 1-0 di Bukit Jalil, 28 Mei 2025 lalu.

Harimau Malaya juga ketika ini memiliki dua bekas warga Brazil, Paulo Josue - penjaring penyamaan 1-1 menentang Cape Verde pada perlawanan antarabangsa tahap 1, 29 Mei 2025 lalu dan perantara Endrick Dos Santos selain penyerang Romel Morales kelahiran Colombia. - KitaReporters


ENDRICK Dos Santos turut menyumbangkan bantuan dalam gol penyamaan Paulo Josue terhadap Cape Verde. - Kredit foto: MNT

9
9
0
19
0
You will be interested