FILEM animasi juga boleh mendapat sambutan jika bahannya menarik dan mampu menarik minat golongan kanak-kanak. Ia ditambahi dengan kesesuaian masa tayangan seperti pada musim cuti sekolah.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bidang animasi
Filem terbitan Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta) ini memulakan langkah kanan apabila meraih RM1.1 juta pada hari pertama tayangan. Dan diikuti kutipan RM5 juta pada hari ketiga tayangan.
Salah satu kelebihan menghasilkan filem animasi, kanak-kanak yang ingin menonton pasti akan ditemani ibu bapa atau golongan dewasa.
Ini menjadikan setiap penonton kanak-kanak akan membawa sekurang-kurangnya seorang atau dua orang dewasa untuk turut menonton.
Menurut Ketua Pengarah Monsta, Nizam Abd Razak, mereka tidak menyangka filem animasi ini berjaya melakar pencapaian membanggakan dalam tempoh singkat memandangkan Mechamato adalah jenama baharu, berbeza animasi BoBoiBoy yang sudah menjadi ikon.
Filem animasi ini juga bakal dibawa ke luar negara pada tahun depan (2023).
Filem animasi ini berkisar remaja lelaki bernama Amato menjumpai sebuah kapal angkasa penjara yang membawa robot jahat terhempas di bumi.
Salah satu robot itu adalah MechaBot yang mempunyai kebolehan bergabung dan menjadikan sesuatu objek sebagai alat berteknologi tinggi. Amato berjaya mengatasi MechaBot dan menjadi tuan kepada robot itu, seterusnya bekerjasama mengesan dan menangkap robot jahat.
Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, turut berbangga dengan kejayaan yang diraih oleh Monsta menerusi filem animasi ini.
Dalam pada itu, siri Mechamato baru setahun ditayangkan di Cartoon Network, selain memasuki Netflix, sejak Oktober 2022 lalu. - KitaReporters